CYBERJAYA – Kekangan masa antara faktor yang menyebabkan ada dalam kalangan individu yang sudah bekerja tidak berminat untuk menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi.
Menyedari perkara itu, Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya kini menerapkan konsep ‘education on the go’ bagi memupuk minat golongan pekerja.
Inisiatif itu, yang menerapkan penggunaan teknologi paling inovatif, antara lain menjadikan pembelajaran lebih anjal, terintegrasi dalam kehidupan harian, dan boleh diakses melalui teknologi mudah alih, sejajar perkembangan teknologi masa kini.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaya, Profesor Dr. Yatimah Alias, berkata Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya berusaha untuk menyesuaikan pembelajaran dengan evolusi teknologi abad ke-21, bagi menggalakkan individu untuk terus belajar, memperbaharui pengetahuan, dan meningkatkan kemahiran sepanjang hayat.
“Kami memahami betapa pentingnya pembelajaran sepanjang hayat walaupun selepas tamat sekolah dan universiti.
“Dengan adanya akses teknologi mudah alih seperti telefon pintar atau tablet, konsep ini sesuai diterapkan dalam proses pembelajaran dan menjadi hasrat kami untuk mengaplikasikan teknologi paling inovatif ke dalam amalan pendidikan di Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Menandatangi Memorandum Persefahaman (MoU) antara TEKUN Nasional dan Universiti Malaya bagi membina perkongsian strategik, untuk meneroka peluang meningkatkan pendidikan dan latihan kepada kakitangan TEKUN Nasional.
Majlis yang berlangsung di Universiti Malaya Kampus Cyberjaya turut dihadiri Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, Datuk Adam Abd Ghani, dan Pengarah International Relations Centre (IRC) Universiti Malaya Prof. Dr. Andri Andriyana.
Yatimah berkata, pembelajaran berasaskan pengalaman, menjadi pemangkin kepada Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya kerana, ia menggalakkan penglibatan aktif dalam proses pembelajaran, berbanding penyerapan maklumat secara pasif.
Beliau berkata, kaedah itu akan menjadikannya lebih menarik dan mudah diingati.
“Pembelajaran berasaskan pengalaman membantu individu mengembangkan kemahiran praktikal, keupayaan menyelesaikan masalah, dan kebolehsuaian. Kemahiran-kemahiran ini sangat berharga dalam konteks pendidikan dan peribadi.
“Malah, boleh disesuaikan dengan minat dan keperluan individu. Pelajar boleh memilih pengalaman yang sejajar dengan matlamat dan aspirasi mereka bagi menjadikan proses pembelajaran lebih peribadi,” katanya.
Beliau berkata, MoU yang dimeterai hari ini adalah langkah penting untuk membina ekonomi yang lebih mampan di Malaysia.
Beliau berkata, bahkan, ia akan menjadi contoh terbaik bagaimana kerjasama strategik antara entiti kerajaan dan institusi akademik dapat memberi manfaat besar kepada masyarakat. – Getaran, 21 November 2023
.jpg)