Berita Terkini

2 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 2 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Perihal Laici, Tanjung Pagar, P. Ramlee dan Lady Gaga

Kita belum boleh melintasi mana-mana sempadan antarabangsa. Kalau tidak, pantang diajak, mana pun kalau boleh kita cuba sampai. Jom baca coretan kenangan kolumnis kami dengan negara jiran kita, Singapura.

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 07 Aug 2021 12:16PM

Gambar Hiasan oleh Joshua Ang, Unsplash

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Panggillah apa pun - Temasek, Simhapura, Kota Singa, Shonanto, Singapura atau Singapore – pulau kecil ternama di dunia itu memiliki sejarah yang panjang, penuh dengan drama-drama pemerintahan serta perkembangan sosioekonomi yang gah sejak awal abad ke-2 Masehi lagi.

Daripada kisah Putera Raja Palembang, Sang Nila Utama ternampak kelibat ‘kucing gagah’ membawa kepada penjajahan Kerajaan Srivijaya hinggalah menjadi wilayah Kesultanan Johor pada abad ke-16 hingga ke-19, Singapura terus berkembang maju dengan kedatangan Stamford Raffles bersama Syarikat Hindia Timur British pada 1819.

Ia kemudian dimasyhurkan sebagai Negeri-Negeri Selat atau The Straits Settlements pada 1826.

Jepun kemudian datang menakluki Singapura daripada British pada 1942 namun dirampas semula oleh British pada 1945. Singapura seterusnya mendapat restu daripada British untuk membentuk pentadbiran sendiri pada 1950-an. Kemudian ia memasuki fasa masuk keluar Malaysia pada 1963 dan 1965.

Sebagai sebuah negara yang merdeka, makmur dengan kedudukan strategik, Singapura dilihat terus pesat sebagai salah satu pusat komersial dunia dengan menampakkan kestabilan dari sudut politik, ekonomi dan sosial.

Saya sendiri sebagai penulis dan wartawan sudah tidak ingat lagi berapa kali sebenarnya saya naik turun ke Singapura demi tugas. Ada melalui jalan darat melintasi Tambak Johor ke Woodlands dengan kereta, kereta api dan bas selain terbang terus dengan pesawat ke Changi Airport.

Lapangan Terbang Changi pada tahun 1986. Gambar: Laman web Changi Airport
Lapangan Terbang Changi pada tahun 1986. Gambar: Laman web Changi Airport

Ketika bergelar murid dulu, saya telah dibawa jalan-jalan ke Ochard Road kerana ada ahli keluarga saya telah berkahwin dengan orang Johor. Ketika itu saya selalu melihat ramai orang Malaysia suka sangat membeli buah laici dalam tin dan sarung kusyen kalau ke Singapura.

Sebenarnya kedua-dua barangan wajib itu jauh lebih murah kalau dibandingkan dengan di Malaysia. Ketika itu juga kadar tukaran Ringgit kita tidak banyak bezanya dengan Dolar Singapura, jadi memang seronoklah berbelanja khususnya menjelang musim perayaan.

Tidak kiralah Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas, masing-masing mahu mendapatkan fesyen terkini dari Singapura. Hakikatnya dari dulu sampai sekarang, kota-kota lain memang susah hendak tandingi Singapore Sale.

Zaman dulu-dulu, orang kita terus masuk ke Singapura dengan kereta api ke Tanjung Pagar. Memang itulah juga laluan Tan Sri P. Ramlee dan ramai lagi bintang-bintang filem tersohor apabila berhijrah untuk membina nama di Studio Jalan Ampas dan Cathay-Keris.

Di kedua-dua studio besar itulah lahirnya filem-filem Melayu yang gagah seperti Hang Tuah, Hujan Panas, Panggilan Pulau, Semerah Padi, Anakku Sazali, Sumpah Orang Minyak, Bujang Lapok, Antara Dua Darjat, Ibu Mertuaku, Madu Tiga, Pontianak, Cucu Datok Merah, Patong Cendana dan Naga Tasik Chini

Ia bermula sesudah pengusaha taman hiburan dan mogul filem legenda, Shaw Brothers (Runme dan Run Run) berhijrah dari Hong Kong ke Singapura pada 1940-an.

Mereka yang mengenali pengusaha persembahan Bangsawan, telah membangunkan Malay Film Productions (MFP) di sebuah premis di Jalan Ampas. Pada zaman itu, ramai bintang filem Melayu menetap kuarters atau berek di Boon Teck Road dan Tanjung Katong.

Kalau sebut Studio Jalan Ampas, terus saya terbayang kelibat wajah pengawal keselamatan Benggali yang menjaganya, difahamkan bernama Pritam dan Karam Singh. Selepas ditutup, studio bersejarah itu kini menjadi suatu tinggalan usang. Sayang sungguh.

P. Ramlee di Studio Jalan Ampas. Tangkapan layar filem 'Seniman Bujang Lapok'
P. Ramlee di Studio Jalan Ampas. Tangkapan layar filem 'Seniman Bujang Lapok'

Studio Cathay-Keris pula berpusat di Tempinis dan kemudian East Coast Road. Ia ditubuhkan oleh pengusaha filem dan pawagam Ho Ah Loke dan rakan kongsinya Loke Wan Tho.

Antara bintang-bintang studio ini adalah Latifah Omar, Maria Menado, Mustaffa Maarof, Nordin Ahmad dan Siput Sarawak. Ada di antara mereka pernah juga berlakon dalam filem terbitan Shaw Brothers.

Apa yang nyata, perfileman Melayu di nusantara mula bertapak di Singapura namun akhirnya berpindah ke Kuala Lumpur dengan menyaksikan penubuhan Studio Merdeka, Hulu Kelang, disusuli banyak syarikat perfileman bebas yang kita lihat hari ini ditambah anak syarikat gergasi penyiaran seperti Media Prima Berhad dan Astro.

Malah situasi kini menjadi terbalik pula apabila ramai pelakon Singapura kini berhijrah ke Kuala Lumpur.

Itu cerita filem. Industri muzik rakaman Malaysia dan Singapura juga saling berkait kerana penyanyi Malaya sejak zaman sebelum merdeka lagi ramai menggilap nama di pulau itu.

Pada dekad 1960-an hinggalah 1980-an banyak album artis Malaysia dan Singapura sendiri dirakamkan di studio terkenal Singapura seperti album Alleycats, Kembara, Anita Sarawak, Othman Hamzah, Rina Rahman, Rahimah Rahim, Sharifah Aini dan Uji Rashid.

Antara studio pilihan produser dulu adalah Lion Studio, di Commonwealth Drive.

Antara album LP yang dirakamkan di Lion Studio - Kembara dan Alleycats
Antara album LP yang dirakamkan di Lion Studio - Kembara dan Alleycats
Antara album LP yang dirakamkan di Lion Studio - Kembara dan Alleycats
Antara album LP yang dirakamkan di Lion Studio - Kembara dan Alleycats

Kata Sharifah Aini, beliau suka menyanyi di Singapura sebab peminat di sana begitu berbesar hati dan menghargai setiap artis yang muncul dalam konsert mahupun persembahan TV.

Selain itu katanya, peminat di Singapura akan bergaya cantik kalau datang menonton persembahan beliau dan bermurah hati pula memberikan bermacam hadiah.

Malah kalau turun ke Singapura, penyanyi 'Bunga Tanjung' itu akan membungkus pulang murtabak dan nasi beriani Singapore ke Kuala Lumpur. Bukan sahaja beliau. saya sendiri kalau masuk ke Singapura, mesti singgah ‘pekena’ Murtabak Zam Zam berhampiran Masjid Sultan dan North Bridge Road. Memang sedap dan tebalnya lain macam.

Restoran Zam Zam di Singapura. Gambar: Laman Web Zam Zam Singapore
Restoran Zam Zam di Singapura. Gambar: Laman Web Zam Zam Singapore

Seperti yang saya katakan awal tadi, tugas sebagai wartawan banyak membawa saya ke Singapura kerana promosi dan tayangan filem (junket) sering kali dibuat oleh studio besar di Hollywood sekiranya mereka tidak memilih Kuala Lumpur, Bangkok atau Manila.

Antara kenangan manis terawal dulu adalah mewawancara produser terkenal Arnold Kopelson yang datang mempromosikan filem Eraser lakonan Arnold Schwarzenegger, Vanessa Williams dan James Caan pada 1996. Kopelson yang peramah itu pernah menerbitkan filem hebat lain seperti Platoon, The Fugitive dan The Devil’s Advocate.

