Berita Terkini

21 minit yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 6 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Pasir Salak Dan Si Tukang Tampal Poster

Tiada siapa yang akan mengenang tukang tampal poster dari Pasir Salak yang terkorban semasa zaman penjajahan British dahulu. Ad Samad berkongsi sedikit pencerahan untuk kita renungkan.

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 09 Jun 2021 9:00AM

Gambar Darya Tryfanava Unsplash

oleh

Ad Samad

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Pada 2 haribulan November 1875 bersamaan 3 Syawal 1292, seorang penjawat awam yang bertugas sebagai Jurubahasa telah terbunuh akibat kecederaan parah di dalam satu rusuhan.

Mangsa adalah Muhammad Arshad atau lebih dikenali sebagai Mat Arshad.

Tidak banyak yang diketahui mengenainya, kecuali menurut catatan Frank Swettenham, umurnya mencecah lima puluh tahun.

Pada hari kejadian tersebut, Mat Arshad telah ditugaskan untuk menampal notis pengisytiharan di kawasan awam, iaitu di pintu kedai milik seseorang yang berketurunan cina. Menurut beberapa teks catatan silam, Mat Arshad telah menampal semula notis baharu setelah notis yang terdahulu dikoyakan. Ketika para perusuh cuba mengoyakkan semula notis tersebut, Mat Arshad telah merayu kepada mereka agar tidak mengoyakkannya lagi.

Malah, beliau memohon agar mereka menunggu sehingga beliau beredar daripada situ, barulah dikoyakkan notis tersebut. Namun, gerombolan yang diketuai oleh Pandak Indut yang merupakan bapa mentua kepada Dato Maharaja Lela tidak mengendahkan rayuannya.

Apabila semakin khuatir akan keselamatan dirinya, Mat Arshad cuba melarikan diri namun Pandak Indut telah memintas beliau lalu menikam tombak ke perut Mat Arshad, hingga beliau jatuh ke dalam sungai. Beliau terus dikejar oleh beberapa orang perusuh ke dalam sungai dan ditakik dengan senjata ke kepala dan lengan. Beliau tetap berjaya menaiki sebuah perahu. Namun, meninggal dunia di dalamnya  sementara mendapatkan rawatan.

Setelah mencederakan Mat Arshad, Pandak Indut dan gerombolannya dengan laungan "Amuk! Amuk!" bergegas menuju ke arah rumah rakit yang dinaiki JWW Birch dan membunuhnya ketika di dalam bilik air.

Banyak yang kita ketahui mengenai JWW Birch, malah mengenai Pandak Indut.

Sebaliknya, Mat Arshad pula tidak diketahui dan tidak dihiraukan langsung. Walhal, beliau adalah mangsa pertama di dalam Peristiwa Pasir Salak. Seorang Penjawat Awam yang terkorban ketika menjalankan tugas. Ditombak tatkala tidak bersenjata.

Beliau adalah watak yang ingin dilupakan malah dipadamkan daripada rakaman sejarah. Kisahnya tidak kita dengari. Tidak diketahui asal usul dari manakah beliau mempelajari Bahasa Inggeris. Tidak juga diketahui adakah beliau telah berkeluarga dan beranak cucu.

Malah ada pihak yang menghukum jurubahasa, Mat Arshad— 'Si Tukang Tampal Poster' sebagai tali barut British.

Untuk memahami Perak di zaman itu, kita mesti mengetahui sedikit sebanyak latar belakang sosio-politik negeri tersebut di sekitar tahun 1870-an.

Setelah kemangkatan Sultan Ali iaitu Sultan Perak pada tahun 1871, negeri Perak menjadi sebuah negeri yang bergolak. Dari isu keabsahan pengganti Sultan, kepada tirani yang dilakukan oleh para pembesar negeri atau daerah, serta persengketaan di antara kongsi gelap Cina — Ghee Hin dengan Hai San; Perak adalah sebuah negeri yang huru-hara. Justeru itu, untuk mentadbir urus negeri dan memastikan perdagangan terutamanya bijih timah dapat berjalan dengan lancar adalah sangat sukar.

