Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Mendaki Demokrasi - Hanya Seorang Yang Gila Sahaja Sanggup Menjadi Perdana Menteri Di Kala Ini

‘Parlimen tergantung’ mestilah dilihat sebagai satu proses kematangan bukan sahaja buat rakyat amnya tetapi juga kepada para pemimpin parti politik untuk berpolitik dengan lebih bijak, tertib dan berakhlak.

Kolum Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 23 Nov 2022 2:00PM

Gambar hiasan Unsplash

oleh

Ad Samad

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Bayangkanlah satu pertandingan mendaki ke puncak Gunung Everest diadakan. Katakanlah 10 pendaki mengambil bahagian dengan syarat utamanya ialah, pendaki perlu sampai ke puncak Everest dalam tempoh tiga hari.

Setelah tempoh tamat, tiada seorang pun pendaki berjaya sampai ke puncak. Ada yang hanya berjaya separuh jalan. Ada juga yang telah mencapai tiga suku perjalanan sahaja. 

Di dalam pertandingan hipotetikal itu, kita boleh menganggap sama ada tiada pendaki yang menang, atau setiap pendaki kalah. 

Yang jelasnya, setiap pendaki gagal.

Gambar AFP
Gambar AFP

Mencapai ke puncak Everest yang sebenar adalah sangat sukar dan mencabar. Cuacanya sangat kejam dengan anginnya yang amat ganas. Udaranya sangat nipis. 

Suhunya terlalu sejuk sehingga ramai yang mengalami ‘frost bite’ sampaikan kehilangan sebahagian anggota tubuh akibat gangrene. 

Ada yang kehilangan hidung. Ada yang kehilangan jari tangan, ada yang kehilangan jari kaki dan pernah juga seorang lelaki kehilangan zakarnya akibat membuang air kecil di kawasan terbuka.

Tentunya ramai juga yang kehilangan nyawa.

Banyak mayat yang telah bertahun malah berdekad dekad terbiar terbujur di situ kerana operasi menyelamat adalah sangat sukar. Mayat yang beku menjadi kusam berkerutu kerana setiap hari dijilat terik mentari tetapi tidak mereput, lalu mengerepot anggota tubuh mayat-mayat itu.

Jaket yang satu ketika dahulu lengkap, kini tinggal cebisan-cebisan kain cabuk yang masih melekat pada mayat.

Meskipun Everest adalah sesuatu yang sukar ditawan, manusia bersemangat waja akan terus cuba mendakinya walaupun nyawa bisa melayang.

Bukan hanya gunung gunung harfiah (literal) yang nyata tetapi manusia juga akan mendaki setiap gunung gunung tamsilan, iaitu halangan halangan yang merintang langkah langkah kemajuannya.

Usahkan Everest, kini bulan dan Marikh juga sedang diterokai.

Manusia akan terus berusaha mempelajari dan menguasai dunia yang di sekelilingnya, malah alam semesta.

Itulah bukti kehebatan semangat manusia. Iaitu semangat yang akan terus cekal menguasai segala cabaran.

Itulah semangat dan naluri yang tiada pada makhluk lain.

Gambar hiasan Unsplash
Gambar hiasan Unsplash

Demokrasi adalah di antara idea ciptaan manusia yang terhebat. Memelihara dan mengekalkan demokrasi juga adalah satu proses pendakian. 

Di dalam pendakian mencapai kematangan demokrasinya, sesebuah negara pasti menempuhi pelbagai cabaran. 

Di antaranya, cabaran daripada kelompok elit yang berpengaruh, berkuasa dan kaya raya yang berimpian membina empayar feudalnya seperti yang sering terjadi kepada negara negara bekas komunis.

Di samping itu, demokrasi juga perlu menghadapi cabaran daripada kelompok-kelompok penganut ideologi yang bertentangan seperti komunisme dan ideologi berteraskan agama.

Demokrasi memberi hak kepada rakyatnya untuk terlibat di dalam memilih pemimpin. Amalan ini akan mengurangkan ruang kebolehan pembentukan seorang pemimpin yang diktator.

Di waktu silam, sebelum demokrasi di amalkan, para pemerintah adalah terdiri daripada golongan elit yang memerintah rakyatnya secara mutlak. 

Mereka bergelar Raja, Maharaja, King, Emperor dan pelbagai lagi. Mereka adalah diktator. Resam para diktator dengan kuasanya yang mutlak adalah memerintah secara zalim dan kejam. 

Kuasa yang mutlak mempunyai kebolehan untuk membuat seseorang pemerintah berbuat dan berkelakuan sebegitu. 

Diktator yang budiman adalah sesuatu yang amat jarang berlaku.

Semenjak berakhirnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1945, dunia menjadi semakin relatifnya aman dan makmur setelah banyak negara mengamalkan demokrasi. 

Kekejaman Hitler dan Stalin telah mengajar dan mengingatkan manusia betapa bahayanya pemerintahan diktator dan betapa pentingnya amalan demokrasi.

Pemimpin yang diangkat menerusi proses demokrasi perlu menjawab kepada rakyatnya. Pemimpin yang tidak berwibawa atau tidak amanah akan disingkirkan oleh rakyat menerusi proses pilihan raya.

