web statsweb stats

Berita Terkini

14 jam yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 14 jam yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Inflasi Negara Masih Rekod Trend Peningkatan, Catat Kenaikan Kepada 4.7 Peratus

Ekonomi Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 23 Sep 2022 6:16PM

Terdapat beberapa barangan makanan mencatatkan penurunan harga, berbanding Julai 2022, seperti ayam, ikan siakap dan sayuran, iaitu timun, kacang bunci serta kubis bulat - Gambar Fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Kadar inflasi Malaysia masih menunjukkan trend peningkatan apabila merekodkan 4.7 peratus pada Ogos, berbanding 4.4 peratus pada Julai lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perkara itu berlaku susulan fenomena global yang turut dialami kebanyakan negara, disebabkan kenaikan input pengeluaran dan harga bahan api.

Katanya, kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol turut meningkat sebanyak 7.2 peratus akibat didorong komponen makanan di luar serta di dalam rumah yang mengalami kenaikan, masing-masing sebanyak 8.4 peratus dan 6.4 peratus.

“Namun, masih terdapat beberapa barangan makanan mencatatkan penurunan harga, berbanding Julai 2022, seperti ayam pada kadar -3.8 peratus, ikan siakap (-2.4 peratus) dan sayuran, iaitu timun (-4.6 peratus), kacang buncis (-3.6 peratus) serta kubis bulat (-2.6 peratus).

“Kadar inflasi Malaysia adalah antara paling rendah di dunia. Inflasi pada Ogos 2022 di zon Euro adalah sebanyak 9.1 peratus, Amerika Syarikat (8.3 peratus), Thailand (7.9 peratus), Filipina (6.3 peratus) dan Korea Selatan (5.7 peratus).

“Kadar inflasi lebih rendah di Malaysia adalah hasil daripada langkah kerajaan Keluarga Malaysia untuk menyediakan subsidi terbesar dalam sejarah negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mustapa berkata, bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, kadar inflasi negara meningkat 3.1 peratus.

“Perkara itu masih selari dengan jangkaan pasaran untuk kadar inflasi sebanyak 3.2 peratus bagi 2022.

“Ia didorong permintaan dalam negeri yang kukuh, harga komoditi masih berada pada tahap tinggi dan gangguan rantaian bekalan global,” katanya.

Sementara itu, Mustapa menjelaskan kerajaan akan memberi tumpuan kepada memperkukuh sekuriti makanan negara dengan melaksanakan kajian terperinci bersama pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.

“Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan melaksanakan kajian untuk mengenal pasti langkah ‘quick wins’ (program percepatan) dalam menangani isu dan cabaran sekuriti makanan negara. Kajian ini dijangka selesai dalam masa tiga bulan akan datang,” katanya.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi sudah melaksanakan pelbagai inisiatif demi membendung inflasi dan memastikan rakyat tidak terlalu terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.

Beliau berkata, antara langkah diambil ketika ini, termasuk meneruskan kawalan harga ayam dan telur ayam serta pemberian subsidi penternakan yang dianggarkan RM1.1 billion.

“Kerajaan juga meneruskan kawalan harga minyak masak sawit tulen kemasan botol satu, dua, tiga dan lima kilogram secara harga siling bergerak berdasarkan harga minyak sawit mentah dunia.

“Pada masa sama, kerajaan meneruskan kawalan harga bagi komoditi, seperti beras dan gula putih bertapis, walaupun harga komoditi itu serta harga gas asli adalah antara faktor kos utama dalam input pengeluaran meningkat,” katanya.

Jelasnya, kerajaan juga meneruskan pemberian subsidi bahan api dan tenaga kepada produk petroleum, iaitu RON95, diesel serta gas cecair asli dengan jumlah subsidi melebihi RM31 bilion. 

“Kerajaan turut memberi subsidi tarif elektrik sebanyak RM5.8 bilion bagi mengawal kenaikannya walaupun harga bahan api dan gas dunia meningkat.

“Meneruskan subsidi minyak masak peket satu kilogram pada kadar RM2.50, berbanding harga sebenar satu kilogram sebanyak RM7 hingga RM9 serta memperluaskan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) kepada semua Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Sebanyak 512 Dewan Undangan Negeri (DUN) atau 80.1 peratus daripada 639 DUN memulakan PJMKM sejak pertengahan Ogos 2022. Keluarga Malaysia boleh mendapatkan barangan sehingga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran setempat. Harga murah ini adalah manfaat secara langsung subsidi harga membabitkan peruntukan RM100 juta,” katanya.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, kenaikan inflasi bagi Ogos 2022 menyederhanakan kepada 0.2 peratus berbanding 0.4 peratus pada Julai lalu. - Getaran, 23 September 2022

Sorotan

1

Diperdaya Sindiket Kerja Sambilan Dalam Talian, Suri Rumah Rugi Hampir RM100,000

2

Puteri Thailand Mangkat Selepas Komplikasi Kesihatan Berpanjangan

3

Mengapa Ramai Rasa Letih Walaupun Cukup Tidur? Jadual Tidur Mungkin Bukan Jawapan

4

PAS Sahkan Pertemuan Dengan RESET Dan Hamzah, Butiran Lanjut Diumum Esok 

5

PRN Johor 11 Julai, PRN Negeri Sembilan 1 Ogos - SPR

6

Tuanku Muhriz Masih Yamtuan Besar Negeri Sembilan Yang Sah - KJ