Berita Terkini

44 minit yang lalu: Bursa Malaysia dan anak syarikatnya akan ditutup esok sempena cuti umum sambutan Maulidur Rasul 2021 1 jam yang lalu: 5,434 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini - KP Kesihatan 2 jam yang lalu: Polis Melaka dan MKN laksana kempen patuhi SOP sempena sesi persekolahan hari ini 2 jam yang lalu: Terengganu sasar kutipan zakat RM180 juta tahun ini 2 jam yang lalu: 14 projek komuniti rendah karbon terima geran RM168,000

IKUTI KAMI


TricValve, Opsyen Untuk Rawatan Kebocoran Injap Jantung

Berita Dikemaskini 3 minggu yang lalu · Diterbitkan pada 24 Sep 2021 11:14AM

IJN mencatatkan sejarah apabila menjadi hospital pertama di Asia yang berjaya menjalankan rawatan baharu menggunakan sistem TricValve Transcatheter Bicaval Valves (bioprostesis), baru-baru ini. - Gambar dari Facebook IJN

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Jika anda atau orang kesayangan anda mengalami gejala, antaranya keletihan, kemerosotan keupayaan bersenam dan bengkak abdomen, sebaiknya berjumpalah pakar jantung kerana anda mungkin mengalami masalah kebocoran injap jantung.

Kebocoran injap jantung atau regurgitasi trikuspid (TR) dalam istilah perubatan, agak biasa ditemukan dalam kalangan ahli masyarakat, namun menurut pakar, seringkali masalah itu lambat dikesan dan pesakit hanya datang berjumpa doktor selepas gejala yang dialami semakin parah, menandakan keadaan masalah juga adalah teruk.

TR berlaku apabila katup trikuspid tidak menutup dengan rapat. Keadaan ini menyebabkan darah mengalir ke belakang memasuki atrium (kebuk atas kanan jantung) apabila ventrikel (kebuk bawah kanan jantung) menguncup, dan bagi keadaan yang lebih teruk, darah memasuki vena kava superior dan inferior. Vena kava merupakan pembuluh darah terbesar (pembuluh agung) dalam tubuh manusia dan berperanan membawa darah yang rendah kandungan oksigen ke jantung.  

Justeru, jika tidak dirawat, TR boleh membawa kepada kegagalan jantung. Namun tidak perlu khuatir, kerana terdapat pelbagai pilihan rawatan bagi masalah itu, dan menurut Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN) Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim, ada pesakit dengan simptom ringan dirawat hanya dengan ubat-ubatan bagi mengeluarkan cecair dan meredakan gejala yang disebabkan kesesakan. 

Dr Aizai Azan yang juga Perunding Kanan Kardiologi, berkata pada masa ini, dianggarkan terdapat  100,000 hingga 150,000 pesakit TR di Malaysia yang memerlukan rawatan.

Kebanyakan pesakit yang mendapatkan rawatan di Unit Kegagalan Jantung dan Pemindahan Jantung IJN didiagnosis dengan masalah itu selepas menjalani ujian ekokardiogram, katanya.

“Bagaimanapun, ramai pesakit yang datang ke sini sudah berada pada peringkat teruk, menyebabkan mereka berisiko tinggi bagi pembedahan jantung terbuka. Justeru, pakar di IJN memilih opsyen rawatan yang lebih inovatif dan invasif minimum bagi pesakit yang dianggap terlalu berisiko untuk pembedahan jantung terbuka atau anuloplasti atau pengklipan,” katanya kepada Bernama.

Dr Aizai Azan said IJN menangani keperluan itu dengan menyediakan opsyen yang lebih selamat.

Baru-baru ini, pusat rawatan jantung negara itu mengumumkan ia mencatatkan satu lagi pencapaian bersejarah, iaitu sebagai hospital pertama di Asia yang berjaya menjalankan rawatan baharu menggunakan sistem TricValve Transcatheter Bicaval Valves (bioprostesis). 

Dr Aizai Azan berkata rawatan itu dijangka menerima perakuan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) dalam masa terdekat, menyusuli kelulusan Kesatuan Eropah - CE -yang diperoleh pada Mei 2021.

Prosedur invasif minimum itu melibatkan pengimplanan bioprostesis dry-stent valve pada vena kava superior dan inferior.   

“Sistem TricValve ini dibangunkan khusus untuk pesakit dengan TR yang teruk, terutama gejalanya tidak lagi boleh diuruskan dengan rawatan lain serta berisiko tinggi sekiranya menjalani pembedahan,” katanya.

Prosedur itu dilakukan oleh IJN buat pertama kali pada 6 Mei lepas.

“Pesakit wanita berusia 67 tahun tersebut kini bertambah sihat dan mampu melakukan lebih banyak aktiviti biasa berbanding sebelum dia dirujuk untuk rawatan selepas didiagnosis mengalami TR,” katanya.

Dr Aizai Azan turut melahirkan penghargaan kepada pasukan IJN yang sentiasa mencari kaedah rawatan terbaharu dan inovatif yang pada akhirnya akan memberi manfaat kepada orang ramai dan negara. 

“Kejayaan IJN adalah disebabkan kesediaan warga kerja kami untuk terus belajar dan meneroka rawatan inovatif baharu yang dapat meningkatkan kualiti hidup pesakit kami, selain berusaha hingga melangkaui had agar dapat merawat lebih ramai pesakit yang dianggap tidak sesuai untuk pembedahan.

“Hari ini, IJN dikenali sebagai antara pusat perubatan bagi penjagaan kardiovaskular dan torasik terbaik di Malaysia dan juga rantau ini. IJN sentiasa mengikuti perkembangan perubatan yang terkini, menangani pelbagai masalah jantung, dari pembedahan jantung berlubang hinggalah ke pemindahan paru-paru. 

“Menerusi komitmen yang tinggi untuk menjadi pusat kecemerlangan penjagaan jantung global, IJN mencipta banyak kejayaan sebagai ‘yang pertama’  dalam  penjagaan kardiovaskular dan torasik di negara ini, termasuklah inovasi sistem TricValve,” katanya.   

Dr Azmee Mohd Ghazi
Dr Azmee Mohd Ghazi

Sementara itu, Pengarah Klinikal IJN bagi Kegagalan Jantung & Pemindahan Jantung Datuk Dr Azmee Mohd Ghazi berkata tidak semua pesakit mampu mengharungi risiko pembedahan, atau mungkin mempunyai masalah lain yang menyebabkan mereka tidak sesuai untuk prosedur tertentu.

“Sebagai contoh, opsyen pembedahan lazim bagi TR ialah anuloplasti iaitu prosedur yang mengetatkan anulus (bahagian berbentuk seperti cincin) pada injap di dalam jantung. Bagaimanapun, pesakit dengan anulus trikuspid mengembang teruk atau memakai perentak jantung atau lain-lain masalah yang tersembunyi, mereka tidak sesuai menjalani prosedur sedemikian. 

“Jadi untuk kes-kes begini, adalah penting bagi kami menawarkan rawatan inovatif dan invasif minimum baharu seperti TricValve untuk membantu lebih banyak pesakit mengurangkan gejala yang dialami dan seterusnya meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya. 

Dr Azmee juga berkata sistem itu juga menawarkan tempoh pulih yang lebih cepat bagi pesakit TR bergejala teruk. 

“Selain itu, prosedur ini juga hanya mengambil masa sekitar 30 minit, iaitu jauh lebih singkat berbanding anuloplasti yang biasanya berlangsung selama kira-kira lima jam.

 “Tidak perlu risau tentang keberkesanan rawatan kerana TricValve Transcatheter Bicaval Valves System adalah lain daripada yang lain. Rawatan ini menerima kelulusan Kesatuan Eropah, CE, pada Mei 2021,” jelas beliau.

Mengenai pemilihan pesakit untuk rawatan itu, Dr Azmee berkata saringan harus dilakukan secara menyeluruh, kerana secara teknikal, keutamaan hanya diberikan kepada pesakit bergejala yang tidak cukup stabil untuk pembedahan konvensional.

Mengenai impak  TricValve ke atas sektor pelancongan perubatan Malaysia, beliau berkata lebih banyak pesakit antarabangsa dijangka mendapatkan rawatan di negara ini apabila sempadan antarabangsa dibuka semula selepas pandemik COVID-19 menunjukkan pemulihan yang ketara.

Dr Shaiful Azmi Yahaya
Dr Shaiful Azmi Yahaya

Ketua Jabatan Kardiologi IJN Dr Shaiful Azmi Yahaya turut bersetuju dengan pandangan Dr Azmee, kerana IJN merupakan pusat perubatan pertama di Asia yang melakukan prosedur tersebut.

Semasa  IJN menjadi pusat perubatan pertama di Asia yang melakukan Transcatheter Aortic Valve Implantations (TAVI) pada 2009, ramai pesakit dari Indonesia, Pakistan dan Vietnam datang ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan, katanya. - Bernama

Sorotan

1

KJ Perlu Henti Buli Rakyat - NUBE

2

Bahan Kisar Siap Sedia Mudahkan Tugas Suri Rumah

3

3 Pelajar Antara 18 Ditahan Terlibat Parti Liar Di Melaka

4

Idea Baharu: Transformasi La Juiceria Kepada 'Superfood' Dipacu Grab

Disyorkan untuk anda

Semasa 21 jam yang lalu

Awasi Iklan Palsu Kementerian Perpaduan Negara

oleh Mastura Malak

Semasa 20 jam yang lalu

Didakwa Pakai Tangkal, Khairy Sinis Bidas Anti Vaksin

oleh Susan Albert

Brunei 19 jam yang lalu

Luanloko Komited Libatkan Diri Dalam Seni Dan Peniagaan

Selain menumpukan bakatnya bermuzik, Luanloko juga amat komited dalam menjalankan perniagaannya, The Jazzy’s Burger. Mari kenali 'rapper' Brunei ini.

oleh Normazlina M.D.

Semasa 1 hari yang lalu

Tak Perlu Permohonan EnterSarawak Mulai Isnin 

oleh Rosli Amit