Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Coretan Sarjana Dari Kota Istanbul : Bahagian 2

Ikuti bahagian kedua tulisan penyumbang kami tentang pengalamannya menjadi pelajar sarjana di Istanbul, Turki. Kali ini mengisahkan kepayahannya menguasai bahasa asing demi menimba ilmu di menara gading di sana.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 18 Jul 2021 9:21AM

Pintu gerbang Universiti Istanbul

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Apabila kita membicarakan soal belajar di luar negara boleh dikatakan kebanyakan rakyat Malaysia akan sentiasa meromantiskan pengajian di luar negara. Semuanya berbunga-bunga, namun tidak ramai yang tahu banyak liku-liku yang perlu ditempuhi apabila mengikuti pengajian di negara asing.

Tidak semuanya indah apabila di negara orang, tetapi tidak boleh dinafikan banyak benda yang boleh dipelajari dan ia menjangkaui batasan bilik darjah dan lebih menjurus kepada menimba pengalaman kehidupan. 

Penulis siap berbaju kurung berdiri di hadapan pintu gerbang Universiti Istanbul
Penulis siap berbaju kurung berdiri di hadapan pintu gerbang Universiti Istanbul

Untuk pengetahuan semua, saya merupakan graduan ijazah sarjana dalam bidang kemanusiaan dengan pengkhususan dalam subjek kewartawanan daripada Universiti Istanbul.

Universiti Istanbul merupakan institusi pengajian yang pertama di Turki, sekali gus menjadikan ia pusat pengajian tinggi tertua di negara republik ini. Tahun ini universiti telah menjangkau usia 568 tahun sejak dibuka oleh Fatih Sultan Mehmet, figura yang terkenal dengan jasa beliau menawan dan membuka kota Istanbul.

Maka bermulalah perjalanan saya sebagai seorang pelajar di kota penuh sejarah. Setiap pemegang biasiswa kerajaan Turki perlu mengikuti pengajian bahasa Turki selama lapan bulan. 

Pengajian bahasa Turki ini agak intensif kerana setiap pelajar perlu mengikutinya lima jam setiap hari dan lima hari seminggu. Kerajaan Turki telah menetapkan syarat yang mewajibkan setiap pelajar tajaan untuk melepasi tahap pengajian bahasa Turki sehingga tahap kemampuan bahasa C1 berdasarkan Rangka Kerja Bahasa Eropah (CEFR).

Jika anda kurang jelas dengan tahap CEFR, terdapat enam tahap kemampuan bahasa dalam rangka kerja ini yang terdiri daripada tahap A1, A2, B1, B2 dan tahap C1 adalah tahap kedua tertinggi yang menandakan kemampuan seseorang berbahasa dengan lancar. 

Kembali kepada cerita saya mempelajari Bahasa Turki. Mempelajari Bahasa Turki agak sukar untuk saya pada mulanya, kerana saya tidak pernah sama sekali mendengar pertuturan Bahasa Turki dan seperti orang lain saya pada mulanya menyangka yang Bahasa Inggeris digunakan secara meluas di negara ini.

Mempelajari bahasa baru menjadi lebih keliru apabila cikgu yang mengajar tidak menjelaskannya dalam bahasa Inggeris tetapi di dalam bahasa ibunda beliau, iaitu bahasa Turki. 

Untuk menenangkan fikiran, penulis selalu menaiki feri yang merentas antara bahagian Eropah dan Asia di Istanbul
Untuk menenangkan fikiran, penulis selalu menaiki feri yang merentas antara bahagian Eropah dan Asia di Istanbul

Pada mulanya, saya agak ketinggalan dan saya tidak tahu mengapa rakan kelas saya sangat pantas mempelajari setiap komponen tatabahasa. Sebahagian daripada mereka berasal daripada negara Asia Tengah.

Saya sangat kagum dan cemburu dengan kelebihan mereka mempelajari bahasa baharu.

Tidak lama kemudian, saya mendapat tahu yang kebanyakan bahasa orang Asia Tengah agak serupa dengan Bahasa Turki malah struktur bahasa juga saling berkait rapat dan kebanyakan negara Asia Tengah ini dikira negara serumpun dengan Turki dan dipanggil kelompok Turkic antaranya seperti negara Kazakhstan, Tajikistan, Kyrgystan, Turkmenistan dan Uzbekistan. 

