Berita Terkini

1 jam yang lalu: 8 maut, 10 cedera serangan di Baitulmaqdis Timur 1 jam yang lalu: Ringgit dijangka teruskan aliran meningkat pada minggu depan 1 jam yang lalu: Menteri Luar Turkiye, Ketua OIC bincang serangan berulang terhadap al-Quran 1 jam yang lalu: 8 termasuk 4 pegawai kanan polis ditahan bantu siasatan kes di Tawau 2 jam yang lalu: Banjir di Johor: Jumlah mangsa meningkat kepada 3,480 orang setakat 8 pagi ini - JPBN

IKUTI KAMI


Sektor Penerbangan Catat Kemajuan Selepas Negara Tarik Balik Sekatan Sempadan Pada 2022

Ekonomi Dikemaskini 1 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 11 Dec 2022 11:53AM

Gambar hiasan

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Industri penerbangan Malaysia mencatatkan kemajuan yang baik pada 2022 berikutan pemulihan pascapandemik yang ditunggu-tunggu secara beransur-ansur memperlihatkan kesannya dengan penggiat industri sibuk meningkatkan aktiviti mereka untuk setara dengan paras sebelum pandemik.

Pembukaan semula sempadan antarabangsa sepenuhnya pada April selepas ditutup selama dua tahun menjadi batu loncatan kepada momentum pertumbuhan yang lebih baik.

Kadar vaksinasi yang tinggi dan penurunan jumlah kes COVID-19 baharu menjadi pendorong utama.

Momentum itu terus disokong oleh keperluan perjalanan yang dilonggarkan, terutamanya dengan memansuhkan ujian wajib COVID-19 dan penggunaan pelitup muka walaupun sebahagian negara masih melaksanakan langkah ini.

Pembukaan Semula Sempadan

Malaysia membuka semula sempadannya kepada pengembara yang telah lengkap vaksinasi pada April 2022. Berita itu, yang diumumkan pada 8 Mac, disambut baik oleh industri dengan kekerapan penerbangan yang meningkat, promosi tambang penerbangan, siri pengambilan pekerja dan pengembangan rangkaian yang pelbagai. Terdapat juga banyak pusingan perbincangan dengan pihak berkuasa.

Dalam tempoh sebulan selepas pembukaan semula, pergerakan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) meningkat sebanyak 1,088.2 peratus tahun ke tahun kepada 1.98 juta penumpang, terdiri daripada 898,000 penumpang antarabangsa dan 1.08 juta penumpang domestik.

Menurut pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), sejumlah 55 daripada 89, atau 62 peratus daripada syarikat penerbangan asing menyambung semula operasi di semua lima lapangan terbang antarabangsa di Malaysia sehingga 15 September.

Langkah menyambung semula operasi yang aktif oleh syarikat penerbangan asing di laluan antarabangsa menyumbang kepada pergerakan penumpang yang menggalakkan, mencatatkan peningkatan lebih enam kali ganda di seluruh rangkaian MAHB di Malaysia pada separuh pertama 2022 berbanding tempoh sama pada 2021.

Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia menyambung semula 45 laluan dan menambah tiga laluan baharu - Pulau Pinang-Bali, Pulau Pinang-Phnom Penh dan Sibu-Singapura - manakala syarikat gabungannya AirAsia X melaksanakan semula 10 laluan. Faktor muatan penumpang kumpulan itu pada masa ini sebanyak 86 peratus daripada paras sebelum COVID.

Syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines Bhd (MAB) meningkatkan kekerapan ke London, Bangkok dan Phuket di Thailand serta Sydney dan Perth di Australia selain memulihkan perkhidmatan komersial berjadual ke New Delhi, Bangalore, Mumbai, Chennai dan Hyderabad di India.

Sehingga 10 November, faktor muatan MAB sebanyak 76 peratus daripada paras sebelum COVID-19 dan akan mencecah 82 peratus pada akhir tahun.

Trafik Penumpang Tinggi

Perjalanan udara menyaksikan pemulihan yang kukuh pada separuh pertama 2022 dengan trafik penumpang meningkat daripada purata 2.90 juta dalam tempoh Januari-April 2022 kepada purata 4.79 juta dalam tempoh Mei-Jun 2022, hanya dua bulan.

Menurut MAHB baru-baru ini, trafik penumpang di rangkaian lapangan terbangnya, termasuk aset milik penuh di Turki, Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul, meningkat dengan baik kepada 8.3 juta penumpang pada Oktober 2022, mencecah 71.1 peratus daripada paras pada Oktober 2019.

