Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Krisis Kemanusiaan Syria, Dibunuh Atau terbunuh

Kolum Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 16 Feb 2021 12:33PM

Dari hari pertama yang membabitkan doktor yang bertugas di Al Bab, sehingga kini lebih 40,000 kes dilaporkan dan keadaannya semakin kritikal kerana hospital sedia ada tidak mampu menampung pesakit yang kritikal kerana kebanyakannya telah musnah dibom rejim.

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Dibunuh atau terbunuh dua situasi untuk menceritakan situasi sebenar apa yang terpaksa ditanggung mangsa konflik di utara Syria.

Lebih empat juta pelarian dalam negara itu cuba menyelamatkan diri dari berterusan menjadi mangsa kezaliman rejim Bashar al Assad dengan berlindung di satu-satunya wilayah yang sebahagian besar masih dikuasai kumpulan anti kerajaan, iaitu Idlib.

Di satu kawasan yang bersaiz 6,097 kilometer persegi mereka berasak-asak, bertahan untuk terus hidup.

Di sini, pelarian tersekat.

Lebih lima juta lagi telah berjaya melepasi sempadan dan bertebaran di negara jiran, khususnya Turki yang kini menampung lebih 3.7 juta orang.

Namapun pelarian, ada sahaja cerita tragis.

Jika di luar negara, diskriminasi dan layanan buruk  menjadi isu utama, tetapi di tempat sendiri lain kisahnya.

Sama ada di Idlib atau sebahagian kecil Aleppo serta Hama, mereka terperangkap dalam pertelingkahan sesama kumpulan yang bertelagah.

Dalam serangan bom kenderaan selama dua hari berturut-turut pada 30 dan 31 Januari 2021, di Azzaz dan Al Bab, lebih 12 nyawa telah menjadi korban termasuk kanak-kanak.

Serangan dikatakan didalangi kumpulan pengganas Kurdish, YPG.

Lebih membimbangkan, terdapat petanda yang IS kini menampakkan diri semula di timur laut Syria dengan kembali melakukan pembunuhan kepada sesiapa sahaja yang tidak sealiran dengannya.

The Telegraph Januari lalu melaporkan, 20 orang telah dibunuh termasuk 10 dipancung yang dipercayai dilakukan kumpulan berkenaan di kawasan pro Kurdish yang dikuasai Syrian Democratic Forces (SDF) yang ditaja Amerika Syarikat.

Ia keganasan yang nampak di mata.

Namun berbeza dengan ancaman wabak COVID-19.

Pembunuh senyap yang ada di mana-mana.

Sejak kes pertama COVID-19 dikesan Jun lalu, ia menjadi satu lagi cabaran kepada mangsa konflik dan petugas kemanusiaan di sana.

Dari hari pertama yang membabitkan doktor yang bertugas di Al Bab, sehingga kini lebih 40,000 kes dilaporkan dan keadaannya semakin kritikal kerana hospital sedia ada tidak mampu menampung pesakit yang kritikal kerana kebanyakannya telah musnah dibom rejim.

Lebih memburukkan, bekalan oksigen untuk memberi rawatan kepada mangsa COVID-19, kini tidak mencukupi.

Wabak itu menyebabkan kebanyakan pelarian merasa tidak berdaya dan melihatnya sebagai satu lagi malapetaka.

"Pengalaman saya dengan virus ini amat sukar… sebahagian keluarga saya terpaksa melaluinya dengan penuh derita”, luah Nadine kepada Save the Children.

"Ia tidak sanggup untuk menunggu detik berlalu dan pada masa yang sama melihat ibu anda berhempas pulas untuk bernafas dan anda tahu tidak boleh buat apa-apa. Perasaan itu rasa buntu paling sukar bila keluarga anda melalui ini semua”, katanya yang juga guru Bahasa Inggeris.

Namun dalam keadaan sekarang, apa yang boleh dilakukan?

