Nama Mira Filzah sekali lagi mencuri perhatian apabila pelakon dan ikon gaya hidup itu dilantik sebagai Duta Kempen rasmi OWNDAYS Malaysia, sekali gus menjadi wajah baharu jenama cermin mata dari Jepun tersebut.
Pelantikan itu hadir menerusi kempen OWN “your” DAYS yang mengetengahkan cermin mata bukan sekadar sebagai keperluan penglihatan, tetapi juga cerminan gaya dan identiti seseorang.

Bagi Mira, gaya bukan sesuatu yang boleh ditetapkan mengikut satu acuan kerana setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk penampilkan diri.
“Saya sentiasa percaya bahawa gaya adalah sesuatu yang bersifat peribadi. Apa yang saya gemari tentang OWNDAYS ialah pilihan gayanya yang sesuai untuk pelbagai situasi, sama ada ketika bekerja, meluangkan masa bersama keluarga mahupun menjalani rutin harian,” katanya.
Menurut Mira, pemilihan cermin mata yang tepat juga mampu memberikan rasa selesa dan keyakinan dalam menjalani rutin seharian.
“Apabila saya menemui sepasang cermin mata yang sesuai, saya menjadi diri sendiri, selesa dan yakin. Kempen ini juga amat dekat di hati saya kerana ia meraikan keunikan setiap individu serta mengingatkan kita untuk menjalani setiap hari mengikut cara dan identiti kita sendiri,” tambah Mira.

Sebagai wajah baharu OWNDAYS Malaysia, Mira akan menerajui pelbagai kempen jenama itu, selain berkongsi bagaimana cermin mata boleh menjadi aksesori yang melengkapkan penampilan serta mencerminkan personaliti pemakainya.
Pemilihan Mira juga dilihat selari dengan mesej kempen OWN “your” DAYS yang meraikan keperibadian diri, kebebasan berekspresi dan keyakinan untuk menjadi diri sendiri.
Bagi OWNDAYS, konsep itu diterjemahkan menerusi pelbagai pilihan cermin mata yang direka untuk semua lapisan masyarakta dengan gaya hidup berbeza.
Antara koleksi yang diketengahkan ialah OWNDAYS AIR yang ringan dan sesuai untuk pemakaian sepanjang hari, OWNDAYS SUN dengan perlindungan 100 peratus sinaran UV serta Graph Belle yang menampilkan rekaan feminin dan sofistikated.
Tidak hanya menawarkan pilihan bingkai, OWNDAYS turut menonjolkan kemudahan mendapatkan cermin mata baharu menerusi perkhidmatan pemprosesan pantas sekitar 20 minit, bergantung kepada jenis kanta, preskripsi dan ketersediaan produk.

Jenama yang diasaskan di Jepun pada 1989 itu mula bertapak di Malaysia pada 2015 dan kini terus mengembangkan rangkaiannya dengan menawarkan pilihan cermin mata yang menggabungkan reka bentuk, fungsi dan kemudahan.
Dengan Mira Filzah sebagai wajah kempen, OWN “your” DAYS mengajak pemakai cermin mata untuk melihat aksesori itu daripada perspektif berbeza, bukan sekadar membantu melihat dengan lebih jelas, tetapi turut menjadi sebahagian daripada cara seseorang menampilkan diri setiap hari. - Getaran, 30 Julai 2026