Struktur Bahasa Turki sangat berbeza dengan bahasa yang kita tuturi, sama ada Bahasa Malaysia mahupun Bahasa Inggeris.

Justeru, melalui pemerhatian dan pengalaman saya, orang dari negara kita mengambil masa sedikit untuk menyesuaikan diri dengan bahasa ini tambahan pula, Bahasa Turki juga merupakan bahasa fonetik berdasarkan kata ganti nama diri pertama, kedua dan ketiga. 

Untuk makluman anda, secara amnya anda tidak perlu mempelajari Bahasa Turki sehingga tahap C1, kerana syarat untuk masuk ke universiti di Turki adalah tahap B1 dan sejujurnya jika anda melepasi tahap ini, anda sudah boleh berinteraksi dengan orang tempatan di jalanan.

Ternyata banyak kebaikan mempelajari bahasa Turki pada tahun pertama di sini kerana tidak seperti negara Eropah mahupun negara timur tengah yang lain, penggunaan Bahasa Inggeris sangat rendah walaupun di bandar besar seperti Istanbul. 

Menjadi lumrah apabila kita mempelajari sesuatu, kita perlu sentiasa mengulanginya sehingga ia 'sebati' dengan diri kita. Apabila tamat pengajian Bahasa Turki tahap C1 saya menyangka saya sudah boleh bertutur dan memahami dengan lancar.

Saya sudah 'kembara' satu Istanbul dengan bahasa yang baru saya pelajari dan saya fikir saya sudah bersedia untuk memulakan pengajian ijazah sarjana. 

Setelah tamat cuti musim panas selama tiga bulan, episod pengajian ijazah sarjana pula bermula.

Dalam jangkaan saya serta melalui pengalaman pelajar senior yang lain, terdapat tenaga pengajar yang boleh bertutur, mengajar serta memberi kebenaran untuk membuat tugasan dalam Bahasa Inggeris. Saya sangat berdebar bila memikirkan nasib saya apabila semester pertama bermula. 

Buku yang bertajuk 'Buku Panduan untuk Perhubungan Awam' yang digunakan sebagai rujukan untuk penulis menyiapkan tugasan
Buku yang bertajuk 'Buku Panduan untuk Perhubungan Awam' yang digunakan sebagai rujukan untuk penulis menyiapkan tugasan

Saya melangkah masuk ke kelas pertama iaitu kelas 'Seminar' dan ia wajib bagi setiap pelajar pascasiswazah.

Setiap kelas bermula dengan sesi pengenalan diri dan saya masih lagi rasa yakin untuk memperkenalkan diri sendiri serta memahami pengenalan yang dibuat rakan sekelas. Namun segalanya ibarat kaca terhempas ke batu apabila pensyarah yang mengajar mula menjelaskan tugasan dan silibus subjek dalam Bahasa Turki. 

Akhbar Turki lama yang menjadi sumber rujukan yang didapati daripada perpustakaan besar di Istanbul
Akhbar Turki lama yang menjadi sumber rujukan yang didapati daripada perpustakaan besar di Istanbul

Mulut saya terlopong kerana saya hanya faham 30 peratus daripada keseluruhannya. Saya mula panik, apatah lagi pensyarah tersebut mahu kertas kerja sebanyak 40 muka surat disiapkan pada akhir semester dan perlu dibentang. Buntang mata saya mendengarnya.

Apabila tamat sahaja kelas tersebut, saya terus menemui pensyarah dan bertanya jika saya boleh membuat tugasan saya dalam Bahasa Inggeris. 

Pensyarah tersebut hanya merenung saya dan menggelengkan kepala beliau dan memberitahu saya yang saya perlu bersedia untuk menulis dalam Bahasa Turki kerana penulisan Tesis saya pada tahun akhir wajib ditulis dalam bahasa tersebut. Saya rasa seperti mahu menangis tatkala mendengar setiap patah yang dituturkan oleh beliau. 

Saya masih ingat, saya agak kemurungan pada hari itu. Waktu inilah rakan-rakan yang saya temui di Istanbul menjadi tulang belakang dan sumber semangat saya selain daripada keluarga di tanah air.

Mereka sentiasa ada di sisi saya dan sering memberi kata semangat untuk saya teruskan perjuangan. Ibarat keluarga, segalanya kami buat bersama. 

