2020 meninggalkan 1001 kenangan manis kepada penyanyi, Dato’ Sri Siti Nurhaliza dek beberapa pencapaian dan anugerah yang diperolehinya termasuk kejayaan menerusi album ManifestaSITI2020.
Antara kejayaan yang telah dicapai beliau adalah ‘Artis Paling Banyak Distrim’ di Spotify dan JOOX, 100 Asia Digital Star, Most Admired Women 2020, 500 Influential Muslim 2021, Nona Homegrown Award dan ‘Individu Tergempak’ (Astro Gempak).
Selain itu, dua buah lagu dari album ManifestaSITI2020 iaitu ‘7 Nasihat’ dan ‘Aku Bidadari Syurgamu’ layak ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu 35. Terbaharu, video muzik ke-7 dari album tersebut, ‘Kuasa Cintamu,’ telah mendapat lebih 2 juta tontonan.
Sebagai pembuka tahun baharu 2021, sebuah lagi video muzik daripada penyanyi ini akan dilancarkan iaitu ‘Takhta Dunia.’ Lagu dan lirik ‘Takhta Dunia’ adalah ciptaan komposer terkenal Indonesia, Ryan Kyoto.
Maksud lagu dan MV Takhta Dunia
Lagu ini punyai keunikan tersendiri dari segi melodi serta intipati lirik yang dihasilkan sangat memberi makna. Bersesuaian dengan maksud liriknya, muzik video (MV) digarap istimewa dengan elemen minimalis dan teater muzikal.
Pengarahnya, Azhar dari Rasa Film telah menonjolkan peranan penari serta pelakon sebagai medium penyampai mesej teguran secara simbolik.
Sebagai contoh, Azhar menterjemahkan mesej simbolik menerusi lakonan menggunakan telefon bimbit dan pelekat mulut yang membawa maksud, jasad terperangkap di zaman lampau namun kelakuan tetap wujud pada zaman sekarang.
MV ini berlatarbelakangkan Era 70-an di sebuah stesen keretapi yang dinamakan Lipis Sentral. Lokasi penggambaran diadakan di ruang pameran luar Muzium Sultan Alam Shah yang menempatkan kepala dan gerabak keretapi lama.

Bagi mengupas lirik lagu ini, ‘Takhta Dunia’ sarat dengan nilai moral kerana mengingatkan supaya setiap orang bersikap baik, menjauhi hasad dengki serta menjaga tutur kata. Apabila perkara ini menjadi amalan, hati seseorang akan bersih dan tidak tercela.
Visual lakonan di dalam MV ke-8 menerusi album ManifestaSITI2020 ini banyak mengaitkan isu semasa masyarakat seperti vandalisma, berebut kerusi atau tidak bertolak ansur, buli siber dan juga menyeluk saku atau mencuri.

Beliau menyifatkan video muzik ‘Takhta Dunia’ sebagai pembuka lembaran tahun baharu dengan memberi mesej yang baik kepada masyarakat. Menurutnya, seiring dengan arus kemodenan dan perkembangan dunia hari ini, setiap individu tidak harus hilang nilai baik atau adab mereka.
“Sebagai seorang penyanyi, saya bertanggungjawab mengenengahkan mesej yang baik menerusi lagu. Sesuai faktor usia, semakin dewasa dan matang, saya harus menghidangkan karya yang bukan sahaja memberikan hiburan tetapi kesedaran,” ungkap penyanyi yang baru sahaja menyambut usia ke-42 tahun pada 11 Januari lalu.
MV TAKHTA DUNIA YANG TERAKHIR SEBELUM HAMIL ANAK KEDUA

Sambungnya lagi, penggambaran MV adalah di antara kerja terakhirnya sebelum berehat untuk memberi fokus kepada persediaan kehamilan. Dia sendiri telah berbincang dengan pihak produksi untuk tampil menggayakan imej wanita era 70-an bagi memberi kelainan untuk MV ‘Takhta Dunia’ ini.
Dato’ Sri Siti Nurhaliza menggunakan khidmat pereka fesyen Rizman Ruzaini dan jurusolek Ahma Dhani bagi mencapai imej tersebut. - Getaran, 29 Januari 2021
