Berita Terkini

11 jam yang lalu: Tokoh Wartawan Negara 2014 Datuk Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia awal pagi hari ini - isteri Allahyarham, Datin Noraini Shariff. 3 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 6 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 1 minggu yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 1 minggu yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke

IKUTI KAMI


Penulisan Lirik: Keseimbangan Di Antara Matang Dan Mentah

Hakikatnya, muzik adalah pergerakan orang muda untuk orang muda. Golongan muda dan majmuk perlukan sesuatu yang lebih mudah dan bertenaga. Golongan yang lebih berusia pula sentiasa bergelut untuk kekal relevan di dalam industri muzik.

Kolum Dikemaskini 1 tahun yang lalu ยท Diterbitkan pada 12 Oct 2022 12:02PM

Konsert Kembara: Panorama Jingga (1444 Hijrah) yang diadakan baru-baru ini. - Gambar fail

oleh

Ad Samad

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Sebagai penulis lirik, aku adalah dari generasi yang datang setelah para penulis prolifik seperti Habsah Hassan, S. Amin Shahab, M. Nasir, J.S Kevin, Juwie dan Loloq telah pun bermula berdekad dekad lebih awal dariku.

Aku mula menulis lirik di dalam industri muzik rakaman pada 1999 pada usia 30 tahun. Nama-nama yang aku sebut di atas adalah mereka yang terdiri daripada purata usia 40-an ke atas ketika itu. 

Mereka adalah para insan yang telah matang justeru rata-ratanya mereka tidak lagi menulis perihal kisah-kisah cinta monyet dan poppish.

Mereka menulis lirik lirik kehidupan dan ketuhanan, selain kisah cinta yang lebih matang. Bahkan, tema-tema yang mereka tulis bercorak serampang dua mata. Iaitu, boleh ditafsirkan sama ada mengenai cinta sesama manusia yang berbentuk personal dan intimate (tetapi bukan seksual) atau cinta terhadap Tuhan.

S. Amin Shahab contohnya telah menulis 'Suci Dalam Debu' nyanyian kumpulan Iklim dan 'Umpama Mimpi Dalam Mimpi' nyanyian kumpulan Damasutra. Juwie menulis 'Insan', nyanyian Yantzen. Dan M. Nasir telah menulis dan menyanyikan 'Raikan Cinta' dari album Phoenix Bangkit.

Album Phoenix Bangkit
Album Phoenix Bangkit

Menulis lirik lirik matang sebegitu adalah sesuatu yang merbahaya kepada seseorang penulis lirik. Ia merbahaya kerana, pertama; ia menjauhkan mereka daripada kelompok para pencipta, penerbit dan pendengar generasi muda walaupun mendapat tempat di sebahagian hati pendengar muda. 

Hakikatnya, muzik adalah pergerakan orang muda untuk orang muda. Golongan muda dan majmuk perlukan sesuatu yang lebih mudah dan bertenaga. Golongan yang lebih berusia pula sentiasa bergelut untuk kekal releven di dalam industri muzik.

Kedua, mereka yang terjebak di dalam lagu lagu bersifat atau mempunyai tema yang berat seperti ketuhanan dan kehidupan (termasuk puisi) akan mendapati diri mereka sukar untuk keluar dari tema-tema sebegitu. 

Segala yang mereka hasilkan — termasuklah laras bahasa — akan berterusan kekal berat dan sarat. Mereka sukar kembali kepada tema atau perkara perkara yang mudah dan ringan.

Ia bukan isu moral, tetapi satu isu mengenai menjadi penulis yang berupaya kekal releven dan bukan niche atau pinggiran.

Kebijaksanaan M. Nasir sebagai pengkarya adalah di dalam menyedari hakikat tersebut.  Beliau dengan sedar atau conscious merubah haluan muziknya daripada album Phoenix Bangkit yang bercorak berat kepada album Juwita… Citra Terindah yang lebih ringan, semata-mata untuk kembali ke landasan asalnya iaitu pop/rock.

Salah seorang lagi penulis yang dapat mengelakkan diri dan terselamat dari perangkap aliran berat adalah Loloq. Beliau masih berupaya menulis lagu-lagu cinta monyet  dan poppish walaupun di usia lewat 40-an. 

Loloq
Loloq

Begitupun, lirik lirik cinta monyet dan pop-nya tetap mempunyai tarikan dan class. Sayangnya, beliau telah terlebih dahulu dijemput pulang ke pangkuan Ilahi di usia 50 tahun. Di kalangan penggiat muzik dan peminat seni, beliau amat dirindui. Habsah Hassan juga di antara yang terselamat dan kekal releven ke hari ini.

Satu sifat penting yang perlu ada di kalangan penulis lirik lagu lagu pop adalah naivety. Naif adalah perkataan pinjam yang berasal dari perkataan naive yang aku tafsirkan sebagai satu sifat atau pemikiran yang mentah. 

Fikiran yang mentah adalah pemikiran yang belum cukup pengalaman hidup dan pengetahuan untuk memahami dan menyedari kompleksiti kehidupan dan kerumitan sesebuah perhubungan malah perusahaan (enterprise) dan perjuangan.

Seorang penulis lirik, malah penggiat seni amnya perlu mempunyai naivete atau kenaifan agar dapat menghasilkan sesuatu yang disangka dapat memberi kesan malah merubah dunia.

Hanya penulis lirik yang naif dapat menulis kononnya hanya dengan ‘cinta’ dapat merubah dunia. Hanya dengan ‘cinta’ bumi ini akan terus berputar. Hanya ‘cinta’ yang dapat mengekalkan keharmonian biarpun ‘langit terbelah dan bumi bergoncang’ dan kehidupan akan terus kekal sejahtera selamanya.

Kenaifan membuat penulis menyangka bahawa hanya dengan slogan-slogan, manusia akan berbondong bondong bersepadu ke arah satu tujuan dan kemenangan. Kenaifan membuat penulis menulis tanpa perasaan malu malah yakin terhadap pendiriannya.

Kenaifan akan disedarkan oleh kematangan. Kematangan akan membuat penulis merasa atau menyedari apa yang disangkanya selama ini adalah meleset dan salah. Kematangan membuat penulisan menjadi lebih sukar, lebih mencabar.

Kematangan akan membuat penulis sedar bahawa ‘cinta’ semata mata adalah tidak mencukupi. Kematangan membuat penulis sedar perihal kewangan iaitu bil-bil yang perlu dibayar dan suasana semasa seperti politik rumah tangga dan pelbagai lagi desakan hidup.

Tatkala kematangan membawa bebanan, kenaifan pula memberi kebebasan kepada penulis. Kenaifan membenarkan penulis meneroka apa sahaja.

Perihal cinta khususnya; cinta adalah satu kemabukan malah gila. Seorang yang sedang bercinta adalah seorang yang tidak rasional. Rawan dan kemaruk.

Mabuk itulah yang memandu dan menjana ilham seorang penulis. Seorang pemandu yang mabuk akan melanggar apa sahaja, malah seringkalinya tetap jua sampai ke destinasi walaupun dengan kereta yang kemek, bercalar balar, cermin pecah dan ekzos tercabut.

Penulis yang berjaya untuk kekal lama malah ke usia lanjut adalah seseorang yang dapat mengimbangi di antara kematangan dengan kenaifannya. Beliau menunggang kenaifan atau perkara perkara yang belum difahaminya dengan berhati hati seperti menunggang seekor kuda yang liar. 

Kenaifan yang dimaksudkan di sini adalah kenaifan yang belum dicemari oleh korupsi minda. Seperti juga pengetahuan dan pengalaman menamatkan kenaifan; korupsi minda adalah lebih kejam lagi natijahnya. 

 M. Nasir
M. Nasir


 

Korupsi minda membuat penulis menggunakan kelebihnya untuk kepentingan diri. Korupsi minda akan menjadikan seseorang penulis itu hipokrit.

Hipokrit adalah seseorang yang melakukan perkara yang berbeza dari apa yang beliau perkatakan. 

Penulis yang baik dapat menggunakan kelebihannya untuk memanipulasi pemikiran ramai. Penulisannya adalah terlalu bagus sehinggakan pendengar atau pembaca menyangka beliau menulis dengan keikhlasan dan kebenaran.

Meskipun beliau adalah penulis yang hebat dan menjadi iri hati kepada penulis lain, tetapi beliau tetap seorang pendakyah yang menyeru kepada kebobrokan dan kepentingan diri atau self-serving. 

Beliau adalah penggoda atau pendakyah yang menawan.

Siapa Orang Kita

Baru baru ini, aku teringat sebuah lagu dari kumpulan Kembara yang bertajuk ‘Siapa Orang Kita’.

Ia berbunyi;

“Manakah teman temanku
Yang sama berjuang dahulu
Hilang sudah, hilang sudah…

Kebendaan menggelapkan
Lupa dengan perjuangan
Lupa sudah, lupa sudah…

Manakah semangat dulu?
Atau hanya helahmu
Hanya palsu, Hanya palsu…

Siapa, Siapa orang kita?
Mana, Mana orang kita?

Helah, helah… Helah, Helah…”

Lagu dan lirik ciptaan M. Nasir tersebut menerpa fikiranku ketika menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Music Authors’ Copyright Protection Berhad (MACP) yang ke-32 pada 27 haribulan September dan 6 haribulan Oktober yang lalu (2022).

Majlis tersebut dipengerusikan Datuk M. Nasir yang juga merupakan Pengerusi MACP.  Pada pengamatanku, jelas sekali beliau dan barisan penasihatnya telah sedaya upaya cuba mematikan kebebasan bersuara ahlinya dengan menggunakan segala teknikaliti dan kuasa yang beliau ada sebagai Pengerusi. 

Resolusi resolusi baru yang pihaknya bentangkan juga kelihatan amat meragukan dan bakal membawa kesan terhadap kebebasan bersuara para ahli. Apabila kembali mendengarkan lagu ‘Siapa Orang Kita’, otakku berkecamuk.

Ia adalah sebuah lagu yang sangat baik dari setiap segi penerbitannya, termasuklah lirik yang amat membangkitkan semangat perjuangan. Kekecamukan mindaku adalah di dalam memikirkan adakah lagu tersebut dikarang oleh seorang yang naif atau seorang yang hipokrit?

Adakah pada hari ini, kematangan yang mungkin beliau miliki akan membuat beliau menyampah akan kata-katanya yang lalu? Atau akan ketawa besar?

Mungkinkah kebendaan menggelapkan sehingga seniman agung sepertinya juga bisa lupa dengan perjuangan asalnya, walau entah apakah sebenarnya perjuangannya itu?

Atau kematangan yang beliau miliki telah jauh meninggalkan kami para insan yang masih naif perihal perjuangan? Dan, siapakah sebenarnya ‘orang kita’ yang beliau maksudkan? - Getaran, 12 Oktober 2022 

Sorotan

1

Penggunaan Nombor Bil Sebagai Rujukan Bayaran CAPL Bermula 1 April - LHDN

2

Pasangan Suami Isteri, 2 Lelaki Didakwa Perdagang Wanita Malaysia Di Peru

3

Ada Keperluan Pinda Seksyen 21 Akta Polis - KPN

4

PM Ucap Selamat Raikan Good Friday, Easter Sunday Kepada Penganut Kristian

5

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

6

Tular Titah Lama Sultan Nazrin, Dewan Negara Perak Buat Laporan Polis

7

Bas Terbalik Di Lebuhraya KLK: 2 Maut, 13 Cedera