Justeru, para pemimpin akan di desak dan terdesak menunjukan prestasi yang baik dan menyenangkan hati majoriti rakyatnya. Namun, rakyat perlu sentiasa diingatkan bahawa demokrasi bukanlah percuma dan bersifat kekal. 

Demokrasi boleh sahaja dirampas oleh sekelompok manusia lalu mengembalikan negara kepada pemerintahan feudal atau diktator yang kejam dan zalim.

Putrajaya - Gambar fail
Putrajaya - Gambar fail

Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) yang berakhir baru baru ini menyaksikan tiada parti atau gagasan yang berjaya mencapai angka keramat 112 kerusi Parlimen. Justeru, tiada parti atau gagasan pun yang benar-benar berjaya menakluki puncak Putrajaya.

Tamsilan para pendaki Gunung Everest di atas adalah kenyataan yang sedang di alami parti parti politik hari ini.

Meskipun tiada parti politik yang dengan sendirinya berjaya menawan Putrajaya dan mampu membentuk kerajaan, tetapi ia juga adalah sesuatu yang mesti dirai.

PRU-15 telah membuktikan demokrasi di negara kita subur, dinamik dan sedang melalui proses kematangan.

Setiap rakyat yang telah berumur 18 tahun ke atas berhak terlibat untuk memilih wakil rakyatnya dan menentukan hala tuju negara.

Meskipun demokrasi yang kita amalkan kelihatannya belum sempurna, tetapi begitulah sifatnya proses kematangan. 

Ia seumpama remaja yang sedang mengalami perubahan hormon yang mengakibatkan jerawat, ‘mood swing’ dan kekemarukan seks. Suara kanak-kanaknya semakin pecah menjadi garau. Dadanya pula semakin membuak.

Parlimen - Gambar fail
Parlimen - Gambar fail

‘Parlimen tergantung’ mestilah dilihat sebagai satu proses kematangan bukan sahaja buat rakyat amnya tetapi juga kepada para pemimpin parti politik untuk berpolitik dengan lebih bijak, tertib dan berakhlak.

Semangat perundingan dan kemuafakatan adalah sebahagian daripada rencah demokrasi. Parti-parti politik seharusnya mempamerkan kebolehan mereka untuk berunding dan bermuafakat bukan sekadar memilih seorang pemimpin di kalangan mereka, malah bersatu demi menyelesaikan masalah masalah yang melanda rakyat.

Di kala ini, ekonomi adalah masalah paling utama. Semuanya naik harga.

Tanpa kemakmuran ekonomi, kualiti hidup rakyat akan mengelongsor jatuh. Dengan ekonomi yang bergelisahan, kehidupan sosial juga akan menjadi huru hara. Jenayah pastinya meningkat.

Dengan segala permasalahan yang melanda negara malah dunia, hanya seorang yang gila sahaja sanggup menjadi Perdana Menteri di kala ini. 

Kalau bukan gila, mungkin mabuk.

Gambar oleh Sairien Nafis
Gambar oleh Sairien Nafis

Perdana Menteri yang baru dilantik sedang mewarisi bukan sahaja ekonomi yang sedang sakit tetapi juga rakyat yang berpecah belah akibat perbezaan ideologi dan nilai hidupnya.

Perdana Menteri baru itu perlu lekas menunjukan bahawa beliau adalah seorang pemimpin untuk semua dan segera melakukan langkah langkah rekonsiliasi sesama rakyat.

Sesungguhnya, kita wajib bersyukur bahawa demokrasi masih utuh di negara ini. Kita masih merdeka dan tidak dijajah oleh bangsa asing atau bangsa sendiri.

Pemimpin-pemimpin curang ada yang telah disingkir, didakwa malah ada yang dipenjara.

Pada Pilihan Raya Umum ke 16 yang akan datang nanti, ahli-ahli politik pasti akan lebih berhati hati dan mesti bersaing dengan lebih sihat dan beretika. 

Kerana, walaupun bukan semua, tetapi semakin ramai rakyat yang telah semakin pandai dan semakin matang di dalam perihal politik dan demokrasi.

Pendakian menuju Malaysia yang adil dan gemilang adalah proses pendakian yang berterusan. - Getaran, 23 November 2022

Berita Berkaitan

1

Semasa 2 bulan yang lalu

Agong Beri Lampu Hijau Ambil Tindakan Tegas Pada Ahli Parlimen Melampaui Batas

2

Selebriti 2 bulan yang lalu

Azhan Rani Berlepas Ke Nepal Ahad Ini, Mula Misi Ke Island Peak

3

Semasa 2 bulan yang lalu

Tanggungjawab Moral Untuk Ahli Politik, Pesara Pilih Satu Pencen - PM

4

Politik 2 bulan yang lalu

 10 Lagi Ahli Parlimen BERSATU Dijangka Sokong Anwar

Sorotan

1

Pemangku Ketua Bahagian BERSATU  Calon PN Untuk PRK KKB

2

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

3

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled

4

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

5

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya

6

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini

Disyorkan untuk anda

Kolum 1 hari yang lalu

Tun M, Bertenanglah, Tak Perlu Takut Dengan Siasatan