Itu persoalan utama kerana isu pokok seperti keadaan hidup pelarian yang melarat tiada penyelesaian.

Bagi Amjad Yamin, keadaan yang sesak tanpa bekalan air bersih telah menjadi punca penularan virus dengan cepat di utara Syria berbanding dengan kawasan lain.

"Sebab kenapa angka naik dengan cepat kerana tiada cara untuk mengekangnya di utara Syria”, katanya yang juga salah seorang sukarelawan Save The Children.

Ditambah dengan cuaca dingin melampau di musim sejuk, penderitaan mereka seakan tiada penghujung.

Pengalaman terakhir penulis sewaktu berkhidmat di lapangan pada Mac tahun lalu di sekitar Atma, Sarmada dan As Sahil melihat sendiri skala kepayahan yang ditanggung pelarian.

Dari perkara asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan ubat-ubatan, ia jauh dari mencukupi.

Ditambah dengan keadaan sekarang,  darjah kesengsaraan yang terpaksa ditanggung adalah berkali ganda.

Jika di kebanyakan negara tumpuan diberikan untuk membekalkan vaksin COVID-19, sehingga kini tiada sebarang berita mengenai usaha untuk membekalkannya kepada pelarian di utara Syria.

Dalam kenyataan yang dibuatnya 7 Februari lalu, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) hanya memberi kenyataan umum mengenai vaksinasi kepada pelarian.

“COVID-19 terus menjadi cabaran global dan perlu dihadapi melalui solidariti dan kerjasama. UNHCR meminta semua kerajaan memastikan pelarian, pencari suaka politik dan orang yang tidak berwarganegara di masukkan di bawah pelan vaksinasi, selari dengan kriteria WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia”, kenyataan yang penuh diplomasi dan bersifat “kayangan”.

Bagi mangsa konflik di utara negara Syria, lagikan keperluan makanan dan bekalan asas lain tidak pernah cukup, apatah lagi untuk mendapatkan vaksin.

Lebih membimbangkan, bantuan luar yang menjadi talian hayat mereka selama ini juga semakin susut.

Jumlah dana dari negara penderma semakin berkurangan kerana satu dunia diancam COVID-19.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kemanusiaan di seluruh dunia yang meneruskan penghantaran dan projek bagi membantu mangsa konflik termasuklah Syria Care tetapi penularan COVID-19 menjadikan impak kesengsaraan sedia ada bertambah berat.

Sejak dari mula, mangsa konflik di Syria berdepan dengan ancaman dari pelbagai sudut.

Tanpa penyelesaian konkrit krisis kemanusiaan yang berlaku di Syria, nasib pelarian di sana tiada kesudahan kerana jika dibiarkan mereka dibunuh atau terbunuh kerana terperangkap dengan serangan berterusan rejim Bashar serta  sekutunya, keganasan, pertelingkahan, bencana musim sejuk dan kini COVID-19.

 Razali Awang adalah bekas wartawan perang dan bencana TV3 yang kini berkhidmat sepenuh masa dengan Syria Care.

Berita Berkaitan

1

Video & Galeri 2 bulan yang lalu

Bukan Kereta Aja Yang Boleh Hanyut, Tong Gas Pun Boleh!

2

Sukan 2 bulan yang lalu

AFC2023: Penalti Bantu Iran Atasi Syria

3

Sukan 3 bulan yang lalu

Malaysia Ikat Syria 2-2

4

Semasa 5 bulan yang lalu

Bantuan Kemanusiaan Pertama Malaysia Untuk Palestin Berlepas Malam Tadi

Sorotan

1

Anak MB Perlis, 4 Yang Lain Dilepas Dengan Jaminan SPRM

2

Pemilik Stesen Minyak Diminta Lapor KPDN Jika Diancam Sindiket

3

Najib Diberi Peluang Jelaskan Mengenai Dokumen 1MDB Ketika Disoal Siasat - Pegawai SPRM

4

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

5

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok

6

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

7

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi