The Glory Bahagian 2

Drama fenomena dari Korea, The Glory kembali dengan sambungan baki lapan episod yang akan menyaksikan setiap seorang yang pernah membuli Moon Deong Eun lakonan Song Hye Kyo bakal menerima pembalasan atas perbuatan mereka.
Keadaan menjadi semakin sukar untuk Moon Deoung Eun apabila musuh utamanya iaitu Yeon Jin telah tahu rancangannya selepas berjaya memecah masuk ke rumahnya dan melihat ratusan gambar di dinding.
Yeon Jin cuba menjejaki ibu Deong Eun dengan harapan ibunya yang kaki botol itu akan menyusahkan hidup anaknya. Kehilangan Myeong Oh juga akhirnya terjawab.
Dia sebenarnya telah dibunuh oleh Yeon Jin selepas bertemu di bilik persalinan Jae Joon.
Dalam masa yang sama Deoung Eun cuba mengumpul bukti tentang kematian rakan sekolah mereka iaitu So Hee yang telah dibunuh oleh Yeon Jin.
Apakah yang akan terjadi kepada semua pembuli-pembuli Deoung Eun? Dapatkah dia membalas semua kejahatan mereka? Saksikan kesudahan The Glory hanya di Netflix. - Helmi Anuar
Iron Mask

Mahukan filem yang sarat elemen sakti, aksi, jenaka dan penuh pengembaraan epik, Iron Mask mungkin pilihan yang tepat untuk seisi keluarga terutama di musim cuti sekolah ini.
Biarpun, rata-rata ulasan untuk filem yang mula ditayangkan pada 2019 ini kurang memberangsangkan, namun penulis masih mampu terhibur.
Pengarahnya Oleg Stepchenko pula bijak menampilkan wajah-wajah cameo ternama seperti Jackie Chan selaku Master dan Arnold Schwarzenegger sebagai James Hook, si Penguasa Penjara.
Ringkasnya, Iron Mask mengisahkan pengembaraan seorang pelukis peta British, Jonathan Green lakonan Jason Flemyng di era awal 1700 yang ditugaskan memetakan sempadan Rusia dan China.
Dia ditemani Chen (Xingtong Yao) seorang Puteri dari China, yang menyamar untuk kembali ke negaranya yang kini dicengkam pemerintah kejam selepas bebas dari penjara. Apakah kesudahan kisah Iron Mask ini, saksikan hanya di Google Play dan Netflix. – Suzan Ahmad
In The Name Of God: The Holy Betrayal

Siri dokumentari menarik di Netflix untuk anda tonton hujung minggu ini. Menerusi lapan episod, Netflix membongkar empat ajaran sesat yang dilakukan oleh empat individu di Korea Selatan.
Mereka ialah JeoungMeoung seok yang didakwa mempunyai kuasa sakti boleh mengubati seseorang. Namun apabila para gadis datang dan meminta bantuan, rupanya mereka telah dirogol oleh lelaki ini.
Seterusnya Park Son ja yang juga bertindak sebagai agamawan sebelum akhirnya didedahkan menjadi dalang untuk kematian 31 mayat yang ditemui di Korea Selatan.
Turut didedahkan individu Kim Ki son dan Lew Jae rock yang juga terlibat dengan beberapa jenayah termasuklah gangguan seksual.
Penerbit Jo Sung Hyun mendedahkan terdapat ahli keluarga dan rakannya yang pernah terlibat dengan individu berkaitan membuatkannya melakukan kajian lebih mendalam mengenai ‘agamawan’ berkaitan.
Mereka telah melakukan kajian selama dua tahun dan menemu ramah lebih 100 orang yang terlibat bagi menjayakan siri ini. – Wafa Aula
Cursed In Love

Ia bermula dengan dendam namun akhirnya jatuh cinta. Demikian kisah antara Nao Hanaoke dan Tsubaki Takatsuki iaitu dua insan yang dipertemukan semula selepas berdepan dengan tragedi dalam hidup.
Kedua-dua mereka adalah kawan sejak kecil namun terpisah apabila ibu Nao telah dituduh membunuh bapa Tsubaki. Apa yang menyebabkan Nao menyimpan dendam terhadap Tsubaki adalah kerana Tsubaki mendakwa melihat ibu Nao membunuh bapanya.
Dengan matlamat untuk memusnahkan keluarga Tsubaki kerana menuduh ibunya yang tidak bersalah sebagai pembunuh hingga membawa kepada kematian wanita berkenaan di dalam penjara, Nao kembali semula ke kedai milik Tsubaki iaitu Kogetsuan selepas 15 tahun.
Kogetsuan ialah sebuah kedai yang terkenal kerana menjual manisan tradisional Jepun sejak turun temurun.
Bagaimanapun rancangan gadis itu menjadi sukar apabila dia jatuh cinta dengan Tsubaki. Drama lapan episod ini menarik untuk ditonton kerana plotnya yang kompleks dan penuh misteri.
Banyak adegan air mata antara Nao dan Tsubaki, terutama ketika ibu Tsubaki, Kyoko dengan niat jahat, cuba menjatuhkan dan membunuh Nao.
Aktor Ryusei Yokohama dan Minami Hamabe berjaya membawakan watak sebagai Tsubaki dan Nao.
Bagaimanapun bahagian yang paling menarik dalam drama ini ialah anda dapat menyaksikan banyak manisan Jepun yang menggiurkan serta kimono-kimono yang cantik. Siri ini boleh ditonton di Netflix – Habibah Omar - Getaran, 19 Mac 2023