Berita Terkini

2 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 2 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Tangani Kelemahan Dahulu Sebelum Laksana Semula GST - Pakar

Rencana Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 10 Jun 2022 11:21AM

Pakar berpendapat perlu ada pengecualian dan langkah lain yang dilaksanakan bersama-sama GST bagi meringankan beban yang ditanggung oleh isi rumah dan individu miskin. - Gambar hiasan oleh Syeda Imran

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Kelembapan ekonomi berserta peningkatan kos sara hidup yang merupakan kesan penularan pandemik COVID-19, menuntut Malaysia mencari sumber pendapatan baharu bagi mengisi semula perbendaharaannya yang menyusut teruk. 

Buat masa ini kerajaan melihat Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), sistem cukai tidak popular yang diperkenalkan pada 2015 dan berjaya menjana RM44 bilion pada 2017, sebagai penyelesaian kepada masalah itu.

Kebanyakan pakar ekonomi bersetuju, namun mereka berpandangan sistem itu harus ditambah baik terlebih dahulu sebelum dilaksanakan buat kali kedua.

“Kita memang cukup hebat dalam memperkenalkan skim atau pendekatan baharu, namun agak teruk dalam pelaksanaan,” kata Profesor Madya Ahmed Razman Abdul Latiff, penganalisis ekonomi daripada Putra Business School. 

Malaysia kerugian purata RM2.4 bilion setiap hari semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020. - Gambar oleh Syeda Imran
Malaysia kerugian purata RM2.4 bilion setiap hari semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020. - Gambar oleh Syeda Imran

Ketika COVID-19 menular, Malaysia kerugian purata RM2.4 bilion setiap hari semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020. Ekonomi menguncup 5.6 peratus sementara pengangguran merekodkan kadar tertinggi yang pernah dicatatkan pada 5.3 peratus.

Dalam temu bual dengan Nikkei pada 31 Mei lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan menimbang untuk memperkenalkan semula GST bagi menampung kerugian itu.

“Kami kehilangan kira-kira RM20 bilion (US$4.6 bilion) dari segi hasil tahunan apabila GST dimansuhkan,” beliau dipetik berkata. Beliau bagaimanapun menjelaskan kemudian bahawa GST tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Pegawai kerajaan yang berkenaan mengesahkan tidak ada cukai baharu akan diperkenalkan selagi ekonomi belum pulih. Dalam keadaan Malaysia mengalami inflasi - kesan daripada pandemik, berserta konflik Rusia-Ukraine dan perubahan iklim, kebanyakan pakar bersetuju tindakan memperkenalkan semula GST sekarang mungkin akan memburukkan lagi keadaan rakyat dan berpotensi mencetuskan kemelesetan tatkala ekonomi negara masih lagi bergelut untuk kembali bernafas. 

Tengku Zafrul Abdul Aziz - Gambar Bernama
Tengku Zafrul Abdul Aziz - Gambar Bernama

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memberitahu pemberita kerajaan masih meneliti pelbagai sistem cukai termasuk sama ada menambah baik Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) semasa atau memperkenalkan semula GST dan cara pelaksanaannya jika cukai itu kembali diwujudkan.  

Tambah beliau, pelaksanaan cukai baharu juga mengambil masa iaitu kira-kira sembilan bulan selepas diluluskan oleh Parlimen.

Bagi memenuhi janji kempen pilihan raya umum, kerajaan Pakatan Harapan (PH) memansuhkan GST pada 2018 dan menggantikan cukai itu dengan SST yang berkuat kuasa hingga sekarang sekalipun kerajaan PH tumbang pada Mac 2020. SST menjana hasil cukai sekitar RM26.7 bilion pada 2020 dan RM27.9 bilion pada 2021.

GST merupakan cukai penggunaan dan dikenakan terhadap hampir kesemua transaksi dalam proses pengeluaran - terpakai ke atas kira-kira 60 peratus barangan dan perkhidmatan di bawah Indeks Harga Pengguna berbanding hanya 38 peratus bawah SST.

Kumpulan pengguna dan pengeluar yang mengalu-alukan berita tentang kemungkinan GST dilaksanakan semula, menyifatkan sistem itu lebih cekap dan adil berbanding SST. Komuniti perniagaan sebelum ini pernah menyatakan sokongan mereka terhadap pelaksanaan semula GST selepas PH tumbang.

Pakar bersetuju, jika dilaksanakan dengan betul, GST adalah lebih cekap dan adil serta mampu meningkatkan hasil negara menerusi pertambahan sumber pendapatan. Selain itu, disebabkan GST pernah dilaksanakan sebelum ini, proses transisi kepada sistem tersebut juga akan lebih mudah dan cepat.

“Ini kerana setiap perniagaan menjadi ejen pengutip cukai secara tidak langsung dan mereka beroleh insentif daripada tuntutan semula cukai input (bayaran balik),” kata Mohd Afzanizam Abdul Rashid, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad.  

GST iaitu sistem cukai tidak popular, telah diperkenalkan pada 2015. - Gambar AFP
GST iaitu sistem cukai tidak popular, telah diperkenalkan pada 2015. - Gambar AFP

Bagaimanapun kata kunci di sini ialah pelaksanaan yang betul. Penganalisis memberitahu Bernama pelaksanaan kali pertama GST menghadapi masalah kerana ramai pengilang dan pembekal dalam rantaian bekalan tidak menerima bayaran balik seperti yang tertakluk dalam sistem itu. 

“Apabila (pengeluar) tidak menerima bayaran balik daripada kerajaan, mereka berdepan kos yang lebih tinggi dan terpaksa meningkatkan harga bagi menampung defisit tunai,” jelas Ahmed Razman.