Penulis bersama dengan rakan sekelas selepas pembentangan topik bagi kelas Komunikasi Antarabudaya
Penulis bersama dengan rakan sekelas selepas pembentangan topik bagi kelas Komunikasi Antarabudaya

Bukan seorang pensyarah sahaja yang berkata sedemikian, malah hampir kesemua tidak membenarkan saya melakukan tugasan dalam Bahasa Inggeris.

Hanya segelintir sahaja, terutamanya yang pernah menuntut di luar negara. Terdapat perbezaan ketara antara pensyarah yang menuntut di Universiti tempatan dan di luar negara. Kebanyakannya lebih terbuka dan sangat memahami. 

Ada juga pensyarah yang apabila melihat kita bekerja keras, mereka membuat keputusan untuk membenarkan pelajar antarabangsa untuk menulis tugasan dalam Bahasa Inggeris.

Saya reda dan mengambil iktibar yang baik-baik sahaja dan berpendapat inilah cara saya untuk terus menguasai bahasa asing ini dan saya berazam untuk membuktikan yang saya boleh melakukan apa sahaja jika saya berusaha.

Orang kata masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu menguak, seperti itu juga lah kita di negara orang, perlu kerja keras untuk menyesuaikan diri walaupun sukar. 

Penulis bersama dengan penyelia tesisnya sejurus tamat membentangkan kertas penyelidikan serta tesis
Penulis bersama dengan penyelia tesisnya sejurus tamat membentangkan kertas penyelidikan serta tesis

Bahasa Turki versi akademik lebih rumit daripada kebiasaannya. Kerajaan Turki juga mengadakan kelas tambahan untuk melatih pelajar tajaan untuk menguasai Bahasa Akademik Turki dengan lebih baik dan ia diadakan setiap hujung minggu.

Ibarat peribahasa Melayu, alah bisa tegal biasa, dengan pertolongan pensyarah dan rakan kelas yang sangat memahami, saya dapat menyesuaikan diri dengan mendengar pengajaran serta mengambil bahagian dalam Bahasa Turki.

Pada akhir pengajian ijazah sarjana saya dapat memenuhi semua tugasan dan juga membentang kertas penyelidikan serta menjawab soalan daripada panel juri dalam Bahasa Turki. 

Dalam siri sebelum ini saya ada memetik pertanyaan ibu saya berkenaan dengan akreditasi universiti Turki di Malaysia.

Kerajaan Malaysia hanya mengiktiraf universiti di Turki dalam bidang perubatan, farmasi dan pergigian. Tiada lagi pengiktirafan untuk bidang kemanusiaan dan sains sosial.

Persatuan pelajar Malaysia di Turki telah berusaha untuk mempercepatkan proses mengiktirafkan namun, hal ini melibatkan kedua-dua buah kerajaan dan sistem birokrasi yang agak menyulitkan. Saya pasti hal ini dapat diselesaikan pada masa akan datang. 

Begitulah cerita saya mengikuti pengajian ijazah sarjana dalam Bahasa Turki. Setiap orang melalui pengalaman yang berbeza -beza. Apabila anda menuntut di luar negara, anda belajar untuk bersabar, berdiri atas kaki sendiri dan nilai usaha. - Getaran, 18 Julai 2021

Isu Pada

Anugerah Terindah Alif Satar and The Locos

17 Jul 2021

Berita Berkaitan

1

TARA 10 bulan yang lalu

Selepas 2 Tahun Ditutup, Menara Maiden, Istanbul Kini Mengalu-Alukan Kedatangan Pengunjung

2

Semasa 1 tahun yang lalu

Lapangan Terbang Malaysia Catat 6.7 Juta Pergerakan Penumpang Pada Mac 2023 - MAHB

3

Selebriti 1 tahun yang lalu

‘Belajar Bahasa Isyarat Ini Umpama Belajar Menari’ – Ismail Izzani Akui Seronok Apabila Dapat Belajar Ilmu Baharu 

4

Selebriti 1 tahun yang lalu

Fasha Sandha Masih Berguru Dengan Fauziah Nawi Biarpun Sudah 20 Tahun Bergelar Pelakon

Sorotan

1

Anak MB Perlis, 4 Yang Lain Dilepas Dengan Jaminan SPRM

2

Pemilik Stesen Minyak Diminta Lapor KPDN Jika Diancam Sindiket

3

Najib Diberi Peluang Jelaskan Mengenai Dokumen 1MDB Ketika Disoal Siasat - Pegawai SPRM

4

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

5

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok

6

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

7

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi