web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 8 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


Tukar Sampah Kepada Barangan Keperluan, Bayar Sewa Rumah

Menerusi inisiatif ini, penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang membawa barang kitar semula ke kios 1C1R akan mendapat mata ganjaran yang boleh ditukar kepada pembayaran sewa rumah serta barang keperluan.

Refleksi Dikemaskini 4 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 14 Feb 2022 8:28AM

Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin, Kepong menyerahkan barangan kitar semula kepada petugas DBKL untuk ditukarkan kepada barangan keperluan asas. Gambar: Nurhafizah Tan, Bernama

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Inisiatif pertukaran sampah kepada potongan bayaran sewa rumah dan barangan keperluan asas menerusi 1C1R (1 Community 1 Recycle) mampu menarik minat masyarakat mempraktikkan amalan kitar semula, sekali gus memberi impak kepada kualiti alam sekitar.

Menerusi inisiatif menggunakan konsep sistem barter tersebut, penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang membawa barang kitar semula ke kios 1C1R akan mendapat mata ganjaran atau 'green coin' yang boleh dikumpul dari semasa ke semasa dan kemudiannya ditukar kepada pembayaran sewa rumah serta barangan keperluan harian. 

Misalnya, setiap satu kilogram (kg) sisa tin aluminium yang mewakili 12 mata ganjaran boleh ditukar dengan sepeket gula manakala setiap satu kilogram minyak masak terpakai akan ditukar kepada mata ganjaran bernilai sekitar RM2, yang jika dikumpul sehingga 1,240 mata ganjaran (50 kg) boleh ditukarkan kepada sewa bulanan bernilai RM124. 

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata inisiatif rintis yang mula dilaksanakan di lima PPR sejak Oktober tahun lepas itu juga dilihat sebagai langkah untuk meringankan beban warga kota serta kaedah alternatif kepada penyewa PPR Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terutama golongan B40. 

"Daripada mereka bawa dan buang sampah yang boleh dikitar semula ini ke rumah sampah sahaja, mereka boleh bawa ke kios kitar semula ini untuk sedikit sebanyak menampung sewa bulanan atau ditukar kepada barangan keperluan.

"Jadi secara tidak langsung ia akan dapat menjadi alternatif buat mereka yang tak mampu bayar sewa sekali gus mengurangkan jumlah mereka yang mempunyai tunggakan, walaupun sewa hanyalah RM124 ada yang tak mampu dan punya kekangan untuk bayar," katanya kepada Bernama. 

Mahadi berkata projek rintis menawarkan pertukaran barangan kitar semula kepada barangan keperluan asas seperti minyak masak dan tepung dijalankan di PPR Seri Alam, PPR Beringin dan PPR Seksyen 2 Wangsa Maju manakala pertukaran kepada pembayaran sewa rumah PPR dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Sosio Ekonomi dan Alam Sekitar di PPR Pekan Kepong dan PPR Wangsa Sari. 

Katanya, kutipan barangan kitar semula itu dibuat mengikut jadual iaitu dua atau tiga kali seminggu bagi PPR Seri Alam, PPR Beringin dan PPR Seksyen 2 Wangsa Maju manakala seminggu sekali bagi PPR Pekan Kepong dan PPR Wangsa Sari.

Beliau berkata DBKL akan mewujudkan tiga lagi kios menjelang hujung tahun ini bagi memastikan setiap Parlimen di Kuala Lumpur mempunyai kios terbabit sekali gus meluaskan penglibatan lebih ramai warga kota. 

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Wangsa Sari Mazlan Abdul Latif berkata pelaksanaan itu dilihat dapat memberi kesedaran kepada penduduk selain menggalakkan amalan kitar semula. 

"Harga sekilo minyak masak baharu pun sekitar RM2, daripada kita buang ke rumah sampah lebih baiklah kita beri kepada kios seperti ini, seolah-olah dapat semula nilai minyak yang telah digunakan selain tidak mencemarkan alam," katanya.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga PPR Beringin Che Roziani Mohd Shariff pula berkata inisiatif itu bukan sahaja memudahkan penduduk menyerahkan barangan kitar semula malah menyumbang kepada persekitaran perumahan yang lebih bersih dan kemas, selain membantu penjanaan pendapatan sampingan. 

"Selalunya penduduk suka kumpul barangan kitar semula ini di koridor dan bawah tangga sementara nak dijual kepada vendor yang selain tidak bersih ia juga menghalang laluan, tapi sekarang lebih cepat dan mudah hantar ke sini (kios)," katanya. 

Barangan kitar semula seperti tin, kertas dan plastik akan dijual semula kepada vendor kitar semula manakala minyak masak terpakai antara lain dijadikan bahan kajian untuk pembangunan penukaran menjadi biodiesel. - Bernama

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 tahun yang lalu

DBKL Batal Sambutan Ambang Merdeka

2

Sukan 1 tahun yang lalu

KLFA Dan KL City FC: Tiada Kewajipan Untuk DBKL Salur Peruntukan Kewangan

3

Semasa 2 tahun yang lalu

Berniaga Tanpa Kebenaran, 9 Peniaga Warga Asing Dikenakan Tindakan

4

Semasa 2 tahun yang lalu

PM Arah Tanam 100 Pokok Gantikan Pokok Terpaksa Ditebang

Sorotan

1

‘Hubungi Pihak Universiti Jika Berdepan Masalah, Jangan Malu Atau Segan’ - Zambry

2

Ops Bersepadu Khazanah Bongkar Aktiviti Pemburuan Haram, 8 Warga Myanmar Ditahan

3

AGC Klasifikasi Aduan Albert Tei Terhadap Azam Baki Sebagai NFA

4

Retorik Eksklusif MB Johor Khianati Rakyat, Dedah Hipokrasi Politik UMNO

5

PRN Johor: 2.7 Juta Layak Mengundi, Lebih 40,000 Petugas Pilihan Raya Dilantik

6

Gempa Bumi Selatan Filipina: Angka Korban Meningkat 37, Ribuan Gempa Susulan Menanti Penyelamat

Disyorkan untuk anda

Jelajah 1 hari yang lalu

Pasar Bisik Kuala Muda, Tradisi Dagangan Yang Masih 'Berbisik' Di Tengah Arus Moden