web statsweb stats

Berita Terkini

3 hari yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 3 hari yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Membina Karier Masa Depan di Bulan Ramadan

Kolum Dikemaskini 5 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 02 May 2021 11:38AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Artikel-artikel kolum saya di getaran.my ditulis sebagai ruang nasihat dan panduan untuk anak-anak muda yang baru mula bekerja atau yang memasuki dunia pekerjaan. Biasanya anak-anak muda akan ada sikap hungry and career minded apabila mula bekerja. Mereka telah berhempas-pulas melalui zaman universiti atau kolej kerana di situ biasanya titik permulaan hala tuju kerjaya atau karier seseorang. 

Akan ada yang berhempas-pulas kerana perlu kuat belajar dan ambil peperiksaan, ada yang berhempas-pulas kerana perlu sumber kewangan untuk ke universiti dan kolej. Kadang-kadang kita tidak nampak apa seorang anak muda atau ibu bapanya perlu korbankan untuk dapat melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT). Tapi ramai akan sanggup berkorban, kerana mereka mengharapkan hidup yang lebih senang, mendapat kerja dan kerjaya yang baik selepas tamat pelajaran nanti.  Mereka akan melalui tempoh masa empat hingga tujuh tahun untuk mendapatkan sijil tersebut. Tapi apa yang berlaku selepas mendapat sijil dari IPT, kita tidak akan dapat jangkakan. Ada yang dapat kerja cepat, ada yang dapat kerja lambat. Ada yang dapat gaji bagus, ada yang dapat gaji rendah. Ada yang dapat bos yang baik, ada yang dapat boss from hell. Ada pelbagai senario yang boleh berlaku. Tapi, kita akan masih sanggup korbankan masa bertahun-tahun dan wang ringgit beribu-ribu (dan mungkin berpuluh ribu) demi masa depan yang baik.

Jadi, setahun sekali Ramadan menjelma dan Ramadan bulan istimewa di mana banyak goodies dari Allah. Kita masuk IPT untuk membina karier di dunia ini. Kita perlu juga masuk institusi Ramadan jika kita ingin membina karier di dunia seterusnya, dunia akhirat. 

Bezanya, masuk IPT perlu bertahun-tahun, masuk Ramadan hanya sebulan. 

Bezanya, masuk IPT perlu sumber kewangan, masuk Ramadan tiada apa-apa yuran.

Bezanya, masuk IPT kita bina karier di dunia ini selama jangka hayat kita, masuk Ramadan kita bina karier di akhirat untuk selama-lamanya. Make Allah your endpoint, make Jannah your ultimate career goal.

Bezanya, masuk IPT tiada jaminan apa masa depan yang akan kita kecapi, masuk Ramadan, Allah telah memberi pelbagai janji untuk mereka yang beribadat di bulan istimewa ini. Dari hadith Riwayat At-Tirmizi: “Sesungguhnya dalam syurga ada satu pintu yang dipanggil ar-Rayyan, yang diseru kepada orang yang berpuasa. Sesiapa yang berpuasa akan masuk melaluinya, dan sesiapa yang masuk melaluinya, pasti tidak akan berasa haus selama-lamanya.”

Sedar tak sedar, kita telah melepasi 15 Ramadan, apabila solat witir ada doa qunut. Sedar tak sedar, sudah tiba 20 Ramadan, dan tinggal 10 hari sahaja di Ramadan. Tak kisahlah bagaimana usaha dan ibadat kita dari 1 Ramadan ke saat ini. Kita masih boleh mengejarnya, terutama 10 malam terakhir Ramadan. Bukan tidak biasa di IPT kita study last minute kan?  Kita pun boleh beri fokus untuk Ramadan pada 1/3 terakhir Ramadan ini, untuk membina karier kita di akhirat.

Selain dari membuat ibadat yang wajib seperti berpuasa, menjaga solat fardu dan membayar zakat fitrah, tambahlah ibadat-ibadat sunat. Tetapi sebelum itu, decide to give focus on Ramadan. Tinggal 1/3 sahaja Ramadan tahun ini, dan inilah masa untuk kita beri fokus. Sudah tidak perlu sibukkan diri dengan perkara-perkara yang tidak perlu dilakukan buat masa ini atau boleh ditangguh kepada bulan yang lain. Nak buat persiapan Hari Raya pun tidak perlu dah kot. Kita tidak mungkin akan dapat merentas negeri. Nak merentas daerah pun belum tentu lagi. Sibuklah diri dengan things that matter untuk masa hadapan atau karier kita di akhirat. Sudah tidak perlu baca novel, sudah tidak perlu tengok ceramah YouTube, sudah tidak perlu baca kitab-kitab, sudah tidak perlu melayan media sosial, sudah tidak perlu tengok Netflix atau movie atau TV, sudah tidak perlu bersosial atau lepak-lepak, sudah tidak perlu membuat atau menghadiri majlis-majlis berbuka puasa, sudah tidak perlu mendengar musik atau menonton bola sepak. Mata, mulut dan telinga kita juga perlu berpuasa. Apa lagi benda yang boleh kita tunda? Banyak lagi kan?

