Berita Terkini

2 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Pindaan Perlembagaan Ubah Pemimpin UMNO Menjadi Diktator

Politik Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 21 May 2022 9:18AM

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas yang diadakan pada 15 Mei lalu telah meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO agar pemilihan parti diadakan dalam tempoh enam bulan selepas PRU. - Gambar Syeda Imran

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Pindaan Perlembagaan UMNO agar pemilihan parti diadakan dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU), membuktikan amalan demokrasi dalam parti itu semakin ‘berkecamuk’ dan menjadikan pemimpinnya ibarat diktator.

Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad mempersoalkan perkara itu yang dilihat dikehendaki Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin tertinggi parti, namun menjadikan perwakilan seolah-olah ‘kambing hitam’ bagi meluluskan pindaan terbabit.

“Untuk memudahkan perbincangan ini, saya hanya merujuk kepada jawatan yang disebut dan Fasal 9.3, iaitu Presiden, Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden serta 25 Ahli Majlis Tertinggi (MT) yang dipilih oleh Perhimpunan Agung tiap-tiap tiga tahun sekali.

“Sebelum dipinda, MKT (Majlis Kerja Tertinggi) hanya boleh menangguh pemilihan selama 18 bulan, menjadikan hayat jawatan pemegang itu tiga tahun ditambah 18 bulan menjadikannya empat tahun enam bulan. Pemilihan mesti diadakan sebelum tamat tempoh empat tahun enam bulan itu. 

“Selepas dipinda, MKT ada dua pilihan, tidak lebih daripada 18 bulan atau tidak lebih daripada enam bulan selepas diadakan sesuatu PRU. Bagaimanapun, perhatikan perkataan ‘atau’ digunakan dalam ayat itu. Ertinya, MKT hanya boleh memilih salah satu daripada dua pilihan yang ada itu,” katanya kepada Getaran.

Terdahulu, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO agar pemilihan parti diadakan dalam tempoh enam bulan selepas PRU.

Pindaan tersebut juga bagi membolehkan MKT diberi pilihan menentukan tempoh masa pemilihan parti.

Usul itu diluluskan sebulat suara 2,586 perwakilan UMNO dari 192 bahagian seluruh negara yang hadir di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, baru-baru ini.

Selepas perkara itu berjaya direalisasikan, MKT UMNO akan diberi dua pilihan di bawah fasal 10.16 Perlembagaan parti terbabit, sama ada melanjutkan tempoh pemilihan parti selama 18 bulan atau dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) selesai diadakan.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid menegaskan sekiranya pemimpin tertinggi parti mahu memegang tampuk kuasa dengan lebih baik, Ahli MKT akan menggunakan klausa pertama kerana memberikan mereka 18 bulan tambahan, tidak kira PRU diadakan sebelum tamat tempoh tersebut atau tidak.

Sekiranya klausa kedua digunakan, beliau berkata, pemilihan UMNO harus dibuat dalam tempoh enam bulan selepas PRU diadakan yang besar kemungkinan akan dilaksanakan kurang daripada 18 bulan.

“Katakanlah PRU baru sahaja diadakan sebelum tamatnya tempoh tiga tahun itu. Dalam keadaan ini, jika MKT memilih menggunakan klausa pertama, penangguhan hanya selama 18 bulan selepas tarikh tamat tempoh tiga tahun itu.

“Sebaliknya, jika ia memilih klausa kedua, sama ada penangguhan akan lebih atau kurang daripada 18 bulan tertakluk kepada bila PRU berikutnya diadakan. Jika ia diadakan di hujung tempoh lima tahun hayat Parlimen, ia boleh jadi hampir tiga tahun, ditambah lima tahun enam bulan menjadikannya mampu berkuasa selama lapan tahun enam bulan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sekiranya Ahmad Zahid sebagai Perdana Menteri dan kebanyakan barisan Kabinet terdiri daripada MKT UMNO, maka ia membuka peluang kepada pemimpin tersebut untuk terus memegang jawatan dalam parti seberapa lama mereka mahu.

“MKT boleh menggunakan klausa kedua. Presiden UMNO boleh mengatur bila tarikh pemilihan diadakan tertakluk kepada apa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan parti. Sebagai Perdana Menteri beliau boleh pula mengatur tarikh PRU dalam tempoh lima tahun hayat Parlimen itu yang boleh memberi tempoh paling panjang baginya dan penyokong memegang jawatan parti. 

“Ia boleh jadi hampir lapan tahun enam bulan (tiga tahun + lima tahun + enam bulan = lapan tahun enam bulan). Ertinya, mereka boleh memegang jawatan hampir tiga kali ganda daripada tempoh tiga tahun asal,” katanya.

Lantaran itu, Abdul Hamid menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meminta penjelasan terperinci daripada UMNO terhadap kemusykilan yang berlaku pada perlembagaan parti itu dan sekiranya tidak memuaskan, ia perlu dipinda semula.

“Biar apa pun kita tunggulah keputusan Pendaftar. Tetapi, jika pindaan itu diluluskan sekalipun, ia tidak boleh digunakan untuk menangguh tarikh pemilihan sekali lagi bagi melanjutkan tempoh jawatan penjawat pada masa ini. Berbuat demikian bererti menggunakan kedua-dua pilihan itu, lepas satu, satu. Itu tidak dibenarkan oleh pindaan,” katanya.

Lantaran itu, Abdul Hamid menyarankan agar UMNO kembali ke pangkal jalan kerana tiga tahun sekali sudah terlalu lama untuk pertubuhan, mahupun parti politik mengadakan pemilihan ahli jawatankuasa.

“Dalam keadaan yang sangat terkecuali, penangguhan tidak lebih dari enam bulan adalah patut dan memadai. Lebih dari itu, apatah lagi seperti pindaan baru ini, ia mengurangkan amalan demokrasi dan menggalakkan kediktatoran dalam parti.

“Sama ada ia digunakan sedemikian atau tidak bukanlah isunya, namun mengapa mengesahkan apa yang sepatutnya menjadi penyalahgunaan kuasa dalam parti terbabit,” katanya. - Getaran, 21 Mei 2022.

Sorotan

1

Pemain Badminton Negara Pamer Kekuatan Mental Menjelang Piasa Thomas, Uber

2

Pelajar Sekolah Meninggal Dunia Ketika Acara Larian Rentas Desa

3

Lelaki Israel Miliki Senjata: 10 Individu Ditahan Bawah SOSMA

4

PM, Kerajaan Enggan Terlibat Keputusan Lembaga Pengampunan Berhubung Kes Najib

5

AS Guna Veto Halang Usul Iktiraf Keahlian Palestin Dalam PBB

6

Jangan Abai Peruntukan Untuk Pembangunan Sukan - Hannah

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Tun Musa Teguh Dengan Prinsip, Integriti – PM

oleh Wartawan Getaran

Semasa 13 jam yang lalu

Malaysia Kesal UNSC Gagal Iktiraf Palestin Sebagai Anggota Penuh PBB

oleh Wartawan Getaran

Semasa 1 hari yang lalu

Tiada Keperluan Pemindahan Pulang Rakyat Malaysia, Keadaan Stabil Di Timur Tengah

Sukan 1 hari yang lalu

KDA FC Langsai Keseluruhan Tunggakan Gaji Pemain, Pegawai

oleh Rafisqi Radhi