Sukar untuk membuat keputusan sebulat suara! Maka Ruffedge memilih untuk mengikut cadangan panel penyiasat di pusingan awal.
Setelah gagal menyingkirkan penyamar bersuara sumbang, kumpulan vokal hip hop dan R&B ini tidak lagi percaya kepada kata-kata Fad Bocey dan Issey Fazlisham tetapi mereka tidak menyangka bahawa Alif Satar berjaya mengenakan mereka di pusingan akhir!
Program hiburan nombor satu di Malaysia, 'I Can See Your Voice Malaysia' Musim 4 (ICSYVMY4) yang diadaptasikan daripada program popular Korea Selatan sedang rancak bersiaran pada setiap hari Ahad, pukul 9.00 malam hingga 10.30 malam di TV3 dan juga strim live di www.tonton.com.my.
Episod 8 telah menampilkan Ruffedge sebagai artis jemputan. Persembahan pembukaan dengan medley 'Tipah Tertipu/Khayalan' betul-betul mengembalikan nostalgia dan menggamit perasaan para peminat setia kumpulan hip hop dan R&B ini.
Kali ini, Ruffedge dibantu oleh panel penyiasat tetap, Jihan Muse, Alif Satar dan Fad Bocey serta Datin Seri Umie Aida dan Issey Fazlisham sebagai penyiasat jemputan.
Penampilan keenam-enam penyanyi misteri membuatkan Ruffedge sukar untuk mengenal pasti siapakah penyamar di pusingan pertama.
"Jangan singkir!" tegah Datin Seri Umie Aida ketika Ruffedge mengikut cadangan daripada majoriti panel untuk memilih penyanyi misteri nombor satu di pusingan pertama. Ruffedge terkejut apabila Aalia Anuar ialah seorang anggota polis yang berkebolehan dalam menyanyi.
Walaupun posisi sekarang agak mencabar bagi Aalia, namun beliau boleh melakukannya kerana adanya sokongan daripada keluarga dan kawan-kawan.
Persembahan lip sync di pusingan kedua berjaya mengelirukan Ruffedge dan panel penyiasat. Sekali lagi, Ruffedge memilih untuk mengikut cadangan daripada penyiasat.
Kali ini, mereka mengambil pandangan Fad Bocey untuk memilih penyanyi misteri nombor 5 dan 6. Ruffedge rasa lega apabila penyanyi misteri nombor 5 yang disingkirkan itu ialah penyamar bersuara sumbang. Nik Mohd Rashdan yang berasal dari Kelantan membawakan lagu Alvin Chong, ‘Sayangku Salmah’ untuk persembahan.
Apabila kesemua penyiasat beranggapan penyanyi misteri nombor 6 adalah penyamar, Alif Satar yang pula tidak bersetuju. Semua meremang bulu roma mendengar suara penyanyi misteri nombor 6, termasuklah Ruffeddge yang turut memberikan standing ovation kepadanya apabila mempersembahkan lagu Lady Gaga ‘Is That Alright’.
"I don’t sing for fame, I sing because it makes me happy," Itulah kata-kata yang sentiasa membakar semangat Farah Yasmaine ataupun dikenali sebagai Sarah Malique meneruskan cita-citanya.
Datin Seri Umie Aida, Issey Fazlisham dan Alif Satar dipilih untuk mendengar suara sebenar tiga penyanyi misteri yang masih bertahan. Mereka juga perlu mempertahankan penyanyi misteri masing-masing.
Ruffedge yakin dengan kata-kata Alif Satar dan bersetuju bahawa peserta nombor 4 ialah penyanyi sebenar. Jadi, mereka hanya perlu membuat pilihan antara nombor 2 dan 3.
Akhirnya, pendapat Jihan yang mengatakan reaksi Datin Seri Umie Aida terlalu tenang dan tidak bersungguh-sungguh untuk berhujah telah diambil kira oleh Ruffedge untuk menyingkirkan penyanyi misteri nombor 3.
Dari awal rancangan lagi, penyanyi misteri nombor 3, Kesavan A/L Arumugam berjaya mencuri tumpuan Ruffedge dan para penyiasat. Mereka rasakan beliau mempunyai aura sebagai seorang penyanyi R&B.
Beliau memilih lagu 'Sumandak' sebagai persembahan dan terbongkarlah identiti sebenarnya sebagai seorang penyamar. Lebih sayu apabila Kesavan menyatakan bahawa dia adalah peminat tegar program 'I Can See Your Voice Malaysia' dari musim pertama dan berkongsi tujuan menyertai program ini.
Bermula dari episod pertama, Kesavan menonton program ini bersama mendiang bapanya tetapi bapanya meninggal dunia sebelum rakaman diadakan.
Pernah terfikir untuk undur diri tetapi beliau tahu bapanya pasti mahukan Kesavan meneruskan rakaman tersebut. Ruffedge dan famili ICSYVMY memberi kata-kata semangat dan penghargaan kerana Kesavan berjaya memberikan persembahan terbaik di pentas impiannya.
Antara penyanyi misteri nombor 2 dan 4, Ruffedge memilih untuk mengikut kata-kata Alif Satar kerana mereka sudah tidak yakin dengan Issey. Tambahan lagi, majoriti ahli panel memilih penyanyi misteri nombor 4 sebagai pasangan duet Ruffedge.
Ruffedge terpukul dengan identiti sebenar penyanyi misteri nombor 2, Muhammad Asyraf Farhan, 27 tahun yang berasal dari Melaka adalah seorang penyanyi yang mempunyai suara gemersik ketika mempersembahkan lagu Flybaits yang bertajuk ‘Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta’.
Walaupun pelbagai cabaran pernah dilalui, dia percaya rezeki itu sentiasa ada untuk keluarga. Kadang-kadang terkilan mungkin paras rupa selalu dipandang darjatnya tanpa nilai bakat yang terpendam, tetapi beliau percaya semua itu adalah rezeki dari Allah SWT dan beliau akan terus kekal berjuang.
Ruffedge memilih lagu ‘Bila Rindu’ untuk berduet dengan Mohd Firdaus. Tibalah saat yang paling mendebarkan untuk mengetahui adakah pilihan Ruffedge adalah tepat? Adakah Mohd Firdaus seorang juru tari ataupun pelakon lagak ngeri? Adakah persembahan lip sync betul-betul menyakinkan?
Sayangnya, Ruffedge ‘tertipu’ dengan Alif Satar kerana Mohd Firdaus adalah seorang penyamar bersuara sumbang. Mohd Firdaus juga berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000.
Jangan ketinggalan untuk menonton 'I Can See Your Voice Malaysia' Musim 4 (ICSYVMY4) pada setiap hari Ahad, 9.00 malam di TV3. Episod seterusnya akan menampilkan Azlan Typewriter sebagai artis jemputan manakala Datuk Rosyam Nor dan Didie Alias sebagai penyiasat jemputan. - Getaran, 8 Julai 2021