Jadi hentilah kesibukan kita dengan perkara yang boleh ditunda ke bulan-bulan yang lain.

Ada orang akan kata dia nak fokus pada malam lailatulqadar. Itu sudah jadi macam nak spot question dalam peperiksaan masa di sekolah atau di IPT. Walaupun memang jika dapat spot, nilai amalan yang dilakukan pada malam tersebut adalah lebih baik daripada seribu bulan, adakah kita tahu bila malam tersebut? Adakah kita layak untuk mendapatnya jika kita tiada usaha pada malam-malam lain. Ini seperti tidak pernah membuat latihan atau belajar dan terus nak menduduki peperiksaan akhir IPT atau sekolah. 

Rasullullah SAW ada bersabda, “Maka jarak antara mereka lebih jauh daripada jarak antara langit dan bumi” apabila membandingkan seorang sahabat yang mati syahid setahun sebelum seorang sahabat lagi. Sahabat yang mati kemudian telah memasuki syurga dahulu daripada sahabat yang banyak berjihad dan mati syahid. Perbezaan yang lebih jauh daripada jarak antara langit dan bumi disebabkan sahabat yang mati kemudian “masih mendapati Ramadan, lalu ia berpuasa, melakukan solat ini dan itu selama setahun itu”. Jadi tanpa mengira tentang malam lailatulqadar, amat tinggi nilai kita memberi fokus ibadat bulan Ramadan ini. Rasullullah SAW diriwayatkan sebagai “bersungguh-sungguh dalam sepuluh malam terakhir, tidak sepertimana malam-malam yang lain”. Baginda tidak bersosial atau bergaul dengan ahli keluarga.

Apa kita boleh lakukan dalam 1/3 akhir Ramadan ini? 

Kita boleh solat subuh dan Ishak berjemaah di masjid. Kita boleh solat berjemaah setiap waktu dengan keluarga dan rakan. Kita pastikan kita solat tarawih setiap malam. Kita membaca Al-Quran sebanyak mana yang boleh serta membaca sedikit dari tafsirnya. Kita tingkatkan sedekah. Kita beri orang buka puasa (bukan bermaksud keluar berbuka puasa sama-sama). Kita bangun qiamulail dan tahajud. Kita tingkatkan solat-solat sunat. Kita banyak berzikir dan berselawat. Kita banyakkan doa, pelbagaikan doa. Ramadan adalah peluang mustajab doa, dan yang paling penting adalah doakan supaya kita menjadi orang yang bertaqwa, diampunkan segala dosa, dijauhkan neraka dan diberi tempat di syurga. Itulah ultimate career goal kita, menjadi penghuni syurga. 

Semoga Ramadan ini Ramadan yang paling baik pernah kita hasilkan. Semoga berjaya dunia dan akhirat. May you have a great career in Jannah. - Getaran, 2 Mei 2021

Hizwani Hassan ialah penulis buku ‘PILIH KERJAYA BUKAN KERJA’ dan mentor untuk para pelatih eksekutif ILTIZAM Professional Development Programme di bawah Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS). Boleh follow beliau di Twitter melalui @hizwani.

Sorotan

1

Klinik Kesihatan Bergerak KKM Bawa Perkhidmatan Percuma Terus Kepada Rakyat

2

Video Belasah Pembantu Rumah Tular, 2 Pasangan Suami Isteri Ditahan

3

Asid Tumpah Dari Lori: Tiada Pencemaran Asid Di Sungai Cherating - JAS

4

Motosikal Ditunggang Langgar Belakang Kereta, Pelajar Maut Digilis Lori

5

PRN Johor Dijangka Sengit, 10 Kerusi Panas Jadi Tumpuan

6

Malaysia Destinasi Akhir Pendatang Tanpa Izin Kerana Jaringan Keluarga