Berita Terkini

5 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 6 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Perspektif: Caj 20 Sen Beg Plastik Ibarat Curah Air Ke Daun Keladi

Refleksi Dikemaskini 10 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 07 Jun 2023 8:00AM

Peniaga menggunakan beg plastik untuk membungkus makanan kerana mudah dan jimat kos. - Gambar oleh Azim Rahman

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Kempen Tiada Plastik yang turut merangkumi pengenaan caj 20 sen bagi setiap beg plastik sekali guna dalam usaha kerajaan mengurangkan sisa plastik di negara ini, dilihat ibarat mencurah air ke daun keladi.

Rata-rata pengguna didapati tidak kisah membayar caj berkenaan apabila pergi membeli-belah, terutama di pasar raya dan pasar basah, dengan kebanyakan mereka keluar dari premis menjinjit beberapa beg plastik sarat barang yang dibeli.

Penggunaan beg plastik sekali guna, termasuk untuk membungkus makanan, masih berleluasa.di negara ini. - Gambar oleh Azim Rahman
Penggunaan beg plastik sekali guna, termasuk untuk membungkus makanan, masih berleluasa.di negara ini. - Gambar oleh Azim Rahman

Statistik sisa pepejal Kuala Lumpur dan Putrajaya mengukuhkan pemerhatian penulis. Pada 2021 misalnya, dua wilayah itu menghasilkan 101,949 tan plastik, iaitu 13 peratus daripada keseluruhan 772,349 tan sampah yang berakhir di tapak pelupusan.    

Tahun berikutnya, sisa plastik dari dua Wilayah Persekutuan berkenaan meningkat kepada 210,966 tan daripada 796,795 tan sampah yang dihasilkan.

Dari segi kutipan caj 20 sen itu pula, di Selangor sahaja sebanyak RM20 juta diperoleh bagi tempoh 2020 hingga Jun 2022, iaitu RM6.6 juta pada 2020, meningkat kepada RM8.5 juta pada tahun berikutnya dan RM4.8 juta hanya untuk enam bulan pertama 2022. 

Tinjauan penulis di beberapa premis termasuk gerai makanan di beberapa lokasi di Lembah Klang, mendapati penggunaan beg plastik sekali guna, termasuk untuk membungkus makanan, masih berleluasa.

MAMPUKAH DIREALISASI?

Hanya 19.5 peratus sisa plastik dunia telah dikitar semula, 25 peratus dibakar dan selebihnya dibuang ke laut sebagai sampah dalam tempoh 10 tahun belakangan ini. - Gambar oleh Azim Rahman
Hanya 19.5 peratus sisa plastik dunia telah dikitar semula, 25 peratus dibakar dan selebihnya dibuang ke laut sebagai sampah dalam tempoh 10 tahun belakangan ini. - Gambar oleh Azim Rahman

Peniaga warung makanan yang hanya mahu dikenali sebagai Mek Yah Rahman, 67, memberitahu penulis dia memilih menggunakan beg plastik sekali guna untuk membungkus makanan kerana mudah dan jimat kos.

“Beg plastik ni ada beberapa saiz, jadi mudah Mek nak bungkus kuih atau nasi lemak. Lagipun kos sediakan beg plastik murah berbanding beg kertas, dan sebab itulah peniaga-peniaga kecil seperti kami akan gunakan beg plastik.

“Lagipun kami tidak terikat dengan undang-undang caj 20 sen setiap plastik yang dikenakan… tapi, kalau selepas ini ada larangan, terpaksalah kami ikut,” katanya yang sudah hampir 10 tahun menjual nasi lemak dan pelbagai sarapan pagi di Batu Caves, Selangor.

Sepanjang berada di warung itu, penulis mendapati kesemua pelanggan yang datang tidak membawa bekas makanan sendiri. Begitu juga pelanggan di beberapa kedai berhampiran, kesemuanya datang "berlenggang” -  tanpa beg kitar semula atau bekas makanan sendiri di tangan. 

Menurut seorang pekerja di sebuah kedai serbaneka, Azreen Samsuri, 22,  kesedaran itu ada dalam kalangan masyarakat namun sikap acuh tidak acuh yang menjadi masalah utama.

Dia yang sudah tujuh tahun bekerja di kedai berkenaan, berkata pembeli juga tidak kisah membayar 20 sen bagi setiap beg plastik yang dikeluarkan oleh premis itu.

“… mungkin ada yang rasa leceh nak bawa beg sendiri. Bagaimanapun saya perhatikan kebanyakan pembeli hanya minta beg plastik jika barang yang dibeli adalah banyak atau barang basah,” ujarnya.

Hal ini diakui oleh seorang pengguna, Hairulnizam Sidek, 30. Katanya dia cakna kempen itu serta bahaya sisa plastik kepada alam sekitar, namun ada masa dia terlupa membawa beg kitar semula.

“Kadang-kadang selepas kerja kita singgah di kedai untuk membeli barang keperluan dan beg kitar semula pula kita tidak simpan di dalam kereta, terpaksalah guna beg plastik,” kata pekerja syarikat logistik di Shah Alam, Selangor itu.

LANGKAH DRASTIK

Cakna namun tega membiarkan alam sekitar terus dicemari. Sikap sebegini menimbulkan kebimbangan penulis tentang inisiatif kerajaan dalam melindungi alam sekitar kita, khususnya laut,  yang pada masa ini menurut pakar menjadi tempat pelupusan plastik paling besar.