Keadaan itu mencetuskan kesan melata cukai ke atas cukai, iaitu bertentangan dengan matlamat GST. Setiap pihak dalam rantaian sepatutnya menerima bayaran balik tuntutan cukai input mereka dalam tempoh 14 hari selepas barangan dan perkhidmatan berpindah ke peringkat seterusnya dalam rantaian dengan pengguna akhir menjadi pembayar GST.

Pada 2019, kerajaan dilaporkan gagal membayar balik tuntutan Kredit Cukai Input (ITC) kepada pihak dalam rantaian bekalan. Pada tahun itu kerajaan memulangkan semula RM9.5 bilion kepada 76,002 premis yang berdaftar dengan GST. Setakat Julai 2020, Kementerian Kewangan telah membayar balik kira-kira RM1.264 bilion kepada 4,316 perniagaan dengan lebih banyak syarikat dijangka menerima bayaran tuntutan balik mereka menjelang akhir tahun.

Salah satu sebab GST tidak popular dalam kalangan kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana ialah sifat regresif cukai tersebut, iaitu membabitkan golongan miskin dan kaya secara sama rata. - Gambar AFP
Salah satu sebab GST tidak popular dalam kalangan kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana ialah sifat regresif cukai tersebut, iaitu membabitkan golongan miskin dan kaya secara sama rata. - Gambar AFP

enurut pakar, kerajaan perlu memastikan kesemua mekanisme sudah tersedia termasuk perniagaan juga boleh memenuhi tuntutan sistem baharu itu sebelum melaksanakan semula GST. Bagaimanapun tidak semua pemerhati yakin kerajaan akan dapat menyelesaikan segala masalah yang timbul.

Sekalipun begitu, Afzanizam berkata sebaik sahaja semua isu berbangkit telah diatasi, GST dapat menangani masalah ekonomi bayangan, iaitu perniagaan yang tidak berdaftar, sekali gus meningkatkan keupayaan kerajaan dalam mentadbir dan mengurus ekonomi, selain menambah baik kemampuan mengutip lebih banyak hasil. 

“Sehubungan itu juga keupayaan untuk menyokong ekonomi ketika mendepani kejutan seperti yang kita lalui semasa pandemik, yang mana kerajaan terpaksa berbelanja besar, dapat ditambah baik,” ujar beliau.

Salah satu daripada sebab GST tidak popular dalam kalangan kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana ialah sifat regresif cukai tersebut, iaitu membabitkan golongan miskin dan kaya secara sama rata. Disebabkan cukai itu dikenakan pada semua transaksi tanpa mengira status sosioekonomi, GST memberikan beban yang tidak sepatutnya kepada kelompok miskin. 

Menurut pakar ekonomi, ini bermakna perlu ada pengecualian dan langkah lain yang dilaksanakan bersama-sama GST, khususnya bagi meringankan beban yang ditanggung oleh isi rumah dan individu miskin.

Profesor Dr Yeah Kim Leng daripada Sunway University Bussines School, berkata memandangkan GST adalah cukai penggunaan - bermakna mereka yang lebih banyak berbelanja khususnya untuk barangan mewah tidak perlu seperti udang kara, mereka perlu membayar lebih bagi menikmati keistimewaan itu - hadkan jumlah barang yang dikecualikan cukai.  

“Kita hadapi (masalah) ini sebelum ini apabila udang kara dikecualikan GST. Saya rasa keju, semua ini, tidak patut dikecualikan.

“Saya rasa itu sebabnya lebih baik kita hadkan pengecualian itu ke atas sejumlah kecil barang sahaja. Saya berpendapat prinsip itu harus diteruskan dari segi mereka bentuk sistem yang mantap dan boleh mampan,” katanya.

Beliau berkata jika sesetengah daripada aspek GST memberikan impak negatif terhadap kumpulan berpendapatan rendah, maka kerajaan harus menanganinya, bukan dengan menghapuskan GST, tetapi menggunakan kaedah lain seperti pindahan tunai dan subsidi.

Memandangkan GST dan pengecualiannya memberikan kesan ke atas golongan miskin dan kaya, Ahmed Razman mencadangkan agar kerajaan meningkatkan pendapatan dengan menyasarkan golongan yang lebih berkemampuan membayar cukai, iaitu golongan kaya. 

“Kita boleh memperkenakan cukai keuntungan modal, khususnya untuk mereka yang terlibat dalam dagangan saham. Pada masa ini, jika kita beli saham pada harga RM1 seunit dan tiba-tiba dijual pada harga RM10, iaitu untung RM9, tidak ada cukai dikenakan di situ. 

“Jadi, daripada kenakan cukai ke atas semua ahli masyarakat, rasanya ada mekanisme lebih baik untuk menyasarkan mereka yang ada kekayaan berlebihan. Namun sudah tentu ini lebih rumit berbanding GST,” katanya. - Bernama

Sorotan

1

Jenazah Tun Hanif Omar Selamat Dikebumikan Di Bukit Kiara, Sebelah Pusara Anaknya

2

Anwar Beri Penghormatan Terakhir Kepada Mendiang Joseph Kurup

3

DNB Telus Dalam Jalankan Operasi

4

Malaysia, Thailand Tingkatkan Kerjasama Perangi Jenayah Rentas Sempadan

5

Lelaki Sindrom Down Melecur Disimbah Air Panas Dalam Lif

6

8 Aksi Pramusim Digunakan Untuk Uji Sistem VAR - Stuart

Disyorkan untuk anda

Rencana 4 jam yang lalu

Penerbitan Ilmiah Mampu Tinggikan Martabat Bahasa Melayu - Pakar