Kuala Lumpur - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yakin Pakatan Harapan (PH) bijak mengurus kewangan Johor ketika mentadbir negeri tersebut pada Mei 2018 hingga Februari 2020.
Katanya, pencapaian itu terbukti sahih berdasarkan sepuluh perkara yang disebut dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019, sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat pada 5 November 2020.
“Di dalam ringkasan eksekutif laporan tersebut menyebut rekod perakaunan kewangan kerajaan Johor telah diselenggara dengan teratur dan kemas kini. Kedudukan kewangan kerajaan negeri juga adalah stabil.
“Baki terkumpul Kumpulan Wang Disatukan pada akhir 2019 pula berjumlah RM2.653 bilion iaitu meningkat sebanyak RM189.12 juta atau 7.7 peratus berbanding RM2.464 bilion pada akhir 2018,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

Malah beliau berkata, Akaun Hasil Disatukan menunjukkan lebihan semasa berjumlah RM68.23 juta.
Katanya lagi, kutipan hasil turut meningkat sebanyak RM202.30 juta atau 13.1 peratus menjadi RM1.745 bilion berbanding RM1.543 bilion pada 2018.
“Prestasi perbelanjaan dan pelaksanaan Projek Pembangunan Kerajaan Negeri atau Rancangan Johor 5 Tahun ( RJ5T) di bawah RMKe-11 sehingga 2019 adalah baik.
“Sejumlah RM2.505 bilion atau 70.6 peratus telah dibelanjakan berbanding RM3.550 bilion peruntukan yang diluluskan,” katanya.
Menurut Hassan, daripada 4,762 jumlah projek yang dirancang, sebanyak 4,446 atau 93.4 peratus sudah disiapkan sepenuhnya pada 2019.
Katanya, baki pinjaman Boleh Dituntut juga menurun sebanyak RM47.65 juta (9.4 peratus) daripada RM504.87 juta pada 2018 kepada RM457.22 juta tahun berikutnya.
“Hutang Awam menurun sebanyak RM298.55 juta atau 57.3 peratus menjadi RM222.39 juta berbanding RM520.94 juta pada 2018.
“Tunggakan bayaran balik Hutang Awam kerajaan negeri berkurang sebanyak RM189.39 juta atau 56.6 peratus menjadi RM145.12 juta berbanding RM334.51 juta pada 2018,” katanya.
Justeru beliau sekali lagi meyakinkan rakyat Johor supaya mengembalikan semula mandat kepada PH menerusi undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu.
“Oleh itu adalah satu tanggungjawab kepada seluruh rakyat Johor untuk sekali lagi memilih PH pada PRN kali ini.
“Ini bagi membolehkan PH mentadbir Johor supaya negeri ini akan bangkit, maju dan bermaruah,” katanya.
Terdahulu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, jumlah pelaburan di negeri itu mula menjunam selepas 2018.
Titah baginda, Johor memerlukan dasar yang menggalakkan perkembangan ekonomi dan pembangunan ketara supaya dapat memberi manfaat kepada rakyat.
“Johor merupakan negeri yang mempunyai jumlah pelaburan tertinggi antara tahun 2016, 2017 dan 2018. Tetapi selepas 2018, jumlah pelaburan di Johor mula menjunam.
“Saya berharap ekonomi negeri akan bertambah baik dan dapat secara langsung menyediakan lebih peluang pekerjaan untuk Bangsa Johor,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi milik baginda.
Tunku Ismail bertitah, pemulihan ekonomi itu amat penting bagi memastikan rakyat boleh menjana lebih pendapatan dan mempunyai keupayaan perbelanjaan yang lebih tinggi. - Getaran, 15 Februari 2022

