Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Kisah Anak Gen-X: Nostalgia Hari Raya Yang Paling Istimewa

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 15 May 2021 5:03PM

Penulis (berdiri dua dari kanan) menyambut Aidilfitri bersama sepupu-sepapat di Kampung Melayu, JB.

oleh

M.Zulkifli

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Agak klise untuk mengimbau kisah Hari Raya zaman kanak-kanak yang sudah tertentu berbeza dengan masa kini (lebih-lebih lagi di era pandemik COVID -19), tapi itulah antara kenangan yang paling manis dan berharga, yang sentiasa membuatku tersenyum bila diingat semula.

Keluarga arwah ayahku memang besar. Enam belas orang adik beradik kesemuanya (namun, tiga telah dijemput Ilahi ketika kecil). Jadi boleh bayangkan kemeriahan dan kekecohan yang melanda pada setiap hari lebaran. Iklan Raya rumah kampung yang kita tonton di YouTube sekarang ini - begitulah keadaan sebenar buat kami.

Tempat kami berkumpul adalah di rumah arwah nenek kami (yang kami panggil ‘atuk’) di Jalan Merdeka, Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru. Sebuah rumah batu yang agak besar, tetapi kalau dah diserbu 10 atau lebih keluarga pada masa yang sama, penuhlah hampir setiap ruang yang ada. Dan asalkan ada toto dan bantal, ceruk di tepi gerobok perhiasan ruang tamu pun boleh jadi selesa.

Ramai yang akan pulang sehari sebelum Aidilfitri. Selain daripada yang memang menetap di Johor, ada yang akan tiba dari KL, Kuantan, Kuala Terengganu dan beberapa tempat lagi. Aku biasanya akan sampai ke rumah Jalan Merdeka pada awal pagi Raya itu sendiri.

Sebelum apa-apa lagi, akan kucari setiap pakcik dan makcik untuk kucium tangan mereka. Tak kiralah kalau ada yang masih blur dan belum sempat mandi (boleh faham sebab queue untuk ke tandas pun biasanya agak panjang). Terserempak dengan sepupu-sepapat ketika ini pun hanya mampu untuk tersenyum atau mengangguk kepala tanda isyarat, the good times are going to come.

Selesai solat Aidilfitri, bermulalah acara utama Hari Raya yang dinanti-nantikan. Masing-masing kelihatan berseri dengan pakaian baju Melayu baharu (geng Johor semestinya memakai baju Teluk Belanga), pusingan kedua bersalaman dimulakan, kali ini bukan dengan sekadar tangan kosong.

Rate ketika itu sudah tentu jauh berbeza dengan sekarang, tapi impaknya kepada kebolehan berbelanja kami sangatlah besar. Dan ya, faktor umur juga turut memainkan peranan penting. Duit raya bagi yang bersekolah rendah tentulah berbeza dengan mereka yang di sekolah menengah. Satu lagi penanda aras sudah dewasa juga adalah status sudah bersunat atau pun belum.

(Apa rate duit raya di awal tahun 80an? Bagi yang in-house, bermula dari 50 sen hinggalah RM10 - lebih daripada itu akan dianggap sebagai bonus besar.)

Sesi mengumpul duit raya selesai, tumpuan kemudian beralih kepada juadah raya yang meriah dan pelbagai. Masing-masing membentangkan signature dish dan hasilnya, meja makan besar di ruang tamu sarat umpama bufet di hotel 6 bintang dengan variasi hidangan termasuk ketupat, rendang, nasi minyak dan sudah tentu makanan kegemaran warga selatan seperti lontong, soto, kuah kacang dan laksa Johor. Kuih raya pun memang bersusun, antaranya batang buruk, kuih ros, semperit, makmur, serta tart nenas famous arwah ibu aku sendiri. 

Ketika ini juga aku dan sepupu-sepapat mula bertukar cerita kehidupan sambil sebelah mata memandang kearah television yang selalu menayangkan program sarkas dan telematch dari Jerman. Aku memang sentiasa menanti untuk mendengar cerita terkini dari budak-budak KL khasnya. Maklumlah, bukan mudah untuk travel jauh ketika itu dan aku sangat ingin tahu jika kehidupan di ibukota sama seperti yang ditonton dalam siri TV PJ Holdings.

Tapi budak JB pun bukanlah ketinggalan keretapi sangat. Kami juga membaca Smash Hits dan URTV, dan mempunyai akses kepada stesen radio dan TV Singapura, bermakna kami sentiasa up-to-date dengan semua yang terkini dalam budaya popular. Contohnya, apabila mereka bercerita tentang stesen TV baharu TV3 dan rancangan-rancangan hebat seperti Solid Gold dan LA Law, reaksi kami selalunya berbunyi, “Pfttt… Dah lama tengok!” Jadi, friendly rivalry dan ejek-mengejek itu memang biasalah.

