KUALA LUMPUR - Sebuah video ditonton 18 juta kali selepas tular di media sosial mendakwa ‘hujan cacing’ berlaku di Beijing, China.
Bagaimanapun, Reuters yang memetik pakar sebagai berkata, fenomena itu sebenarnya bunga catkin yang gugur dari pokok poplar yang sering ditemukan di wilayah utara China.
Video berdurasi 20 saat yang tular di TikTok pada 10 Mac lalu, menunjukkan deretan kereta di jalan raya diselubungi objek berbentuk seperti cacing.
Rata-rata netizen pelik dan tertanya-tanya mengenai fenomena itu.
Menurut pakar lagi, hujan cacing tidak mungkin berlaku kerana keadaan terlalu sejuk di wilayah itu untuk organisma berkenaan.
Pokok poplar adalah sebahagian daripada keluarga willow dan berasal dari hemisfera utara.
Bunga catkin adalah gugusan bunga berbentuk silinder yang terkulai, susulan itu, menerusi pandangan mata kasar ia dilihat sebagai cacing.

Pakar berkata, tanpa sampel untuk diteliti, sukar untuk mengesahkan identiti cacing sebagaimana didakwa.
Namun, serpihan bertali dalam gambar itu berkemungkinan bukan cacing, tetapi bunga catkin daripada beberapa spesies pokok di China.
Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) berkata, China mempunyai pelbagai jenis pokok dalam keluarga poplar, terutamanya di wilayah utara negara itu.
Pakar entomologi di makmal utama wilayah Hunan untuk Biologi dan Kawalan Penyakit Tumbuhan dan Perosak Serangga China, Guo-Hua Huang memberitahu Reuters, bahawa video yang tular itu adalah bunga daripada pokok poplar.
Katanya, beberapa organisma hidup boleh ditemui di utara China ketika ini disebabkan oleh suhu rendah dan kebiasaannya “tidak mungkin cacing atau mana-mana organisma hidup lain jatuh dari langit sebagai hujan.” - Reuters

