Berita Terkini

2 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Matahari, Paus Dan Harimau 

Minggu ini Ad Samad berbicara tentang sejarah pedih Bapa Sains Moden, Galileo Galilei dan fahamannya serta lanjutan pemikiran dan penerimaan manusia terhadap kelainan kepercayaan, teori dan idea-idea baharu.

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 02 Feb 2022 11:35AM

oleh

Ad Samad

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

“Truth does not change because it is, or is not, believed by a majority of the people.” ~ Giordano Bruno

Galileo Galilei hidup dari 1564 hingga 1642. Beliau dianggap sebagai Bapa Sains Moden.

Beliau hidup pada zaman manusia rata-ratanya mempercayai bahawa Bumi adalah pusat atau di tengah alam semesta. Bumi berkedudukan tetap atau pegun manakala matahari, bulan, bintang bintang dan semua planet-planet mengelilinginya. Itu adalah fahaman lama yang digelar geosentrik.

Namun, Galilei mempunyai pemikiran dan pemahaman yang berlainan dengan semua orang ketika itu, malah bercanggah dengan ajaran pihak Gereja Roman Katolik. Justeru, amat membahayakan dirinya.

Beliau berfahaman bahawa matahari adalah pegun, malah menjadi pusat alam semesta. Manakala bumi dan planet lain pula mengelilinginya. Pemahaman beliau adalah pemahaman heliosentrik yang terlebih dahulu diusulkan oleh Nicolaus Copernicus yang hidup dari 1473 hingga tahun 1543.

Galileo Galilei | Gambar: Wikipedia
Galileo Galilei | Gambar: Wikipedia

Bagi kebanyakan orang awam, pemikiran Galilei adalah kepercayaan seseorang yang sudah sewel dan tidak betul.

Fahaman Galilei juga telah mencabar ajaran Gereja Roman Katolik mengenai kedudukan bumi sebagai pusat alam semesta. 

Pada 1633, Galileo Galilei telah didapati bersalah oleh Roman Inquisition iaitu sebuah sistem jemaah tribunal di atas nama Gereja Roman Katolik, kerana fahaman heliosentriknya. Beliau dipaksa dan terpaksa bertaubat daripada kepercayaannya serta menarik balik kenyataan mengenai hubung kait bumi dengan matahari.

Begitupun, beliau tetap dijatuhi hukuman penjara di rumah dan meninggal dunia pada 1642 dalam tahanan.

Sebagai perbandingan, hukuman terhadap Galilei oleh pihak Gereja tidaklah seteruk dan sekejam hukuman mereka lebih 30 tahun terdahulu terhadap seorang insan bernama Giordano Bruno.

Pada Februari 1600, Bruno telah dijatuhi hukum mati oleh jemaah Roman Inquisition kerana kesalahan heresy atau ‘sesat’. Di antara fahamannya yang dianggap sesat adalah fahaman heliosentriknya.

Beliau telah dipenjara selama lapan tahun dan sentiasa diseksa untuk membuat beliau bertaubat dan menarik balik segala fahamannya yang bertentangan dengan ajaran rasmi Gereja Roman Katolik. Setelah sekian lama diseksa dengan kejam, akhirnya beliau dibakar hidup-hidup atas bara api depan khalayak.

Bruno dan Galilei bukanlah penjenayah bersiri dan ganas. Sebaliknya, mereka adalah ahli falsafah, kaji bintang dan matematik. Namun, kepercayaan dan fahaman mereka dianggap sesat, dan setaraf atau seburuk perbuatan merompak, merogol, malah membunuh.

Giordano Bruno.| Gambar: Wikipedia
Giordano Bruno.| Gambar: Wikipedia

Banyak yang dapat kita pelajari daripada Galilei dan Bruno, selain daripada ilmu kaji bintang.

Di antaranya, mempunyai fahaman dan kepercayaan yang berlainan malah bertentangan dengan fahaman dan kepercayaan umum adalah sesuatu yang amat mencabar dan merbahaya.

Seseorang yang mempunyai kepercayaan dan fahaman yang berlainan bukan sahaja berisiko dicerca dan dipersenda, malah juga berisiko dibunuh, sama ada oleh para perusuh atau pun institusi yang memiliki kuasa untuk melaksanakan hukuman.

Membawa pemikiran dan teori baharu, terutamanya tatkala terdapat fahaman lama yang  telah sekian waktu berakar tunjang dan menjalar jauh ke dalam emosi dan sanubari manusia, serta diperkukuhkan dengan dogma-dogma institusi-institusi gergasi dan absah (legitimate), adalah perbuatan menongkah arus.

Adalah sukar untuk merubah pemahaman dan kepercayaan lama, meskipun fahaman dan teori baharu yang dibawa bisa disertakan dengan bukti serta fakta kukuh yang sukar disangkal.

Walau sebijak mana pun manusia, manusia amnya tetap menggunakan emosi sebagai asas pembuatan segala keputusan.

Rasionaliti juga tidak membantu kerana menerusi rasionaliti pula, kepentingan serta keselamatan diri adalah paling utama.

Siapakah insan rasional yang akan menyebelahi Bruno atau Galilei dan sudi mati percuma menyanggah Roman Inquisition demi ilmu pengetahuan dan kebenaran saintifik?

Seperkara yang dapat kita pelajari lagi adalah; kebenaran tidak semestinya berpihak kepada majoriti atau pun jumlah yang ramai.

Semua orang boleh salah, tatkala satu orang sahaja betul.

Semua orang telah salah, termasuk Gereja Roman Katolik, tatkala hanya Bruno dan Galilei sahaja betul.

Persoalannya adalah; bagaimana untuk kita tahu kita betul?

Dan bagaimanakah setelah kita berkeyakinan terhadap kebenaran yang kita miliki, dapat pula kita berdiri seorang diri dan berpegang kuat kepada kebenaran?

Seperti Bruno. Biarpun dibogelkan depan orang ramai, digantung terbalik dari kaki untuk dibakar atas bara api; beliau tetap tidak bertaubat dan tidak menarik balik kenyataannya. Beliau sanggup mati sesat pada mata orang yang berkuasa.

Dunia 400 tahun lalu jauh lebih zalim dan kejam berbanding dunia hari ini.

Kini, kebanyakan negara dan masyarakat tidak lagi membakar manusia hidup-hidup atas sesuatu kesalahan besar atau kecil. Manusia sudah tidak seganas dahulu.

Namun, bukan bererti seorang contrarian telah selamat untuk memiliki fahaman, kepercayaan dan idea-idea baru yang bertentangan dengan fahaman lama dan umum.

Seseorang contrarian bukan sahaja masih lagi terpaksa menghadapi confirmation bias para individu yang akan membuat bantahan dan cercaan di media sosial dan jalanan, tetapi juga institusi-institusi gergasi yang mempunyai kepentingan dan saluran perundangan untuk melaksanakan hukuman yang tidak menyelesakan.

Pada 1992, Gereja Roman Katolik di bawah Paus (Pope) John Paul Kedua telah mengakui bahawa Galileo dan fahaman heliocentric yang berteraskan teori Copernican adalah benar.

Namun tidak jelas sama ada Paus John Paul dan pihak Gereja memohon maaf di atas kesilapan mereka terhadap Galilei.

Mengenai Giordano Bruno pula, Paus John Paul Kedua hanya menyatakan ‘kekesalan’ terhadap apa yang berlaku kepadanya.

Sebagai seseorang yang amat dimuliakan, pengakuan silap oleh Paus John Paul Kedua bagi pihak Gereja di waktu silam telah cukup membuktikan dirinya sebagai seorang warak yang berpekerti tinggi dan pemelihara kesucian Gereja Roman Katolik.

“Maybe you who condemn me are in greater fear than I who am condemned.” ~ Giordano Bruno.

Perihal tanah air kita hari ini pula, isu pembalakan kembali hangat diperkatakan sejak banjir besar yang berlaku  baru-baru ini. Banyak pihak mempercayai pembalakan adalah punca bencana alam yang melanda. Dan, pembalakan membuat harimau sudah tiada tempat tinggal sehingga terpaksa menghuni berhampiran perkampungan manusia pula.

Ketika pelbagai rencana dan retorik diperkatakan di sana sini oleh pelbagai golongan, satu kenyataan oleh Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK), Abdul Khalim Abu Samah telah menarik perhatian ramai.

Beliau telah mendakwa bahawa aktiviti pembalakan tidak menjejaskan populasi harimau, sebaliknya adalah baik pula untuk pertambahan populasi harimau.

Kenyataan beliau segera mendapat cercaan dan persendaan, kerana kenyataannya kedengaran amat tidak masuk akal dan tidak logik.

Tapi, bagaimana seseorang yang berjawatan tinggi seperti beliau boleh mengeluarkan kenyataan yang begitu mengagumkan dan luar biasa?

Adakah kenyataan beliau telah diambil di luar konteks?

Ataupun, kita orang awam yang tidak mempelajari dan memahami ilmu perhutanan? Lalu kita tidak dapat memahami hubung kait di antara pembalakan dengan populasi harimau, seperti mana manusia di kurun ke-17 tidak mengetahui dan memahami hubung kait di antara bumi dengan matahari, sehingga mempersenda dan menghukum Bruno dan Galilei.

Mungkinkah Abdul Khalim mengalami masalah di dalam usahanya memberi penjelasan  ringkas dan mudah bagi sesuatu subjek yang sangat rumit agar mudah difahami rakyat kebanyakan?

Mungkinkah dalam usaha beliau menjawab secara mudah dan ringkas, beliau telah tanpa sengaja memberi bola tanggung kepada orang ramai untuk smash?

Oleh itu, adalah amat penting untuk Abdul Khalim menyedari bahawa teori baharu dan pinggiran (fringe theory) mempunyai risiko apabila dikemukakan kepada umum, lebih-lebih lagi apabila kita tidak mempunyai kebolehan berbicara atau berhujah dengan baik.

Namun, beliau mesti terus berusaha memberi penerangan untuk menjelaskan lagi pendapat beliau. Itu adalah tanggung jawab beliau.

Pada masa sama, Abdul Khalim juga mesti menerima segala kritikan malah persendaan dengan berlapang dada.

Persendaan adalah sesuatu yang penting di dalam bermasyarakat, tetapi biarlah berpada-pada. Sesuatu yang langsung tidak boleh dipersendakan lambat-laun akan digunakan untuk menjadi bahan memulakan tindakan keganasan.

Kekejaman dan keganasan yang dilakukan oleh pihak Gereja terhadap Bruno adalah kerana mereka tidak boleh dipersendakan.

Sekiranya kenyataan Abdul Khalim itu adalah tepat berdasarkan kajian saintifik, lambat laun nanti satu sistem pembalakan terurus dan tersusun berdasarkan teori yang beliau sebut akan diguna pakai untuk menambah populasi harimau dan memelihara hutan.

Sebaliknya, sekiranya kenyataan Abdul Khalim itu hanyalah satu polemik untuk melindungi golongan-golongan tertentu, kita berdoa semoga beliau akan sentiasa dirasuk dan dihantui saka-saka harimau harimau pupus.

Selamat menyambut Tahun Baharu Cina dan Tahun Harimau.

Ngaummm! - Getaran, 2 Februari 2022

Sorotan

1

Lelaki Sindrom Down Melecur Disimbah Air Panas Dalam Lif

2

8 Aksi Pramusim Digunakan Untuk Uji Sistem VAR - Stuart

3

Misi Hantar Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza Dengan Kapal Tetap Diteruskan - Ann Wright

4

PRK Kuala Kubu Baharu: Kerajaan Perpaduan Ada Kaedah Pastikan Calon Menang

5

Pemain Badminton Negara Pamer Kekuatan Mental Menjelang Piasa Thomas, Uber

6

Pelajar Sekolah Meninggal Dunia Ketika Acara Larian Rentas Desa

7

Lelaki Israel Miliki Senjata: 10 Individu Ditahan Bawah SOSMA