Berita Terkini

4 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Shamil Cookies Air Tangan Anak-Anak OKU

Kisah Kita Dikemaskini 1 bulan yang lalu ยท Diterbitkan pada 21 Mar 2024 8:19AM

gambar BERNAMA

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Setiap kunyahan memberikan rasa manis, lemak dan sedikit masin biskut emping jagung atau cornflakes yang berderai sebelum mencair di dalam mulut - tidak ada bezanya rasa biskut Shamil Cookies dengan biskut emping jagung lain yang banyak dijual oleh pembuat biskut, terutama ketika musim perayaan.

Namun, untuk menghasilkan sebalang biskut tersebut, ungkapan 'sabar, sabar dan terus bersabar', diulang bagaikan mantera oleh lima pembimbing di Pusat Kebajikan K-Link Kuala Lumpur dan Selangor (K-Link Care Center), kerana pembuat kuih terbabit adalah anak-anak istimewa yang mengalami keadaan perubatan seperti sindrom Down dan autisme.

"Jika ingin digambarkan betapa payahnya untuk mengajar anak-anak ini melakukan tugasan mereka, memang tidak dapat diungkap. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa sukarnya kami mendidik mereka.

"Ada masa ketika sedang membuat kuih, secara tiba-tiba ada anak yang tantrum (laku radang), bertindak membaling telur serta melempar peralatan memasak. Apa yang boleh kami buat, melainkan bersabar dan usahakan agar anak itu kembali tenang," cerita pengasas pusat kebajikan itu Datin Roziyaton Jamaluddin kepada BERNAMA.

"Rasanya sudah ribuan biji telur pecah begitu sahaja sejak usaha menghasilkan biskut coklat Shamil Cookies ini kami mulakan beberapa tahun lalu, Itu belum dikira jumlah biskut yang hangus atau hangit," tambah beliau, tertawa kecil.

Beroperasi sejak 2015, K-Link Care Center yang terletak di Taman Bukit Permata, Batu Caves, Selangor ini berfungsi sebagai pusat pendidikan ala vokasional untuk golongan istimewa, khususnya yang mempunyai keterbatasan mental, dengan matlamat memberikan mereka kemahiran yang dapat membantu golongan ini meraih pendapatan sendiri.

Pengasas K-Link Care Center Datin Roziyaton Jamaluddin (bertudung oren, dua dari kanan).
Pengasas K-Link Care Center Datin Roziyaton Jamaluddin (bertudung oren, dua dari kanan).

Stigma

Bercerita lanjut, Roziyaton yang mempunyai seorang anak istimewa berkata, idea untuk menubuhkan pusat itu tercetus selepas menyaksikan kekecewaan anaknya ketika cuba mencari pekerjaan.

Menurut beliau, anak perempuannya Shamil Adyanee, 24, adalah seorang yang pintar, namun di sebalik pencapaiannya dia tetap gagal memperoleh sebarang pekerjaan, waima yang bergaji minimum, kerana statusnya selaku individu dengan sindrom Down.

"Stigma yang masih menebal dalam kalangan masyarakat tentang anak istimewa ini menjadi penghalang untuk kita memanfaatkan potensi mereka. Di pusat ini, kita mahu menggilap potensi itu agar mereka mampu berdikari, selain melindungi mereka daripada dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggung jawab," jelasnya.

Menurut beliau, keutamaan di pusat itu adalah memastikan si anak faham segala yang diajar dan berupaya mempraktikkan pengetahuan terbabit.

"Ini termasuk kelas asas akademik melibatkan 3M (membaca, menulis dan mengira). Berbanding sekolah biasa, di sini kita guna pendekatan secara 'hands-on' atau amali," katanya, menambah kelas lain termasuk komunikasi, pendidikan agama Islam, kesenian, pendidikan jasmani, vokasional dan sesi terapi.

Mengambil contoh sesi pembuatan biskut, Roziyaton berkata, anak-anak berkenaan dilibatkan dari awal proses termasuk menyediakan senarai barang yang perlu dibeli sebelum dibawa ke pasar raya.

"Mereka sendiri memilih barang yang perlu dibeli serta mengira jumlah duit yang perlu dibayar.

Anak-anak OKU turut dibawa ke pasaraya bagi membeli barangan keperluan bagi penghasilan produk Shamil Cookies.
Anak-anak OKU turut dibawa ke pasaraya bagi membeli barangan keperluan bagi penghasilan produk Shamil Cookies.

"Kemudian kita ajar tentang sukatan bahan, cara adunan dibancuh, diuli, dibakar hingga ke peringkat memasukkan kuih itu ke dalam balang dan menampal pelekat pada balang. Semua ini dilakukan sendiri oleh mereka di bawah pemantauan tenaga pengajar," jelas beliau lagi.

Menurut Roziyaton, buat masa ini mereka mempunyai 18 pelajar berusia lima hingga 30 tahun yang mengalami keadaan perubatan seperti sindrom Down, autisme, disleksia dan sindrom Prader-Willi.

"Kami bahagikan sesi pembelajaran kepada dua sesi, iaitu sesi junior melibatkan peringkat bayi hingga kanak-kanak berusia 12 tahun yang bermula pada 9.30 pagi hingga 1 tengah hari, sementara sesi senior (pelajar berusia 13 tahun ke atas) dari 1.30 tengah hari hingga 5 petang.