Walaupun sebelum campur tangan langsung oleh British, kuasa sebenar bukanlah mutlak milik Sultan. Sebaliknya kuasa sebenar adalah pada para pembesar daerah yang kaya raya, hasil daripada cukai yang mereka pungut daripada rakyat jelata serta cukai perdangangan yang mereka kenakan di laluan air atau sungai.

Mereka juga menzalimi rakyat. Orang Asli, para penghutang, dan orang tawanan telah mereka jadikan hamba abdi dan buruh paksa. Sistem hamba abdi berlaku di tanah air kita ketika itu.

Demi mendapatkan pengiktirafan dan perlidungan daripada pihak British, Raja Abdullah bersetuju menandatangani Perjanjian Pangkor dan akur untuk menerima seorang yang bergelar Residen British dan  menerima setiap nasihat pentadbiran dan pemerintahan daripadanya, kecuali yang membabitkan perihal adat dan agama.

Maka British melantik JWW Birch sebagai Residen British yang pertama.

Perubahan yang mahu dilakukan oleh JWW Birch telah menggugat politik dan kepentingan para Pembesar Daerah. Walaupun mempunyai niat yang baik —di antaranya sistem kutipan cukai yang selaras dan terurus atas nama pemerintahan Sultan Abdullah, dan menghapuskan sistem hamba abdi— namun Birch adalah seorang yang tidak mempunyai sentuhan diplomasi dan kepintaran politik.

Beliau langsung tidak mempedulikan bahasa dan budaya Melayu malah merasa angkuh bahawa dengan kuasa dan kedudukan,  perubahan dapat dilakukan segera dengan caranya sendiri.

Begitu pun, pembunuhan JWW Birch memberi ruang dan peluang keemasan bagi pihak British untuk segera mengukuhkan penjajahan mereka di Tanah Melayu.

Baik buruk Peristiwa Pasir Salak memulakan trajektori perjalanan dan pembentukan negara kita hari ini.

Pada 24 haribulan Mei baru-baru ini, negara telah digemparkan dengan kemalangan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang mengakibatkan lebih seratus para penumpang mengalami kecederaan parah dan ringan.

Sebuah sidang akhbar telah dilakukan oleh Pengerusi Prasarana iaitu syarikat yang memiliki dan mengoperasi sistem transportasi urban LRT dan Monorel.

Kebetulannya, beliau juga merupakan ahli parlimen dari Pasir Salak.

Malangnya sidang akhbar yang diadakan oleh beliau adalah amat memalukan dan menjijikan kerana ia menampakkan sikap dan sifat seseorang yang begitu angkuh. Mungkin kerana telah hidup terlalu kaya-raya, biada, mungkin kerana merasa diri sangat berkuasa, dan tiada empati atau belas nuraga atau mungkin kerana ketiadaan mirror neuron di otaknya, iaitu sel tertentu di dalam otak yang membuat seseorang dapat merasai penderitaan orang lain. Beliau lebih mirip seorang narcissist dan pembuli di sekolah atau samseng kelab-kelab gelap, daripada sosok seorang 'Yang Berhormat Wakil Rakyat'.

Dua hari selepas sidang akhbar tersebut, mungkin kerana episod yang memalukan itu, jawatan beliau sebagai Pengerusi Prasarana ditamatkan oleh Menteri Kewangan.

Banyak yang boleh kita pelajari daripada sejarah.

Sayangnya, sejarah dirakam oleh pemenang, atau mereka yang berkuasa.

Sejarah akan sentiasa berulang. Oleh itu, ia perlu dikaji dan dipelajari dari segenap sudut pandang, agar kita tidak mengulangi kesilapan lalu.

Keangkuhan JWW Birch yang memandang rendah dan enteng orang dan budaya Melayu telah mengakibatkan kematiannya, dibunuh secara tidak bermaruah ketika di dalam bilik air, mungkin ketika sedang membuang air.

Keangkuhan YB Pasir Salak juga lambat laun akan mengakibatkan kejatuhannya.

Alam ini mempunyai caranya tersendiri menghukum keangkuhan.

Begitupun aku ramalkan, di dalam masa terdekat ini apabila Pilihan Raya Umum Ke-15 di adakan, beliau akan tetap sekali lagi memenangi kerusi Parlimen Pasir Salak. Kekayaan yang beliau miliki akan memastikan jentera pilihanrayanya berjalan lancar dan berkesan.

Sebagai Pengarah Pilihanraya UMNO, beliau mempunyai cukup kemahiran di dalam percaturan dan sepak-terajang politik dan cara-cara memenangi hati para pengundi. Beliau tidak perlu memenangi hati setiap pengundi. Beliau hanya perlu memenangi  hati seorang sahaja lagi, melebihi undi kepada parti lawan.

Begitu pun, aku masih memendam sekelumit harapan bahawa Pasir Salak akan membuat kejutan, lalu mengajar kita beberapa perkara dan sejarah baru.

Secara amnya, kita perlukan wakil rakyat yang mahu berkhidmat dan berjuang untuk rakyat dan bukan yang membenci dan membuli rakyat, malah mengisi tembolok sendiri, seperti ahli tirani zaman silam.

Kita perlukan Wakil Rakyat atau para  YB, 'Yang Berkhidmat' dengan perasaan rendah hati bukan angkuh dan sombong diri yang menunjukkan kemuliaan atau integriti, bukan kaki sebat dan rembat kiri, kanan, depan dan belakang.

Aku mengerti, mengapa demi menggambarkan naratif perjuangan nasionalistik, Mat Arshad mesti dipudarkan dari sejarah, manakala Pandak Indut terang-terang dikenang-kenang.

Namun, Wakil Rakyat kita perlu juga mencari, mengenali dan menjadi Mat Arshad; iaitu penjawat awam yang berdedikasi, walaupun bisa terkorban diri.

Kita minta dijauhi —nauzubillah min zalik— penjelmaan semula para penzalim yang menjadi pembesar dahulu kala, dengan rupa baharu iaitu bertopengkan wajah-wajah wakil rakyat masa kini.

Kerana jika puak puak feudal itu kembali bersediakah kita menjadi hamba abdi? - Getaran, 9 Jun 2021.

Gambar fail.

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 bulan yang lalu

Jangan Jadikan Kelemahan Ringgit Senjata Politik - Anwar

2

Luar Negara 2 bulan yang lalu

Gaza: 700,000 Rakyat Palestin Kini Diancam Kebuluran

3

Semasa 3 bulan yang lalu

Pelbagai Inisiatif, Insentif Menerusi Belanjawan 2024 Bakal Manfaatkan Rakyat Tahun Ini - Pakar

4

Semasa 4 bulan yang lalu

121 Rakyat Malaysia Terkandas Tiba Di KLIA Dari Laukkaing, Myanmar

Sorotan

1

Harimau Muda Tutup Kempen Di Qatar Tanpa Sebarang Kemenangan

2

Lebih 50,000 Kampit Beras Putih Tempatan Diagih Hingga 22 April - LPP

3

Sungai Golok Surut, Tidak Mustahil Wujud Pangkalan Haram Baharu – Kastam

4

Nahas Helikopter TLDM: Semua Mayat Mangsa Telah Dikeluarkan

5

Sultan Selangor Turut Berdukacita Nahas 2 Helikopter TLDM

6

Langkah Kerajaan Laksana Subsidi Bersasar, Skim Baharu Gaji Penjawat Awam Berdasarkan Prinsip - Fahmi