Berita Terkini

2 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Guru Tuisyen, Bukan Sekadar Mendidik

Karier Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 22 Jul 2021 2:06PM

Danial Hakim Mohammad Suhaimi - Gambar ihsan Danial Hakim

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Berbicara mengenai kerjaya sebagai guru tuisyen, pasti kita membayangkan peranan berat digalas golongan terbabit dalam menyampaikan ilmu sebaik mungkin kepada pelajar.

Menjadi guru tuisyen memerlukan individu mencari kaedah pengajaran dan pendekatan komunikasi berbeza dengan pendidikan di sekolah, memandangkan pelajar mengikuti kelas itu bagi membolehkan mereka lebih menguasai subjek serta mengatasi permasalahan topik dihadapi. 

Sama seperti peranan dibawa pendidik di sekolah, guru tuisyen perlu mendidik dan mengasuh pelajar yang memiliki 1001 ragam serta pemahaman berbeza bagi memastikan mereka berjaya dalam akademik, selain membentuk mereka menjadi insan lebih yakin untuk berjaya.

Maka, tidak hairanlah guru tuisyen turut digelar sebagai ibu bapa kedua pelajar dan diumpamakan seperti lilin yang sanggup membakar diri demi menerangi masa depan anak murid, malah dianggap tulang belakang kepada pembangunan serta kejayaan masyarakat.

Kepentingan profesion ini turut diakui seorang guru tuisyen, Danial Hakim Mohammad Suhaimi, 26 atau mesra dipanggil Sir Danny dalam kalangan pelajarnya yang menyifatkan golongan pendidik berkenaan adalah ‘orang kepercayaan’ dan harapan ibu bapa untuk memastikan anak mereka mampu menguasai pengajaran sebaiknya.

Bercerita mengenai langkah awalnya bergelar guru tuisyen, dia berkata, ketika di Tingkatan Lima, dia sering menjadi ‘guru muda’ kepada rakan-rakan di sekolah untuk menunjuk ajar dan membantu mereka untuk lebih menguasai mata pelajaran Matematik serta Matematik Tambahan.

“Selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2013, rakan-rakan minta pula saya mengajar adik mereka, jadi pengalaman dapat membantu menyelesaikan masalah dihadapi dalam subjek membuatkan saya semakin seronok mengajar dan merasa kemanisan di sebalik tanggungjawab diberikan.

“Walaupun diterima sebagai jurutera di sebuah syarikat ternama sebaik menggenggam pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan (Elektrik dan Elektronik) di Universiti Putra Malaysia (UPM), perasaan untuk mengajar itu sentiasa ada sehingga akhirnya saya memilih menjadi guru tuisyen sepenuh masa,” katanya kepada Getaran.

Danial Hakim berkata, segelintir pihak mungkin merasakan tindakan diambilnya adalah kerugian apabila menceburi kerjaya berlainan, berbanding apa yang dipelajari di  universiti,  tetapi keputusan berkenaan pada hakikatnya memberikan kepuasan tersendiri, apabila berupaya berkongsi ilmu dengan pelajar dan guru lain.

“Saya amat bersyukur apabila ibu bapa saya sangat menyokong pilihan ini dan tidak menunjukkan sebarang halangan, kerana bagi mereka apa yang penting adalah, minat dan kebaikan di sebalik kerjaya itu.

“Lagipun saya bukan jenis individu yang terkesan dengan kata-kata orang luar, malah saya akan buktikan kepada diri saya sendiri untuk menjadi lebih bagus hari ini daripada semalam menerusi cabaran baharu,” katanya.

Berkongsi keseronokan sebagai guru tuisyen yang mengajar Matematik, Matematik Tambahan, Bahasa Inggeris serta Fizik, Danial Hakim berkata perasaan itu timbul tatkala melihat pelajar mencapai kefahaman tinggi menerusi pengajarannya dan apabila dia mampu membantu mengubah prestasi mereka sehingga meraih keputusan membanggakan.

 Lebih membuatkan dia menarik nafas lega, katanya, apabila dapat memenuhi harapan ibu bapa pelajar yang meletakkan kepercayaan untuk dia membantu memperbaiki kelemahan akademik anak masing-masing, dan menyaksikan mereka tersenyum bangga ketika melihat keputusan diperoleh.

Ceritanya, antara pengalaman indah diperoleh sepanjang lebih lapan tahun bergelar guru tuisyen adalah apabila berjaya mencetuskan kesungguhan belajar dalam diri seorang pelajar yang sebelumnya tidak menunjukkan minat terhadap akademik, malah sering ponteng beberapa kelas tambahan lain.

“Seorang pelajar saya ni, Muhamad (bukan nama sebenar), mak dia ‘paksa’ dia untuk belajar, daftarkan macam-macam kelas tambahan termasuk kelas tuisyen saya dan masa awal dia masuk, dia tengok sahaja dari jauh tanpa bercakap atau memberi sebarang reaksi, tetapi saya mengambil inisiatif selalu berhubung dengannya serta berinteraksi.

“Saya berbincang dengan ibu bapanya mengenai kaedah perlu digunakan untuk meningkatkan prestasinya dan saya dimaklumkan bahawa kelas saya satu-satunya tuisyen dihadiri, justeru saya pujuk dia dengan kata-kata motivasi supaya turut menyertai kelas lain dan menghormati setiap guru demi kebaikan diri sendiri.

“Ketika keputusan peperiksaan SPM diumumkan, saya pergi ke sekolahnya kerana dia dan beberapa pelajar saya bersekolah di situ, apabila dapat sahaja keputusan, dia terus memeluk saya walaupun ibu bapanya turut ada bersama, dia tunjuk keputusan cemerlang diperolehnya, iaitu 8A serta ucap ‘terima kasih Sir Danny sebab selalu suruh saya belajar rajin-rajin, bantu saya kuasai subjek’ dan kata-kata itu buat saya terharu serta terlalu gembira,” katanya.

Daniel Hakim Mohammad Suhaimi
Daniel Hakim Mohammad Suhaimi

Diajukan persoalan mengenai kriteria perlu dimiliki individu untuk bergelar guru tuisyen, Danial Hakim berkata tanggungjawab itu menuntut kesabaran tinggi kerana setiap pelajar mempunyai tahap kesusahan dan kefahaman berbeza terhadap setiap mata pelajaran.

Individu juga perlu komited terhadap tugas dipikul kerana nilai ini akan membantu mereka lebih mengenali tahap penguasaan pelajar dan memudahkan mereka memberikan fokus terbaik bagi mengatasi masalah dialami.

Kerjaya itu juga, katanya, menuntut individu menunjukkan sikap penyayang ketika berkomunikasi bagi membolehkan pelajar merasa dekat, selesa dan tidak segan untuk berkongsi masalah pelajaran.

“Kriteria lain adalah menjadi peramah kerana adakala guru tuisyen ini apabila pelajar tidak faham, dia mula naik angin dan rasa nak marah. Saya tidak berapa suka pendekatan marah sebab akan menyebabkan pelajar lagi hilang minat, maka saya akan guna kaedah  menyelidik tahap pemahaman mereka, supaya fokus boleh diberikan kepada topik yang masih tidak dikuasai.

“Pada saya individu yang mahu bergelar guru tuisyen juga perlu dilengkapi ilmu, bukan sekadar menguasai dan hebat dalam silibus subjek diajar, tetapi mengetahui isu semasa supaya boleh menghubungkannya ketika pengajaran untuk mencipta suasana lebih seronok dan interaktif, sekali gus  memudahkan pelajar memahami teknik berkesan menjawab soalan ketika peperiksaan nanti,” katanya.

Ketika dikemukakan persoalan mengenai harapan dalam kerjaya tersebut, anak muda ini mempunyai impian untuk membantu sekurang-kurangnya satu juta pelajar sebaik mungkin menerusi kelas disediakannya demi kejayaan masa depan mereka.

“Bagi usaha mencapi sasaran ini juga, sekarang saya sudah membuka kelas tuisyen saya sendiri, iaitu ACADANNY menerusi akaun Instagram, @theacadanny yang membariskan guru komited untuk menawarkan tunjuk ajar secara maya susulan COVID-19.

“Selain dijalankan secara dalam talian dan menawarkan latihan serta pengisian ilmu bersesuaian keperluan pendidikan semasa, keistimewaan ACADANNY adalah pengendalian pengajaran dan pembelajaran (PdPR) dibuat secara langsung menerusi perbincangan di papan putih dengan komunikasi terus antara guru dan pelajar kami,” katanya.

Mengulas mengenai masa depan dan pelapis kerjaya guru tuisyen, Danial Hakim menganggap bidang itu menawarkan peluang luas kepada penggiatnya untuk mencipta pencapaian tersediri.

“Orang fikir bila kita mengajar je alahai cikgu sekolah, alahai cikgu tuisyen je tetapi sebenarnya kita tidak boleh menghakimi sesiapa daripada aspek itu kerana pada saya, skop kerjaya ini sangat meluas kerana apa juga perkongsian ilmu adalah proses pengajaran berterusan.

“Tidak kisah jika orang itu memilih kerjaya sebagai guru akaun walapun berkelulusan akauntan, kerana apa yang penting dia berkongsi ilmu bersesuaian.

“Saya juga berpendapat kerjaya ini memerlukan lebih ramai tenaga pengajar supaya kita dapat membantu generasi akan datang,” katanya. - Getaran, 22 Julai 2021

Sorotan

1

Pemain Badminton Negara Pamer Kekuatan Mental Menjelang Piasa Thomas, Uber

2

Pelajar Sekolah Meninggal Dunia Ketika Acara Larian Rentas Desa

3

Lelaki Israel Miliki Senjata: 10 Individu Ditahan Bawah SOSMA

4

PM, Kerajaan Enggan Terlibat Keputusan Lembaga Pengampunan Berhubung Kes Najib

5

AS Guna Veto Halang Usul Iktiraf Keahlian Palestin Dalam PBB

6

Jangan Abai Peruntukan Untuk Pembangunan Sukan - Hannah

Disyorkan untuk anda

Ekonomi 1 hari yang lalu

JS-SEZ, SFZ Mampu Pacu Ekonomi Johor Atasi Negeri Lain – PM