"Kami juga memperkenalkan kumpulan perantis bagi anak-anak lepasan sekolah di usia 19 tahun ke atas, yang datang sebagai pelajar dan 'pekerja'," katanya, menambah pada masa ini terdapat enam perantis yang berusia 19 tahun ke atas.

Sambutan Menggalakkan

Menurut Roziyaton, usaha pusat itu menghasilkan biskut tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat termasuk ibu bapa dan peniaga setempat.

"Masyarakat membantu kami dari segi sumbangan dana dan juga pasaran, sementara peniaga pula memberikan kami diskaun semasa membeli barang untuk pembuatan kuih itu," katanya, menambah keuntungan yang diperoleh juga tidak sebesar mana berbanding kos memandangkan 'cabaran-cabaran' yang perlu dilalui semasa proses pembuatan.

"Kita sedar, kalau kita sasar untuk siapkan 10 balang biskut pada hari berkenaan, tidak semestinya kita akan dapat penuhi sasaran itu kerana cabaran yang saya sebutkan sebelum ini, seperti insiden 'tantrum' dan lain-lain lagi," katanya.

Menurut beliau, setakat ini mereka menjual secara purata 30 balang biskut setiap bulan pada harga RM25 sebalang.

K-Link Care Center juga menjual produk Shamil Cookies di laman media sosial termasuklah Instagram
K-Link Care Center juga menjual produk Shamil Cookies di laman media sosial termasuklah Instagram

"Sekarang kami tumpukan pada tempahan untuk hari raya. Tahun lalu, kami terima tempahan 300 balang, dan untuk raya tahun ini kami sasarkan jumlah yang sama. Selain itu, kami juga akan keluarkan hamper raya.

"Kami juga terima tempahan untuk dijadikan buah tangan majlis perkahwinan. Misalnya pada April tahun lalu, kami siapkan 2,000 balang kecil untuk sebuah majlis perkahwinan," kongsi beliau.

Menurutnya, sebahagian daripada hasil jualan akan diberikan kepada anak-anak terbabit serta tenaga pengajar, sementara baki akan dimasukkan ke dalam tabung pengurusan pusat.
Selain itu, mereka juga menghasilkan kek buah klasik.

"Pembuatan kuih dan kek ini dibantu oleh ibu seorang pelajar kami yang menjalankan perniagaan kuih raya di rumah, dan beliau membantu dari segi mengajar staf kami serta berkongsi resipi. Malah, beliau kini menjadi staf tetap kami," katanya.

Selain itu, kata beliau, mereka turut mengusahakan tanaman cendawan tiram yang dimulakan pada 2020.

"Bermula dengan hanya 20 bongkah, kini kami ada lebih 2,000 bongkah. Usaha ini juga melibatkan anak-anak terbabit, misalnya semasa menuai dan membungkus cendawan berkenaan untuk dijual kepada masyarakat di kawasan sekitar," katanya.

Bagi menambah pendapatan, K-Link Care Center turut menawarkan perkhidmatan dobi.

Anak-anak OKU diajar untuk sentiasa berdikari termasuklah belajar memasak di dapur.
Anak-anak OKU diajar untuk sentiasa berdikari termasuklah belajar memasak di dapur.

"Jujurnya, projek pelajar yang dijalankan hanya cukup untuk membantu murid belajar berdikari dan belum mencukupi bagi 'menghidupkan' pusat ini.

"Untuk menanggung kos operasi, kami menerima bantuan daripada syarikat K-Link International dan zakat persendirian, selain sumbangan peribadi orang ramai. Malah, bagi menjimatkan kos, pusat ini beroperasi di kediaman peribadi," jelasnya.

Malah, kata beliau, yuran yang dikenakan ke atas pelajar juga adalah pada kadar minimum, selain turut memberikan subsidi penuh atau separa kepada kepada sesetengah pelajar.

Menurut Roziyaton, beliau bercadang memperluas program yang ditawarkan di pusat pendidikan harian itu bagi meningkatkan potensi golongan istimewa terbabit, agar mereka juga berpeluang mempunyai masa depan yang lebih terjamin.

"Sebagai seorang ibu yang mempunyai anak istimewa, antara yang saya risaukan saban hari adalah masa depannya. Atas sebab itulah saya tubuhkan pusat ini," katanya, menambah pusat itu adalah yang kedua ditubuhkan oleh beliau, selepas penubuhan K-Link Care Center di Jakarta, Indonesia pada 2013. - BERNAMA

Sorotan

1

Akta Keselamatan Kesihatan Pekerja (Pindaan) 2022 Berkuat Kuasa 1 Jun

2

Pakar Ekonomi Sabut Baik Penubuhan Akaun Ketiga KWSP

3

Kempen PRK KKB: Semua Pihak Diingatkan Tidak Sentuh Isu 3R - Fahmi

4

Genting Malaysia Nafi Babit Bincang Mengenai Kasino Di Forest City

5

Akta Laut Wilayah Masih Sah, Terpakai Termasuk Di Terengganu - PMO

6

PM Akan Hadir Forum Ekonomi Dunia Di Riyadh Dalam Lawatan Kerja

Disyorkan untuk anda

Kisah Kita 17 jam yang lalu

Kopi Kanvas Seni Tyler Wong