Penulis sedang menemu bual produser Hollywood, Arnold Kopelson di Singapura
Penulis sedang menemu bual produser Hollywood, Arnold Kopelson di Singapura

Terdahulu pada 1995, saya juga telah dihantar ke Singapura bagi movie junket untuk filem James Bond, GoldenEye lakonan Pierce Brosnan, Famke Janssen dan model jelita Poland, Izabella Scorupco. Tugasan itu begitu menyeronokkan dan berjalan dengan lancar serta dapat pula bergambar dengan Scorupco.

Dalam dunia konsert pula, sudah terlalu ramai bintang antarabangsa datang ke rantau ini. Saya beruntung kerana diundang menonton serta membuat liputan untuk konsert Janet Jackson, Lady Gaga dan Madonna di Kota Singa.

Setiap satunya menyimpan banyak kenangan manis kerana menyaksikan mereka secara live pasti berbeza dengan menonton dalam DVD atau mana-mana platform lain. 

Penulis berbaju merah bersama rakan media dan Lady Gaga ketika 'superstar' itu membuat konsert khas di Singapura.
Penulis berbaju merah bersama rakan media dan Lady Gaga ketika 'superstar' itu membuat konsert khas di Singapura.

Apa yang menyedihkan, kini wabak penyakit telah mengubah segala-galanya. Kita belum boleh melintasi mana-mana sempadan antarabangsa dan halaman pasport saya yang telah lebih setahun diperbaharui, masih kosong tanpa sebarang cop imigresen. Kita tidak lagi sebebas dulu.

Dulu, pantang diajak, kalau ada masa bercuti sedikit, mana pun kalau boleh kita cuba sampai. Teringat satu acara, saya dan beberapa rakan pernah diajak oleh Kak Nita (Anita Sarawak) pergi ke Singapura untuk menyambut ulang tahun hari lahir suaminya, Abang Mahathir.

Kami terus datang dengan senyuman walaupun kepenatan bertugas. Sepanjang majlis itu, kami cukup gembira dilayan dengan sebaiknya oleh Kak Nita bertempat di Hotel Royal Plaza on Scotts, berhampiran Orchard Road. Nampak besar hati mereka berdua melihat kita sudi datang jauh-jauh.

Malah saya pernah membuat ‘kerja gila’ iaitu mengambil pesawat dan Kuala Lumpur ke Singapura semata-mata untuk pergi menonton filem Beauty And The Beast pada 2017.

Habis sahaja tayangannya, saya terus bergegas ke lapangan terbang semula untuk pulang ke Kuala Lumpur. Saya berbuat demikian kerana filem itu muncul lebih lambat di Malaysia. Dah kaki wayang namanya, begitulah jadinya.

Sekurang-kurangnya ada juga kenangan yang boleh dikongsi di sini. - Getaran, 7 Ogos 2021

Semua gambar: Roslen Fadzil, kecuali tertera
 

Isu Pada

Aisyah Aziz Singkap Rahsia

07 Aug 2021

Berita Berkaitan

1

Video & Galeri 1 minggu yang lalu

Trend 'Alamak' Dah Merebak Ke Singapura 

2

Luar Negara 3 minggu yang lalu

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

3

Luar Negara 1 bulan yang lalu

Singapura Akan Naikkan Usia Persaraan, Bekerja Semula Pada 2026

4

Video & Galeri 4 bulan yang lalu

Malang Tidak Berbau, 2 Motosikal Jadi Mangsa

Sorotan

1

Jenazah Tun Hanif Omar Selamat Dikebumikan Di Bukit Kiara, Sebelah Pusara Anaknya

2

Anwar Beri Penghormatan Terakhir Kepada Mendiang Joseph Kurup

3

DNB Telus Dalam Jalankan Operasi

4

Malaysia, Thailand Tingkatkan Kerjasama Perangi Jenayah Rentas Sempadan

5

Lelaki Sindrom Down Melecur Disimbah Air Panas Dalam Lif

6

8 Aksi Pramusim Digunakan Untuk Uji Sistem VAR - Stuart