Daripada jumlah tersebut, trafik Malaysia menyumbang 5.48 juta atau 65 peratus penumpang pada Oktober 2022, didorong oleh kelonggaran yang progresif untuk protokol perjalanan di rantau ini dan disokong oleh kekerapan tambahan oleh syarikat penerbangan dan pengenalan laluan baharu.

Secara keseluruhannya, kumpulan itu mencatatkan 40.67 juta pergerakan penumpang dalam rangkaiannya di seluruh negara dalam tempoh 10 bulan pertama 2022, dengan KLIA  menyumbang sejumlah 18.82 juta penumpang.

Permintaan yang meningkat untuk perjalanan udara di Malaysia dan Asia Pasifik menyumbang kepada aliran meningkat dalam permohonan Hak Trafik Udara (ATR), kata Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) Datuk Seri Saripuddin Kasim.

Suruhanjaya itu menerima sejumlah 38 permohonan ATR pada suku ketiga, meningkat 18.8 peratus berbanding suku tahun sebelumnya dan lonjakan yang ketara sebanyak 81 peratus berbanding tahun lepas.

Sebahagian besar permohonan ATR ialah untuk destinasi di Asia Pasifik dengan 11 permohonan untuk laluan ASEAN, sembilan untuk Asia yang lebih luas dan empat untuk destinasi Australasia.

“Kami optimis industri penerbangan negara akan terus mencapai pemulihan yang progresif,” katanya pada 8 November.

Kualiti Berbanding Kuantiti

Lonjakan mendadak untuk permintaan perjalanan udara menyebabkan gangguan di Malaysia dan di tempat lain berikutan syarikat penerbangan tidak dapat memenuhi permintaan disebabkan masalah dalam perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih serta kekurangan kakitangan yang amat serius.

Sehubungan itu, penumpang terpaksa berdepan dengan antara lainnya, pembatalan penerbangan dan penjadualan semula, kesesakan di lapangan terbang dan kelewatan bagasi.

Sepanjang separuh pertama 2022, sebanyak 1,251 aduan telah dilaporkan kepada MAVCOM dengan 99.1 peratus (1,240) daripadanya adalah berkaitan syarikat penerbangan dan 0.9 peratus (11) pula membabitkan lapangan terbang.

Penjadualan semula penerbangan, pembatalan penerbangan serta tempahan dalam talian secara kolektif menyumbang kepada 46.1 peratus (577) daripada jumlah aduan yang diterima.

Sebagai usaha untuk menambah jumlah pesawat, syarikat induk AirAsia, Capital A Bhd mempertimbangkan operasi melibatkan 300 pesawat dalam tempoh lima tahun akan datang daripada 205 pesawat pada masa ini.

Syarikat penerbangan itu berhasrat untuk meneruskan penghantaran 362 unit Airbus 321neo mulai 2024.

Bagi MAB pula, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan itu Kapten Izham Ismail dilaporkan berkata syarikat penerbangan tersebut mempertimbangkan untuk menambah dua kali ganda jumlah pesawat Boeing 737 MAX kepada 50 sebagai tambahan kepada 25 tempahan sedia ada.

Beliau berkata MAB mempunyai ruang untuk 25 lagi pesawat berbadan sempit berikutan pelan pembangunan pesawat jangka panjang kumpulan yang menjangkakan operasi melibatkan sekurang-kurangnya 50 pesawat berbadan sempit menjelang 2030.

Kehadiran Peserta Baharu Industri

Industri penerbangan tempatan turut mengalu-alukan kehadiran dua syarikat penerbangan baharu, MyAirline Sdn Bhd dan SKS Airways Sdn Bhd selepas pandemik.

MAVCOM memberikan lesen perkhidmatan udara permulaan kepada MyAirline sekali gus membolehkan syarikat penerbangan tambang rendah itu untuk beroperasi sebagai syarikat penerbangan penuh di negara ini selama 12 bulan sehingga 14 November 2023.

MyAirline memulakan penerbangan sulungnya dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) bermula 1 Disember menggunakan pesawat Airbus A320-200. Ia bercadang membeli 50 pesawat dalam masa lima tahun akan datang.

Satu lagi syarikat penerbangan komersial terkini adalah SKS Airways yang memulakan penerbangan pertamanya ke Pulau Pangkor pada 25 Januari menerusi pesawat turboprop DHC6-300 Twin Otter. Ia akan menumpukan kepada penerbangan domestik jarak dekat ke destinasi bertempat di pulau untuk menghubungkan Malaysia dan di luar, dalam ASEAN dan selatan China.

Sementara itu, Malindo Air telah melaksanakan penjenamaan semula dan kini dikenali sebagai Batik Air.

Penarafan Kategori 1 Diterima Kembali

Pengembalian penarafan Penilaian Keselamatan Penerbangan Antarabangsa (IASA) kepada Kategori 1 oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat (AS) pada 1 Oktober telah menjadi satu rangsangan kepada Malaysia.

Penafaran itu yang diterima kembali selepas tiga tahun FAA menurunkan kedudukan Malaysia kepada Kategori 2 pada 2019 akan mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab penerbangan serta sebagai peluang kepada syarikat penerbangan tempatan untuk mencapai rangkaian destinasi global lebih luas terutamanya di AS.

Pengarah Urusan MAHB Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata pelbagai perkembangan positif berkenaan setakat ini sungguh membanggakan memandangkan ia berlaku ketika industri penerbangan negara berusaha menangani kesan selepas pandemik.

“Pengembalian penarafan itu akan meningkatkan keyakinan global terhadap kualiti perkhidmatan navigasi udara kita.

“Dari perspektif lapangan terbang, ia akan membantu usaha pemasaran kami untuk menarik lebih banyak syarikat penerbangan beroperasi di Malaysia, justeru meningkatkan kesalinghubungan rangkaian dan potensi hab negara ini,” katanya.

Dalam usaha untuk memperkasakan industri pelancongan negara, MAHB dan AirAsia saling bersetuju untuk menyelesaikan pertikaian undang-undang mereka secara baik.

Apakah Yang Diharapkan Pada 2023?

Berdasarkan momentum pemulihan trafik penumpang dijangka berterusan sehingga tahun baharu, terdapat jangkaan kepada tambang lebih murah, pengenalan kepada laluan baharu dan aktiviti pemasaran yang meluas dalam kalangan syarikat penerbangan.

Bagi melindungi penumpang serta hak mereka, MAVCOM telah mencadangkan pindaan kepada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) termasuk perlindungan berkaitan bayaran balik, hak-hak penumpang, pas perjalanan serta penerbangan dibatalkan yang dikeluarkan daripada sistem tempahan syarikat penerbangan.

Sejak MACPC dikuatkuasakan pada 2016, syarikat penerbangan dikehendaki membayar balik kepada pengembara bagi penerbangan yang dibatalkan atau sekiranya perubahan penerbangan adalah ketara. Bagaimanapun, kaedah pembayaran balik - sama ada dalam bentuk kredit atau baucar perjalanan - adalah berbeza, bergantung kepada syarikat penerbangan.

Dalam kertas rundingan yang dikeluarkan pada 19 Oktober, MAVCOM turut menyarankan syarikat penerbangan untuk menawarkan bayaran balik dengan kaedah pembayaran asal sekiranya tidak dapat melaksanakan perkhidmatan seperti dijanjikan jika berlaku krisis kewangan seperti langkah penstrukturan semula hutang, pembubaran atau isu pelesenan.

MAVCOM menyasarkan pelaksanaan MACPC yang telah ditambah baik pada suku pertama 2023. - Bernama

Berita Berkaitan

1

Jelajah 1 minggu yang lalu

MyAirline Lancar Destinasi Penerbangan Kedua Di Sarawak

2

Selebriti 4 minggu yang lalu

Rangkuman 15 Kisah Hiburan Paling Hangat Sepanjang Tahun 2022

3

Semasa 4 minggu yang lalu

Kes Najib, Rosmah Terus Curi Tumpuan Pada 2022

4

Semasa 1 bulan yang lalu

Batik Air Kesal Kelewatan Penerbangan, Beri Baucar Percuma Khas Penumpang Terjejas

Sorotan

1

‘Saya Rela Dipecat Kerana Tak Mahu Bersekongkol Dengan Pemimpin Menguburkan UMNO’ - Noh

2

Dipecat Keahlian UMNO: ‘Saya Tak Kecewa…’ - Khairy

3

Penipuan Pekerjaan: Kemboja Mohon Maklumat Disalur Melalui PDRM, Kedutaan

Disyorkan untuk anda

Ekonomi 2 jam yang lalu

AirAsia X Mencatat Sejumlah 417,195 Penumpang Yang Diterbangkan Pada Tahun Kewangan 2022