Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Sayangkan Ibu, Anak Bawa Ratu Hati Dapatkan Vaksin

Kisah Kita Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 18 Jun 2021 12:19PM

Warga emas, Remditiun bergambar bersama Rais selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 di Dewan Terbuka Kampung Bongkol Pitas, Pitas. - Gambar Bernama

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

PITAS - Seawal 6.30 pagi lagi, seorang pemuda Rais Jipun, 39, bersiap-siap untuk membawa ibunya Remditiun Mangandon, 70, ke Program Vaksinasi Bergerak yang diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Bongkol, di sini.

Jarak antara kampungnya iaitu Kampung Mangkapon Darat ke dewan serbaguna itu kira-kira lapan kilometer mengambil masa perjalanan lebih kurang 30 minit kerana terpaksa melalui jalan raya tidak berturap.

Tujuan Rais yang juga seorang petani hanya satu iaitu untuk memastikan ‘ratu hati’nya itu menerima suntikan vaksin sebagai langkah perlindungan agar bebas daripada risiko jangkitan COVID-19 yang masih menular di Sabah dan seluruh negara.

“Saya mengambil inisiatif membawa bersama ibu mengambil vaksin kerana beliau masih berupaya dan sihat untuk melakukan kerja-kerja kampung walaupun sudah berusia. Ibu saya seorang petani dan dia banyak berjumpa orang untuk menjual hasil pertaniannya.

“Jadi, adalah paling bagus jika dia memperoleh vaksin dengan cepat agar dapat melindunginya daripada jangkitan COVID-19. Pada awalnya ibu tidak berminat dan menolak menerima vaksin kerana takut jarum, tetapi setelah saya beri penerangan tentang kepentingan vaksin, dia bersetuju,” katanya kepada Bernama.

Rais dan ibunya merupakan antara kira-kira 300 penduduk kampung di sekitar Mukim Mapan-Mapan yang hadir ke program itu meskipun ada dalam kalangan mereka terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk sampai ke sana semata-mata ingin mendapatkan suntikan vaksin.

Selepas menerima suntikan vaksin, anak ketiga daripada enam bersaudara itu kemudian merakamkan gambar bersama ibunya sebagai kenangan selain dikongsikan kepada adik-beradik lain yang berada di bandar.

Nursyuhadah Mangukip, 26, dari Kampung Bongkol turut mengambil inisiatif sama dengan membawa ibunya Rinumbizal Masadoi, 63, menerima suntikan vaksin kerana prihatin tentang keselamatan dan kesihatan seterusnya mencegah ibu daripada dijangkiti wabak COVID-19.

Nursyuhadah, anak kesembilan daripada 10 beradik itu berkata mereka tidak memaksa ibunya untuk mengambil vaksin, namun setelah mengetahui adanya program vaksinasi dijalankan di kampungnya, ibunya sendiri membuat keputusan dan bersedia menerima suntikan.

“Ibu saya sendiri yang ingin mengambil vaksin. Dia sangat bersemangat dan begitu teruja kerana awal pagi lagi dia sudah bersiap-siap untuk bergerak ke program ini,” katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah Maynie Mositun, 34, dari Kampung Pungiton Polid berkata sesi kaunseling oleh pegawai perubatan bertugas sebelum seseorang individu mendapatkan suntikan,  membantu untuk lebih menyakinkannya mengambil vaksin.

“Sesi kaunseling ini sangat bagus kerana kami boleh bertanya sekiranya ada alahan selepas mengambil vaksin apa yang harus dilakukan dan pegawai perubatan memberitahu boleh segera ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya berkongsi pengalaman menerima suntikan vaksin dos pertama pada program itu.

Sebanyak 250 dos dibawa Petugas Pasukan Bertindak Imunisasi COVID-19 ke Program Vaksinasi Bergerak bagi Mukim Mapan-Mapan, namun, susulan sambutan cukup luar biasa daripada penduduk kampung, pemberian suntikan vaksin diberi keutamaan kepada warga emas dan mereka yang datang dari jauh.

Selain Mukim Mapan-Mapan, Program Vaksinasi Bergerak turut diadakan di satu lagi mukim dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bengkoka iaitu Mukim Pantai dan dua lagi mukim dalam DUN Pitas iaitu Mukim Pinggan-Pinggan dan Mukim Telaga.

Pitas adalah sebuah daerah terletak di utara Sabah, kira-kira 170 kilometer dari Kota Kinabalu, dengan populasi penduduk kira-kira 42,000 orang yang rata-ratanya bergantung kepada sektor pertanian dan perikanan sebagai sumber rezeki utama.- Bernama

Sorotan

1

Anak MB Perlis, 4 Yang Lain Dilepas Dengan Jaminan SPRM

2

Pemilik Stesen Minyak Diminta Lapor KPDN Jika Diancam Sindiket

3

Najib Diberi Peluang Jelaskan Mengenai Dokumen 1MDB Ketika Disoal Siasat - Pegawai SPRM

4

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

5

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok

6

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

7

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

Disyorkan untuk anda

Kisah Kita 1 hari yang lalu

'Man Kubur' Tolak Rasa Malu, Teruskan Legasi Ayah Hasilkan Kepok Kubur