Pengacara dan cef selebriti, Chef Wan, mendedahkan dia terpaksa memecat dua Chef Eksekutif yang bekerja di restorannya disebabkan sikap tidak jujur dan mengamalkan rasuah.
Menurut Chef Wan atau Datuk Redzuawan Ismail, kedua-dua chef berkenaan ditamatkan perkhidmatan daripada salah sebuah cawangan restoran miliknya, De.Wan 1958 by Chef Wan di Kuala Lumpur.
“Mereka bernasib baik kami tidak membuat laporan polis dan membawa mereka hingga ke mahkamah dengan segala bukti dan pengakuan.
“Mereka semua diberi tanggungjawab dan amanah yang tinggi, namun mereka menjadi mata duitan dan sanggup pecah amanah
“What's wrong with all our Malay chefs in all these days, ada macam-macam jenis manusia yang tingkah lakunya tidak boleh diterima,” luah Chef Wan menerusi satu hantaran di platform Instagram miliknya.
Tegas Chef Wan lagi, dia tidak akan bertolak ansur dengan sikap pekerjanya yang tidak jujur dan pecah amanah.
Katanya, semua perniagaan restorannya adalah untuk memberi rezeki, kerjaya dan pengalaman yang baik kepada pekerja yang jujur serta rajin.

“Hari ini saya senang sahaja sama ada anda bekerja dengan saya untuk meningkatkan semua kemahiran masakan anda dan berpengalaman atau anda boleh pergi.
“Kami akan mengupah balik semua chef yang berpengalaman dan baik dengan gaji yang lebih baik untuk perniagaan ini. Tak ada masa berniaga ini nak layan semua sikap-sikap manusia yang hanyut ke laut ini.
“Jika mereka tidak menghargai kerja dan sayang kan kerjaya mereka maka mereka harus meninggalkan kerja di tempat lain. Kami tidak mempunyai masa untuk semua omong kosong ini! “
“Jika saya terpaksa menutup beberapa kafe saya, saya tidak kisah. Saya membuka semua perniagaan ini adalah untuk memberi mereka rezeki dan kerjaya yang baik,” tegasnya.
Dalam pada itu, Chef Wan turut berkongsi, telah menghantar anaknya ke restoran ‘Brahim Kitchen’ untuk menambah baik kualiti dan persembahan menu makanan bagi syarikat penerbangan Qatar Airways.
Kata Chef Wan lagi, dia telah menetapkan anaknya, Muhammad Nazri atau Riz yang mengetuai Chef Wan Café bagi kerjasama dengan syarikat penerbangan tersebut bagi meningkatkan lagi kualiti makanan dan persembahan makanan mereka.

“Dia pandai dalam hal itu sambil bekerja rapat dengan Chef Eksekutif Kumpulan kami yang baharu. Kami telah melakukan ini beberapa kali sebelum ini oleh saya, Chef Zabidi dan pasukan Chef kami.
“Jadi saya harap kali ini mereka mengambil serius menu saya dan mempersembahkannya cara saya dan dapur katering Qatar Airways telah meluluskan semua SOP ini dan cara mereka dihidangkan di atas kapal.
“Saya memberitahu Qatar Airways jika ini tidak dapat dilaksanakan dengan betul dan pelbagai alasan diberi kerana tidak dapat melakukannya, maka saya tidak akan menandatangani kontrak setahun lagi dengan Qatar Airways katering untuk membentangkan menu saya di atas kapal.
“Saya menghargai nama jenama yang telah saya bina selama 33 tahun dan saya tidak bersedia untuk melihatnya hilang hanya kerana saya mempunyai sedikit kawalan ke atasnya begitu juga nama restoran dan reputasi kami,” ujarnya.
Terdahulu, tahun lalu, Qatar Airways meraikan ulang tahunnya yang ke-25 tahun dengan mengembangkan tawaran hidangan atas kapalnya dengan kerjasama masakan yang menarik dengan chef selebriti dan tempat makan di seluruh dunia.
Qatar Airways teruja untuk mengumumkan kerjasama dengan ikon chef selebriti Malaysia, Chef Wan, untuk memperkenalkan menu makanan lazat yang berinspirasikan tempatan kepada penumpang sempena ulang tahun ke-25 syarikat penerbangan itu pada 2022. – Getaran, 1 Mei 2023