Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Rama-rama Idea Lynceus Bakal Lenyap, Kajian 16 Tahun Dihentikan

Rencana Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 13 Feb 2021 9:24AM

Rama-rama spesies Idea lynceus bakal lenyap - Gambar Bernama

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Tahukah anda rama-rama spesies Idea lynceus yang mempunyai  kepompong unik berwarna keemasan dan cantik mampu melakukan penerbangan ulang-alik dari Melaka ke Kuala Lumpur sebanyak 44 kali dalam tempoh hayatnya 14 hari?

Bagaimanapun rama-rama bersayap hitam berbintik putih dari keluarga Danaidae yang terkenal dengan 'penerbangan' seperti sekeping kertas tisu  terapung di udara, hanya terdapat di Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka di Ayer Keroh di sini, bakal lenyap berikutan kajian mengenainya sejak 16 tahun terpaksa dihentikan.

Pengurus taman berkenaan, Qurratu A’in Rohaminordin berkata pihaknya tidak lagi dapat membiakkan rama-rama berkenaan akibat kekurangan dana berikutan kehilangan sumber utama iaitu penjualan tiket, sekali gus terpaksa menghentikan kajian terhadap spesies itu yang dilakukan sejak 2005.

“Pada 1 Feb lepas, pihak kami  melepaskan 10 ekor rama-rama Idea lynceus dan masih berbaki 10 ekor di pusat konservasi ini yang menunggu masa untuk mati kerana kitaran hayatnya yang pendek,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata di seluruh dunia, hanya Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka sahaja yang membiakkan rama-rama itu kerana ia berasal dari Malaysia, dan kadangkala boleh ditemukan di sebahagian Indonesia dan Thailand.

Katanya sejak melakukan kajian 16 tahun lepas terhadap spesies berkenaan, pihaknya telah mencapai tahap 90 peratus pemahaman mengenai Idea lynceus termasuk jantina, pokok perumah dan lain-lain perkara mengenai rama-rama berkenaan.

“Namun kerana tiada pengunjung akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami tidak mampu menjual tiket sekali gus menyukarkan operasi di pusat konservasi ini memandangkan ia dimiliki oleh pihak swasta," katanya

Beliau berkata walaupun pihaknya mempunyai program adopsi di mana peminat boleh membayar harga tertentu bagi mendapatkan kepompong ulat beluncas bagi melihat proses rama-rama keluar daripada kepompong, namun ketika ini ramai yang tidak mampu menyertai program berkenaan kerana mereka juga terpaksa berjimat cermat.

"Justeru, kami berharap agar ada mana-mana pihak yang mampu menolong pusat konservasi ini agar mampu bertahan sekali gus menyelamatkan Idea lynceus daripada terus pupus ketika kita masih berdepan dengan ancaman COVID-19 yang menyukarkan kehidupan semua," katanya.

Beliau menjelaskan ketika PKP 1.0 yang dilaksanakan pada tahun lepas, pihaknya mendapat bantuan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) yang menyalurkan bantuan makanan kepada reptilia di pusat konservasi berkenaan selain Program Subsidi Upah oleh kerajaan bagi memastikan pekerja masih boleh melaksanakan tugas mereka.

Bagaimanapun katanya ketika PKP 2.0 yang mula dilaksanakan sejak 13 Jan lepas menyebabkan pusat konservasi berkenaan hanya beroperasi pada tahap minimum dalam usaha menjimatkan kos, sehingga pihaknya terpaksa melupuskan kira-kira 3,000 ulat beluncas pelbagai spesies termasuk Idea lynceus pada tahun lepas.

Menurutnya Idea lynceus, yang diletakkan di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 2010 kerana hampir pupus, mula dikaji di pusat konservasi tersebut sejak 2005 dan kejayaan pertama bermula pada November 2011 apabila pihaknya berjaya membiakkan telur rama-rama berkenaan.

“Ketika berada di habitat asalnya di dalam hutan, rama-rama betina mampu menghasilkan kira-kira 200 biji telur namun yang mampu hidup hanyalah dua peratus ataupun empat ekor sahaja, menjadikan ia antara serangga yang paling terancam.

Pusat konservasi ini boleh menghasilkan kira-kira 500 ekor Idea lynceus sebulan ketika ia mampu beroperasi pada tahap optimum dengan bantuan daripada pekerja dan penyelidik di tempat ini dan kami turut melepaskan secara berkala 20 peratus rama-rama jenis ini hasil pembiakan dalam usaha menambah jumlah Idea Lynceus di habitat asalnya.

Menjelaskan mengenai pembiakan rama-rama jenis itu, Qurratu A’in berkata peratusan untuk melihat kemandirian spesies tersebut yang mampu membesar sehingga 165 milimeter (mm) semakin tinggi apabila dibiakkan di dalam makmal sehingga boleh mencapai tahap 90 peratus.

Beliau berkata bagaimanapun bukan mudah untuk membiakkan Idea lynceus ini kerana memerlukan sejenis pokok renek dari jenis Agnosma sp, yang juga sukar untuk dibiakkan walaupun berada dalam persekitaran terkawal.

Katanya di pusat konservasi berkenaan, satu pertiga daripada 2.83 hektar kawasan itu ditanam dengan pokok renek Agnosma sp ini namun daripada 100 batang pokok yang ditanam, hanya satu batang pokok sahaja yang mampu hidup.- Bernama

Sorotan

1

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

2

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok

3

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

4

Pemangku Ketua Bahagian BERSATU  Calon PN Untuk PRK KKB

5

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

6

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled

7

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat