web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 5 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 7 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


Apakah Benar Orang Arab Purba Membela Anjing?

Penemuan tulang-tulang anjing purba di wilayah Al-Ula menimbulkan tanda tanya di kalangan ahli arkeologi Arab Saudi.

Jelajah Dikemaskini 5 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 01 Apr 2021 8:47AM

oleh

Zaidi Che

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Sepasukan ahli arkeologi di barat laut Arab Saudi telah menemukan bukti terawal tentang pembelaan anjing domestik oleh penduduk Arab purba di wilayah Al-Ula. 

Penemuan tergempar ini diperolehi dari salah satu projek tinjauan dan penggalian arkeologi berskala besar yang dijalankan oleh Suruhanjaya DiRaja Al-Ula (RCU). 

Mereka menemui tulang-temulang anjing purba tersebut di tapak pengebumian terawal di Arab Saudi dan dianggarkan sezaman dengan makam di utara wilayah Levant. 

Bukti menunjukkan penggunaan awal makam ini adalah pada sekitar 4300 SM dan sudah pun menjadi tapak pengebumian sejak era Neolitik-Kalkolitik. 

“Penemuan kami akan merevolusikan cara kita melihat zaman Neolitik di Timur Tengah,” kata Melissa Kennedy, Penolong Pengarah Arkeologi Kerajaan Arab Saudi (AAKSAU). 

Tulang-tulang anjing purba bertarikh sekitar 4000-4200 Sebelum Masihi
Tulang-tulang anjing purba bertarikh sekitar 4000-4200 Sebelum Masihi

Penemuan ini diterbitkan dalam 'Journal of Field Archeology' (Jurnal Lapangan Arkeologi). Pasukan itu melibatkan ahli-ahli arkeologi dari Arab Saudi dan juga antarabangsa. Mereka mengkaji dua buah tapak perkuburan abad ke-4 dan ke-5 Sebelum Masihi di Arab Saudi. 

Makam-makam berada di atas tanah, sesuatu yang unik dalam sejarah Arab. Pasukan mereka berjaya mengesan makam-makam itu dengan menggunakan imej satelit. Kemudiannya, melalui fotografi udara yang diambil dari helikopter. Kerja-kerja lapangan bermula pada akhir 2018. 

Di tanah tinggi gunung berapi inilah, 26 tulang seekor anjing purba, berserta tulang-temulang 11 manusia – enam dewasa, seorang remaja dan empat kanak-kanak – telah ditemui. 

Tinggalan tulang-tulang tersebut menunjukkan tanda-tanda artritis (radang sendi), yang mencadangkan haiwan itu telah hidup bersama manusia sehingga usia tuanya. Pun begitu, mereka perlu menentukan tulang-tulang itu adalah seekor anjing dan bukanlah seekor serigala. 

Ukiran batu yang menampilkan dua anjing memburu kambing gurun di zaman Arab purba
Ukiran batu yang menampilkan dua anjing memburu kambing gurun di zaman Arab purba

Mujur pakar zoologi di dalam pasukan tersebut, Laura Strolin mengesahkan ia memang tulang-tulang daripada seekor anjing dengan menganalisa satu tulang khusus daripada kaki kiri hadapan haiwan tersebut. 

Ia memiliki tulang selebar 21.0 mm dan berada dalam julat saiz anjing purba Timur Tengah. Sebagai perbandingan, serigala pada zaman itu dan kawasan sekitarnya mempunyai kelebaran antara 24.6 hingga 26mm untuk struktur tulang yang sama. 

Paling menakjubkan, pasukan mereka mengesahkan tulang anjing purba tersebut bertarikh sekitar 4000 hingga 4200 Sebelum Masihi.

Ukiran batu yang ditemui di wilayah ini juga memberi petunjuk bahawa penduduk purbanya sudah menggunakan perkhidmatan anjing ketika memburu kambing gurun, keldai liar serta haiwan-haiwan padang pasir lain. 

Loket karang mutiara yang ditemui di tapak perkuburan Al-Ula
Loket karang mutiara yang ditemui di tapak perkuburan Al-Ula

Pasukan arkeologi ini turut menemui artifak purba lain seperti loket karang mutiara di tanah tinggi gunung berapi dan manik-manik batu akik di lembah tanah yang gersang. 

Mereka menjangkakan lebih banyak penemuan pada masa hadapan berkat tinjauan besar-besaran dari udara dan atas lapangan, serta siri penggalian bersasar di wilayah Al-Ula ini. 

Rentetan penemuan ini membuatkan para penyelidik dan pasukan arkeologi mendapati Al-Ula sebagai kawasan tandus luas di dunia yang masih belum diterokai dan mempunyai warisan arkeologi yang kaya dengan nilai-nilai sejarah. 

Ia selari dengan komitmen RCU untuk menceritakan sejarah dan warisan wilayah Al-Ula kepada dunia, di samping mahu ‘mengubah’ Al-Ula sebagai muzium hidup terbesar di dunia, sejajar dengan objektif Wawasan 2030 Arab Saudi. 

“Penemuan di Al-Ula ini menjadi penanda aras. Terdapat banyak lagi yang bakal ditemui, sementara kami merungkai warisan arkeologi (Arab Saudi) yang kaya dan luas di kawasan ini,” akhiri Rebecca Foote, Pengarah Arkeologi dan Penyelidikan Warisan Budaya RCU. – Getaran, 1 April 2021 

Makam purba di tapak perkuburan Al-Ula
Makam purba di tapak perkuburan Al-Ula

Semua gambar: Royal Commission for Al-Ula

Berita Berkaitan

1

Budaya 1 minggu yang lalu

Serpihan Hospital Lama Kuah, Langkawi 'Bernafas' Semula Dalam Karya Seni 

2

Budaya 2 minggu yang lalu

Hidap SMA, Ainaa Buktikan Seni Tiada Batas

3

Budaya 2 minggu yang lalu

Langkawi Jadi Kanvas Terbuka Seni Kontemporari

4

Budaya 1 bulan yang lalu

'Rain Rave' Meriahkan KL Sempena Hari Pekerja, Perkukuh Pelancongan & Ekonomi Tempatan

Sorotan

1

Perlombongan Emas Haram: Kelantan Rampas 45 Jentera Pengorek

2

Harga RON97, RON95 Tanpa Subsidi Dan Diesel Turun Bagi Tempoh 4 Hingga 10 Jun

3

Pemandu GTI Didakwa Sebabkan Kematian Remaja

4

Pertemuan Aminuddin-Tuanku Muhriz Cetus Teka Teki Tarikh PRN Negeri Sembilan

5

Kereta Langgar Paip Air, 5 Sekeluarga Termasuk Bayi Maut

6

Nahas Simpang Renggam: Reman Pemandu Punca Kejadian Dilanjut Sehari Lagi