Berita Terkini

2 jam yang lalu: Malaysia harap UAE bawa isu Palestin dan Myanmar ke Majlis Keselamatan PBB 2 jam yang lalu: Majoriti penduduk dewasa Singapura lihat perlumbaan F1 bawa impak positif ke atas republik itu- YouGov 2 jam yang lalu: Ambank bayar RM2.83 bilion kepada kerajaan Malaysia berhubung skandal 1MDB 2 jam yang lalu: Tunku Panglima Johor Juara PRO-AM GT3 Asia 2 jam yang lalu: Tiada rasuah libatkan peruntukan KBS kepada persatuan sukan - Ahmad Faizal

IKUTI KAMI


Senjata Ibarat Bantal Peluk Ketika Perangi Komunis

Kisah Kita Dikemaskini 1 minggu yang lalu · Diterbitkan pada 14 Sep 2022 4:43PM

Gambar kenangan anggota Pasukan Polis Hutan Sarjan, Mejar (B) Damin Hadis, (kanan) bersama rakan-rakannya di Kroh. - Gambar Bernama

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

PONTIAN - Seolah-olah bantal peluk ketika tidur, Sarjan Mejar (B) Damin Hadis tidak lekang memegang senjata ketika bertugas sebagai anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) sewaktu memerangi pengganas komunis, lebih 40 tahun lepas.

“Tangan sentiasa di senapang baik di ‘base’ atau bertugas, tidak lekang daripada tangan, kalau tidur pun memang menjadi bantal peluk,” kata Damin, 77, yang menggambarkan tahap kesiapsiagaan PPH yang kini dikenali sebagai Pasukan Gerakan Am (PGA).

Beliau berkata terlalu banyak peristiwa hitam dan tragis disaksikannya sepanjang bersama PPH bermula 1968 ketika ditugaskan dalam Platun 9 Kompeni C Batalion 1, Ulu Kinta, Perak yang digelar ‘Tiger Platoon’ serta digeruni komunis dan Platun 2 Batalion 8 Kem Simpang Renggam, Kluang.

Bercerita kepada Bernama, penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) 2018 itu berkata PPH ketika itu banyak ditugaskan di Thailand atas persefahaman dua negara bagi menggempur komunis termasuk kem mereka sama ada di kawasan perkampungan atau hutan.

Katanya, pertempuran hampir dua jam antara pasukannya dengan 50 komunis di kebun getah Kampung Ban Na Lee, selatan Thailand pada 1975 antara peristiwa segar dalam ingatan sehingga kini kerana telah mengorbankan rakannya yang juga mata-mata dikenali sebagai Yasin dan Komander Platun Inspektor Yusof. 

Damin berkata beliau dan pasukannya diarahkan membersihkan jalan untuk memastikan laluan konvoi selamat dan tiada musuh bagi tugasan keesokannya yang melibatkan rondaan 20 kekuatan anggota menggunakan dua kenderaan perisai dipanggil ‘pirate’ dan sembilan pacuan empat roda Land Rover.

“Dalam perjalanan hujan panas turun, saya terus teringat petua orang tua dahulu, apabila hujan panas akan ada orang mati atau peristiwa berdarah berlaku dan semasa platun melalui jalan kampung kira-kira 2.30 petang, tiba-tiba kami diserang ‘hujan peluru’ kerana komunis melakukan serang hendap.

“Yasin terkena tembakan di kepala, seorang lagi rakan nyaris terkena sebelum Inspektor Yusof mara ke depan melindunginya sambil menjerit “jangan encik, jangan encik” namun, komunis dari atas bukit menembak pegawai itu sehingga badannya hancur,” kata Damin ketika ditemui di rumahnya di Pekan Nanas di sini baru-baru ini. 

Damin Hadis
Damin Hadis

Menurut Damin, meskipun beliau tidak mengalami sebarang kecederaan dalam serang hendap itu, peristiwa berkenaan turut menyebabkan tujuh anggota PPH cedera parah, manakala 10 komunis dibunuh dan 21 cedera parah.

Dengan nada sebak, Damin berkata ujian tidak terhenti di situ kerana ketika rakan-rakannya yang cedera sedang mendapat rawatan di sebuah hospital di Bentong, Pahang, beliau menerima maklumat risikan bahawa komunis mahu menyerang hospital dan membunuh anggota PPH, namun dengan pantas kawalan ketat bersenjata dilancarkan tetapi tiada serangan komunis berlaku.

Tidak lama selepas kejadian serang hendap itu, beliau meminta untuk ditukarkan ke cawangan lain memandangkan telah berumah tangga pada 1974 dan tinggal berjauhan dengan isteri Zainab Mohamed, 71, sebelum berpindah ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian pada 1976 dengan melaksanakan tugas-tugas am.

Beliau yang telah berkhidmat selama 35 tahun sejak 1965 dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga antaranya pernah bertugas di pelbagai cawangan dan Unit Kawalan Kawasan (UKK), selain menjadi penolong Ketua Balai Polis Permas dan bertugas di Cawangan Kebajikan sebelum bersara pada 2000. 

Damin yang turut menerima Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Ketiga pada 1988 berkata selain peristiwa serang hendap itu, beliau juga pernah bertugas membuat rondaan keselamatan semasa Rusuhan Anti-Johnson 1966 dan Rusuhan Krisis Mata Wang 1967 sebelum menyertai PPH.

Sebelum mengakhiri perbualan, Damin turut menasihati generasi muda terutama yang bertugas dalam badan beruniform agar sentiasa berwaspada dan jangan sesekali membenarkan ideologi komunis wujud atau tumbuh di negara ini.

“Walaupun keadaan sekarang tenang, tetapi kena berwaspada, kita aman sekarang, tetapi ingatlah untuk menempah keamanan tidak semudah yang kita fikir, senang hendak bercakap tetapi tidak semudah itu. Selain itu, ikut perintah dan jauhkan diri daripada perkara tidak elok yang boleh mencemarkan diri sendiri dan pasukan,” katanya.

Perjalanan kisah Damin telah dibukukan, hasil penulisan anaknya yang merupakan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Dr Zahrul Akmal yang berjudul ‘Menjunjung Kedaulatan Berpasak Keamanan: Biografi SM (B) Hj Damin Bin Hadis’ yang diterbitkan pada 20 Februari 2020. - Bernama

Sorotan

1

Kenapa Rizman Ruzaini Berarak Di Perkarangan Bukit Bintang, Apa Kaitannya Dengan Beg Tote?

2

Piala Dunia 2022: Fasa Terakhir Jualan Tiket Bermula 27 September

3

Jenayah Seksual Kanak-Kanak Tidak Libatkan Sentuhan Fizikal Dijangka Meningkat - Bukit Aman