Berita Terkini

1 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Bajet 2022: Diskaun PTPTN Disambut Baik, Peminjam Tarik Nafas Lega

Pendidikan Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 30 Oct 2021 12:38PM

Menerusi pengumuman Bajet 2022 semalam, kerajaan bersetuju memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 1 November ini hingga 30 April 2022. - Gambar fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Pengumuman kerajaan untuk memberi diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bermula 1 November ini, mendapat perhatian ramai pihak dalam pembentangan Bajet 2022.

Majoriti melahirkan rasa lega apabila kerajaan mengumumkan diskaun bayaran balik PTPTN kepada semua yang terlibat.

Norafarhanis Rahman
Norafarhanis Rahman

Pekerja sambilan, Norafarhanis Rahman, 33, berkata, pengumuman tersebut merupakan berita gembira kerana sudah lama dia berazam untuk menyelesaikan baki pinjaman yang tertunggak.

“Saya rasa ia merupakan berita gembira buat saya dan pelajar lain yang berniat untuk melangsaikan hutang pembelajaran secepat mungkin. Dengan pengumuman bajet 2022 semalam, ia secara tidak langsung memberi sedikit kelegaan kerana masih mempunyai masa sehingga April depan untuk mengumpul wang dan melangsaikan hutang pembelajaran saya.

“Mungkin ada sesetengah orang tidak peduli untuk membayar hutang pembelajaran dan menganggap diskaun yang diberikan kerajaan itu cuma jumlah kecil atau berharap PTPTN dilupuskan, tapi bagi saya hutang merupakan satu amanah yang perlu diselesaikan. Dapat diskaun 15 peratus pun pada saya sudah cukup berterima kasih daripada tiada diskaun langsung,” kata Norafarhanis ketika dihubungi Getaran.

Farhah Liyana Ruslan
Farhah Liyana Ruslan

Sementara itu, pekerja swasta, Farhah Liyana Ruslan, 32, pula berpendapat, kerajaan wajar melanjutkan lagi tempoh pemberian diskaun bayaran balik PTPTN sehingga hujung tahun 2022.

“Pada pendapat saya, kerajaan wajar memberikan peluang kepada peminjam untuk menyelesaikan hutang mereka dan memberikan diskaun sehingga hujung tahun 2022 kerana pada ketika ini, ekonomi baru kembali stabil. Beri ruang dan masa kepada individu yang dibuang kerja atau dipotong gaji semasa pandemik COVID-19. 

“Ramai yang terjejas sebelum ini baru bangun kembali untuk meneruskan kehidupan mereka dan mula menyimpan duit. Jika diberikan tempoh hingga akhir tahun depan, pastinya akan lebih ramai peminjam PTPTN membayar hutang tersebut secara penuh,” katanya.

Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful Wan Jan

Sementara itu Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri  Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang meluluskan permohonan PTPTN berkaitan diskaun berkenaan.

Mengulas lanjut Wan Saiful berkata, persetujuan kerajaan berkaitan diskaun itu amat dihargai terutama dalam objektif PTPTN membantu anak muda yang terbeban dengan suasana ekonomi sekarang.

"Saya juga gembira dengan pelbagai peruntukan yang diberikan dalam rangka melindungi pekerjaan dan mencipta pekerjaan. Ini akan banyak memberi manfaat kepada rakyat, terutama kepada anak muda dan mereka yang terkesan dengan COVID-19.

"Pekerjaan yang stabil adalah penyelesaian sebenar kepada cabaran hidup rakyat. Program yang diumumkan dalam Bajet 2022 seperti JaminKerja, MyStep, rebat cukai untuk penyertaan kursus peningkatan kemahiran, dan lain-lain lagi adalah intervensi penting untuk mewujudkan penyelesaian yang lestari," katanya.

Semalam, Menteri Kewangan, Tengku  Zafrul ketika membentangkan Bajet 2022 berkata, kerajaan bersetuju memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 1 November ini hingga 30 April 2022.

Beliau berkata, ia meliputi diskaun sebanyak 15 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman serta diskaun 12 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran.

Manakala, diskaun 10 peratus pula diberikan untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual. - Getaran, 30 Oktober 2021.

Sorotan

1

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini

2

PRK DUN KKB : Aspek Ekonomi Antara Fokus Kerajaan Perpaduan Sepanjang Kempen

3

Lebih 14,000 Aduan Diterima Menerusi Aplikasi MYJalan Setakat Ini - Ahmad Maslan

4

Pang Sock Tao Calon Kerajaan Perpaduan Bagi PRK Kuala Kubu Baharu

5

KPU Indonesia Isytihar Prabowo, Gibran Presiden Dan Naib Presiden 2024-2029

6

Amalan Pemakanan Tidak Sihat, Kurang Aktiviti Fizikal Punca Utama Obesiti - Dr Dzulkefly

7

642 Pegawai, Anggota Polis Selangor Bertugas Pastikan Kelancaran PRK Kuala Kubu Baharu

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Nahas Helikopter TLDM: Semua Mayat Mangsa Telah Dikeluarkan

Semasa 19 jam yang lalu

Kes Palsukan Dokumen : Anak Menteri Besar Perlis Antara 6 Direman SPRM

oleh Wartawan Getaran

Semasa 21 jam yang lalu

Tragedi Helikopter: Kerajaan Perak Akan Bincang Bentuk Bantuan Kepada Waris

Semasa 1 hari yang lalu

Langkah Kerajaan Laksana Subsidi Bersasar, Skim Baharu Gaji Penjawat Awam Berdasarkan Prinsip - Fahmi