Pelakon Anna Jobling tidak menolak untuk berhijrah ke Indonesia sekiranya rezeki tawaran kerjanya lebih menyerlah di sana.
Baru pulang daripada menghadiri beberapa rancangan bual bicara di negara jiran, Anna juga sempat serampang dua mata mengintai peluang tawaran lakonan semasa berada di Indonesia baru-baru ini.

“Insya-Allah saya akan terbang semula ke Indonesia dalam masa terdekat untuk perbincangan mengenai tawaran berlakon filem, juga sesi penggambaran majalah di sana.
“Kita tak tahu rezeki di masa hadapan bagaimana, jika karier saya makin rancak di Indonesia, saya mungkin akan berpindah ke sana untuk kerja.
“Tapi yang pasti, bukan pindah untuk selamanya. Saya akan kerap balik Malaysia,” katanya ketika ditemui Getaran di majlis sidang media teater Maduku Terpaling Kalut.
Bercerita mengenai sambutan peminat Indonesia setelah drama Melur Untuk Firdaus meledak di negara itu, pelakon kacukan Melayu-Inggeris menyifatkan peminatnya di sana sebagai ‘crazy in a good way’.
“Saya boleh katakan peminat di Indonesia ‘gila’ tapi dengan cara yang baik. Mereka sangat ramah dan sangat menantikan kehadiran saya di sana.
“Bayangkan, mereka hantar makanan setiap hari. Sepanjang di sana mereka bagi 600 hadiah kepada saya. Antara hadiah yang tak boleh saya lupakan ialah apabila ada seorang peminat tanam 100 pokok bagi pihak saya dan memberikan sijil yang tercetak nama saya di atasnya,” dedah Anna.

Dipeluk populariti secara mendadak selepas empat tahun muncul di dalam industri, Anna selalu berhati-hati dengan kelakuan dan tutur kata yang diucapkan agar tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak.
“Saya sentiasa berhati-hati dengan apa yang orang akan fikir tentang saya. Saya masih cuba jaga batas sebab kerana itulah pesan mama dan papa. Apapun yang saya lakukan, saya tetap seorang rakyat Malaysia,” jelasnya.
Terkini, Anna bakal tampil dalam sebuah teater yang pernah tercalon di Boh Cameronian Awards edisi ke 11 (2014) bertajuk Maduku Terpaling Kalut.
Maduku Terpaling Kalut mengisahkan tentang seorang pemandu teksi, Selamat yang berusaha untuk melarikan diri daripada menemukan kedua-dua orang isterinya dalam satu masa.
Masalah bermula apabila kedua-dua isterinya melaporkan kehilangan Selamat kepada pihak polis dan Selamat mencuba untuk mengelakkan diri daripada menemukan kedua-dua isterinya.
Penggemar teater boleh mendapatkan tiket secara atas talian di www.onetix.com.my dengan harga bermula RM88, RM118, RM168 dan RM198. - Getaran, 7 September 2022