“Hanya 19.5 peratus sisa plastik dunia telah dikitar semula, 25 peratus dibakar dan selebihnya dibuang ke laut sebagai sampah dalam tempoh 10 tahun belakangan ini.

"Secara purata, rakyat Malaysia menggunakan 300 beg plastik setahun, dan dianggar membuang lebih 30,000 tan plastik ke laut setiap tahun. Kajian juga menunjukkan negara Asia merupakan penyumbang terbesar sisa plastik yang dilepaskan ke laut, iaitu 80.99 peratus pada 2019,” kata Prof Madya Dr Halina Misran kepada Bernama.

 Jelas Ketua Makmal Nanoarchitectonic, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Tenaga Nasional itu lagi, pada 2019 sahaja dunia menghasilkan 9.54 bilion tan plastik, dan jumlah tersebut dijangka terus meningkat seiring pembangunan ekonomi dan gaya hidup penduduk. 

Justeru katanya inisiatif kerajaan untuk menghapuskan sepenuhnya penggunaan beg plastik sekali guna di semua premis dan sektor perniagaan di seluruh negara bermula 2025, adalah langkah tepat bagi mengurangkan secara drastik sisa plastik.

Plastik merupakan bahan yang sangat sukar terurai dan juga penyumbang terbesar kepada pencemaran alam sekitar serta merisikokan masyarakat kepada masalah kesihatan sekiranya sisa tersebut tidak diuruskan dengan baik, jelas beliau.

Nik Nazmi Nik Ahmad
Nik Nazmi Nik Ahmad

Sebelum ini, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata inisiatif itu akan dilaksanakan secara berperingkat dan merangkumi semua premis perniagaan termasuk warung dan gerai tepi jalan.

Dalam pada itu, walaupun Kempen Tiada Plastik dilancarkan pada 2018, ketika ini hanya empat negeri - Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Negeri Sembilan - paling ke depan dalam pelaksanaan kempen dengan Selangor dan Pulau Pinang paling aktif.

Pulau Pinang misalnya, menjadi negeri pertama menjalankan kempen bebas plastik iaitu bermula 2009 dengan pengenaan caj 20 sen, dan bermula Januari 2021 kadar dinaikkan kepada RM1 pada setiap Khamis hingga Ahad, manakala pada hari lain tiada beg plastik dibekalkan kepada pembeli.

BERI INSENTIF

Mengulas lanjut, Halina menyarankan kerajaan menawarkan insentif seperti pengurangan cukai bagi industri pembuatan dan kepenggunaan yang terlibat dalam kegiatan kitar plastik selain meningkatkan pemantauan berkala untuk memastikan pematuhan dasar sifar plastik di premis perniagaan.

Selain itu, kerajaan juga boleh menawarkan insentif kepada mereka yang membeli beg kitar semula, katanya.

“Kerajaan juga boleh memberikan insentif kepada syarikat perniagaan bergantung pada kemajuan dalam usaha mereka menyokong kempen kerajaan ke arah sifar penggunaan beg plastik.

“Usaha kesedaran perlu digiatkan secara berterusan sepanjang tempoh dua tahun ini,  khususnya di semua platform media sosial dan media massa, untuk memastikan semua pihak memainkan peranan menjayakan matlamat tersebut,” tegasnya.

Apapun usaha kerajaan, penulis melihat kejayaan inisiatif itu terletak pada bahu pengguna. Tepuk dada tanya selera. - Bernama

Berita Berkaitan

1

Semasa 7 bulan yang lalu

Kenaikan Caj Klinik Kesihatan Kerajaan Mesej Palsu - KKM

2

Semasa 11 bulan yang lalu

Tiada Beg Plastik Setiap Sabtu Di Ipoh Bermula 1 Jun 2023

3

Semasa 1 tahun yang lalu

Caj 90 Sen Kepada Warga Asing Bukan Diskriminasi

4

Semasa 2 tahun yang lalu

Bank Tidak Kenakan Faedah Terkompaun, Caj Lewat Bayar Moratorium - Tengku Zafrul

Sorotan

1

Letupan Bom Sungai Golok: PDRM Tingkat Kawalan Keselamatan Sempadan Malaysia – Thailand

2

Piala Thomas: Malaysia Benam Algeria 5-0 Untuk Tempah Slot Suku Akhir

3

Akta Keselamatan Kesihatan Pekerja (Pindaan) 2022 Berkuat Kuasa 1 Jun

4

Pakar Ekonomi Sabut Baik Penubuhan Akaun Ketiga KWSP

5

Kempen PRK KKB: Semua Pihak Diingatkan Tidak Sentuh Isu 3R - Fahmi

6

Genting Malaysia Nafi Babit Bincang Mengenai Kasino Di Forest City

Disyorkan untuk anda

Gaya 1 hari yang lalu

Duit Raya Mahu Dibelanjakan Atau Simpan?

oleh Rahayu MN

Selera 7 jam yang lalu

Grand Hyatt Kuala Lumpur Lancar Edisi Kedua #DinewithChef

Menggabungkan pelbagai hidangan dari seluruh dunia, pesta makanan ini berlangsung selama sebulan.

oleh Rahayu MN

Jelajah 1 hari yang lalu

Nikmati 'Staycation', Percutian Idaman Di 5 Hotel, Resort Baharu

Menawarkan pesona tersendiri, kesemua hotel ini menjanjikan pengalaman indah untuk percutian yang singkat

oleh Rahayu MN

Jelajah 4 jam yang lalu

Aplikasi Yang Patut Dimuat Turun Apabila Bercuti Ke 5 Negara dan Kota Popular Berikut

oleh Rahayu MN