Apapun, kami tetap bersatu hati untuk misi seterusnya - menyerbu rumah terbuka di sekeliling kawasan Kampung Melayu. Kami biasa mengatur strategi jalan mana nak diambil dahulu, yang bergantung kepada saiz rumah, potensi ROI dan track record tahun-tahun terdahulu. Bayangkan adegan jalan beramai-ramai dengan gerak slow motion dalam filem Armageddon. Begitulah lagak langkah kami apabila beraya dari rumah ke rumah.

Sesi menonton TV di ruang tamu yang padat ketika Hari Raya.
Sesi menonton TV di ruang tamu yang padat ketika Hari Raya.

Biasanya juga, kami akan pulang untuk berehat seketika pada lewat tengah hari untuk menonton filem Melayu yang sebelum ini dimainkan di wayang. Maka, bergelimpanganlah kami semua di ruang tamu dengan rasa tak sabar untuk menatap lakonan bintang-bintang era itu seperti Azmil Mustapha, Ogy Ahmad Daud dan Noorkumalasari. Sesi ini juga agak interaktif sebab sambil menonton, akan kedengaran komen-komen pandai dan pedas dari pakcik dan makcik semua.

Waktu petang pula, apabila serbuan rumah terbuka Hari Raya pertama telah pun tamat, kami akan berkumpul di ruang padang kecil di hadapan rumah untuk bermain police & thief, bola sepak, ataupun rounders (sejenis permainan ala besbol). Ah, memang best main rounders, yang biasanya akan tamat hanya bila azan Maghrib berkumandang.

Malam pula masa untuk menghidupkan suasana dengan mercun dan bunga api. Waktu itu, semuanya boleh, dan tidak ada jenis mercun yang diharamkan. Maka berdentumlah satu Jalan Merdeka. Dan Alhamdulillah, seingat aku memang tiada sebarang insiden terputus anggota badan dari kalangan kami.

Hari Raya kedua biasanya dengan agenda yang lebih kurang sama. Cuma kali ini, kami akan keluar dengan berbaju moden, tema yang digunakan untuk pakaian smart casual ketika itu. Bagi aku, inilah masanya untuk memperagakan baju, seluar dan kasut baharu yang biasanya dibeli di Woodlands, Singapura atau di kedai Ban Thye di bandar JB. ‘OOTD 80’s style’lah, apa lagi!

Tapi masuk Raya ketiga, suasana mula berubah apabila satu demi satu keluarga sepupu aku mula pulang ke rumah masing-masing atau sambung beraya di kampung keluarga di sebelah satu lagi. Yang tinggal, seperti aku sendiri, akan “beraya” di Emporium atau Holiday Plaza. Lauk-pauk istimewa Raya pun digantikan dengan nasi goreng. Kuih pun tinggal habuk dan kerak. 

Begitulah Hari Raya aku sehinggalah atuk kami pulang bertemu Ilahi lebih kurang 30 tahun lalu. Kehilangannya merubah segalanya. Sebagai tunjang utama keluarga buat sekian lama, ketiadaan atuk menjadikan sambutan Hari Raya tidak lagi seistimewa. - Getaran, 15 Mei 2021

M.Zulkifli merupakan teraju utama getaran.my dan seorang bekas majistret. Beliau juga peminat budaya popular 80an dan memiliki koleksi figurine Star Wars yang masih belum diwariskan kepada anak-anaknya.

Berita Berkaitan

1

Video & Galeri 2 bulan yang lalu

Generasi X Imbau Kenangan Bermain Galah Panjang

2

Rencana 5 bulan yang lalu

Cinta Buat Mohd Ros Suhaimi Terus Berlari

3

Rencana 8 bulan yang lalu

Hari Kebangsaan: Elakkan Perbalahan, Teguhkan Perpaduan

4

Semasa 9 bulan yang lalu

Jangka 2 Juta Kenderaan Sempena Aidiladha, PLUS Aktif SmartLane Di 5 Lokasi

Sorotan

1

Anak MB Perlis, 4 Yang Lain Dilepas Dengan Jaminan SPRM

2

Pemilik Stesen Minyak Diminta Lapor KPDN Jika Diancam Sindiket

3

Najib Diberi Peluang Jelaskan Mengenai Dokumen 1MDB Ketika Disoal Siasat - Pegawai SPRM

4

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

5

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok

6

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

7

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi