Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Sedang Asyik Berjoget Di Pentas Fun Fair, Isteri Datang Menyerang!

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 18 Nov 2021 1:44PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

SUATU malam dalam keseronokan fun fair di pekan kecil berhampiran kampung penulis di Bagan Datuk, Perak, pada tahun 60-an. Muzik beralun perlahan dan kemudian mula rancak. Begitu juga gerak tari, hayunan tangan dan kaki yang mula-mula perlahan bertambah pantas menurut rentak muzik.

Begitu ceria beberapa pasangan berjoget di atas pentas dengan puluhan pasang mata memandang penuh asyik, termasuk penulis. Yang lelaki berjoget adalah pengunjung fun fair sementara pasangan mereka adalah wanita joget dalam fun fair tersebut.

Sedang ayik berjoget, tiba-tiba tedengar jeritan kuat dari bawah pentas, lebih kuat daripada muzik yang sedang beralun. “Abang Man, turun sekarang!”.

Pekikan yang membingitkan telinga itu bukan sahaja bergema di kawasan pentas joget tetapi menerjah kawasan sekitar.  

Yang sedang rancak berjoget terkejut, yang melihat juga terkejut. Mereka mencari-cari dari arah mana suara itu datang.

Namun yang sepuluh kali lebih terkejut ialah insan yang dipanggil ‘Abang Man’ yang sedang rancak menari di atas pentas.

Rupanya yang menjerit memanggil Abang Man itu ialah isterinya yang memekik ke arah suaminya yang sedang ligat berjoget. Apabila namanya dijerit, Abang Man sudah tahu itu suara isterinya.

Apabila memalingkan muka memandang ke bawah pentas, nampak isterinya berdiri bercekak pinggang dengan muka merah padam sambil sekali lagi menjerit ‘Turun!’.

Mata orang ramai sekejap tertumpu kepada Abang Man, sekejap ke arah isterinya. 

Si suami pula gementar satu badan. Potong stim betul! Tentu dia tidak menduga isterinya akan datang menyerangnya di fun fair malam itu.

Mungkin hati Abang Man berbisik macam mana isterinya tahu? Adakah isterinya syak dia pergi ke fun fair lalu datang mengintai serta nampak dia sedang rancak berjoget?

Tentulah Abang Man tertanya-tanya siapa yang menjadi spy isterinya?  Masa itu bukan ada telefon bimbit untuk memberi maklumat dengan cepat.

Sambil persoalan ini bermain di kepala, Abang Man bergegas turun dari pentas dengan tersipu-sipu. Jika tidak turun pasti isterinya naik angin menyerbu ke atas pentas dan mengamuk bagai singa lapar.

Sampai sahaja di bawah, isteri menarik telinga dan mengheretnya keluar dari kawasan pentas joget. Mungkin terus balik ke rumah. Orang ramai melihat sahaja drama ini.

Kisah Abang Man dan isterinya serta pentas joget dalam fun fair adalah imbauan kenangan penulis akan warna warni fun fair di tempat penulis dahulu.

Beberapa dekad lalu fun fair merupakan satu bentuk hiburan santai bagi penduduk kampung.

Apabila fun fair datang, yang biasanya beroperasi antara dua minggu hingga sebulan, ia akan menjadi tumpuan penduduk kampung.

Macam-macam ada di fun fair seperti buaian pusing dan beberapa jenis permainan seperti baling tin dan baling botol menggunakan bola, baling gelang rotan, tembak senapang peluru gabus, kereta api pusing, kuda pusing, baling dart dan lain-lain.

Pentas joget selalunya memang ada dalam fun fair sebagai penyeri dan merupakan tarikan pengunjung, tidak kira yang sudah berumur atau anak muda. Di atas pentas akan ada deretan wanita joget duduk menunggu di atas kerusi.

Pengunjung yang hendak menari perlu membeli tiket terlebih dahulu. Penulis tidak ingat berapa harganya, mungkin lima (5) kupang (sebutan Perak) atau 50 sen. Pada tahun 60-an 50 sen itu besar nilainya.

Masa itu di kampung penulis sekati (600 gram) ikan temenung (kembung) baru 25 sen, atau orang Perak sebut ‘suku’. Sekati kerang pula hanya lima sen!

Apabila muzik di pentas berhenti memandakan pusingan joget sebelumnya sudah habis, yang menunggu giliran pula naik ke pentas. Mereka boleh memilih siapa di antara wanita joget yang disukai.

Caranya pergi ke tempat wanita itu duduk dan menyerahkan tiket kepadanya. Tetapi perlu cepat. Jika yang disukai sudah terlebih dahulu disambar, terpaksalah memilih yang masih kosong.

Setelah semua yang naik pentas ada pasangan, muzik berbunyi dan joget bermula. Yang lambat naik dan tidak mendapat pasangan kenalah turun dahulu dan tunggu giliran seterusnya. Kerap pula yang sudah menari ini akan berulang kali naik pentas.

Biasanya akan ada seorang dua di antara wanita joget ini hot dan menjadi rebutan ramai. Malah ada yang naik pentas beberapa kali semata-mata mahu berjoget dengan wanita hot itu. Jika tidak dapat malam ini, cuba malam esok!

Kemeriahan fun fair bukan sahaja terhad kepada pentas joget atau pelbagai permainan yang disediakan.

Namun pada waktu tertentu pihak penganjur menjemput artis datang menghiburkan orang ramai.

Antara artis yang datang ialah penyanyi pop S. Jibeng (ketika itu era pop-yeh-yeh), pelakon Yusni Jaafar atau nama glamornya ketika itu Yunis Ebobo, Tamam Idris dan beberapa orang lagi yang penulis tidak ingat. Tentu sahaja peminat teruja melihat artis pujaan mereka dari dekat.

Seniman Agung P. Ramlee dan Saloma juga pernah datang ke pekan kecil tempat tapak fun fair tersebut.

Tetapi mereka datang bukan untuk fun fair, sebaliknya menghiburkan peminat pada satu pertunjukan di padang sekolah berhampiran. Memang ramai yang datang melihat persembahan pasangan penyanyi dan pelakon terkenal itu. 

Namun kini fun fair sudah tidak pernah berkunjung ke tempat penulis. Malah dengan peredaran masa, seri fun fair sudah berkurang.

Tetapi ia bukanlah pupus terus kerana fun fair masih ada di sana sini di pekan kecil, malah di bandar. Peminatnya tetap ada.

Bagi penulis, kenangan fun fair ini adalah catatan kisah manis waktu remaja ketika masih bersekolah yang akan terus tersimpan dalam lipatan hati. Masa yang lalu tidak akan kembali. - Getaran, 18 November 2021

Berita Berkaitan

1

Kolum 1 bulan yang lalu

Apabila AI Menjadi Peguam, Akauntan Dan Pemandu

2

Video & Galeri 1 bulan yang lalu

Malang Tak Berbau, Nak Berseronok Tapi Sakit Yang Dapat

3

Kolum 1 bulan yang lalu

Ruang Kecil, Impian Besar: Bagaimana Ruang Simpan Sendiri Buka Peluang, Potensi Untuk PKS

4

Kolum 1 bulan yang lalu

5G: Keperluan Atau Sekadar Gimik Pemasaran?

Sorotan

1

Anak MB Perlis, 4 Yang Lain Dilepas Dengan Jaminan SPRM

2

Pemilik Stesen Minyak Diminta Lapor KPDN Jika Diancam Sindiket

3

Najib Diberi Peluang Jelaskan Mengenai Dokumen 1MDB Ketika Disoal Siasat - Pegawai SPRM

4

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

5

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok

6

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

7

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi