Sebagai sebuah negara dengan majoriti penduduk yang beragama Islam, penanaman ilmu agama biasanya diterapkan sedikit demi sedikit oleh ibu bapa di rumah dan kemudian dilanjutkan di zaman persekolahan.
Malah dalam era globalisasi ini, sesetengah sekolah tadika juga sudah memulakan pembelajaran subjek agama Islam kepada pelajarnya seawal usia empat tahun.
Ini kerana semakin ramai ibu bapa menganggap didikan agama yang cukup sebagai salah satu faktor yang mampu membentuk sahsiah cemerlang dalam diri.
TARA kali ini meninjau evolusi pendidikan Islam pada alaf baharu lewat paparan khas sempena bulan Ramadan dari sebuah sekolah Tahfiz yang diberi nama Sekolah Islam Integrasi Tahfiz Assyakirin, Alam Damai, Cheras.
Pada awalnya, penulis ingin merungkai aktiviti yang dilaksanakan pelajar Tahfiz semasa bulan Ramadan.
Namun pada masa yang sama, penulis sempat bertanya pada diri sendiri.
“Adakah pelajar Tahfiz hanya menumpukan perhatian kepada penghafalan ayat Al-Quran semata-mata dan bagaimana pula dengan pendidikan asas seperti yang diajarkan di sekolah awam yang lain?’
Jawapan yang dicari ada di sekolah ini.
Sekolah Islam Integrasi Tahfiz As- Syakirin ini merupakan cawangan kedua sekolah tersebut yang ditubuhkan pada tahun 2014 dan mempunyai pelajar sebanyak 115.
Ia memfokuskan kepada pengambilan pelajar yang berumur tujuh hingga 12 tahun dan sedang dalam perancangan untuk mengembangkannya lagi sehingga ke peringkat menengah.
Setiap pelajar yang mendaftar akan mengikuti sukatan pelajaran yang sama seperti sekolah kebangsaan lain dan secara automatik akan menjalani proses pembelajaran sistem tahfiz juga.
Walaupun sekolah ini adalah berstatus swasta, namun saluran pendidikan yang disampaikan oleh guru kepada murid masih berada di bawah pemantauan dan pengawalan pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta Kementerian Pendidikan.
Jadi pelajar-pelajar di sini masih perlu mengambil peperiksaan besar seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA), Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dan sebagainya.
Ini kemudian ditambah dengan pengajian tahfiz yang dilakukan pada waktu pagi berlandaskan modul yang dibentuk oleh pihak sekolah sendiri.
Dari sudut pembelajaran, penulis melihat pelajar-pelajar ini sudah berada di tahap yang luar biasa dan mempunyai potensi besar dalam menguasai pendidikan agama Islam walaupun mereka masih kanak-kanak.
Ini kerana sistem pendidikan mereka mempunyai empat pecahan modul iaitu akademik, tahfiz, modal insan dan kemahiran.
Oleh itu, sudah pasti para guru di sekolah ini mempunyai tanggungjawab yang besar serta perlu memiliki daya tahan fizikal dan mental yang kuat demi menjaga selain mendidik anak murid mereka.
Sempena bulan Ramadan, terdapat beberapa aktiviti yang dilaksanakan oleh pihak sekolah buat para pelajar.
Pada sesi pagi dari jam 8.00 sehingga 9.30 pagi, semua pelajar dikehendaki berkumpul di surau untuk menjalani sesi tahfiz yang dipanggi tadabbur sebelum memulakan kelas seperti biasa.
Semasa sesi ini, guru-guru akan menceritakan kisah-kisah di sebalik surah-surah yang diturunkan di dalam Al-Quran.
Ia bertujuan mengajar pelajar-pelajar untuk memahami dengan lebih mendalam tentang sejarah dan makna surah yang disampaikan selain menghafal surah-surah tersebut.
Tambahan lagi, pihak sekolah telah menetapkan surah dan tarikh yang dipilih sehingga penutup bulan Ramadan.
Kemudian pihak sekolah akan memanfaatkan waktu rehat iaitu jam 1.00 hingga 2.00 petang, dengan melaksanakan tadarus Al-Quran bagi pelajar yang sudah mahir membaca.
Manakala, bagi pelajar yang lain pula, mereka akan diajar dan dilatih beramai-ramai cara sebutan serta bacaan ayat Al-Quran yang betul.
Ketika sesi ini berlangsung sebelum menunaikan solat Zohor, jauh di sudut hati, penulis berasa tersentuh dan bangga dengan ketekunan pelajar-pelajar ini.
Walaupun terdapat segelintir daripada mereka yang kelihatan letih, namun mereka tetap meneruskan tumpuan terhadap guru yang sedang mengajar.
Selain kegiatan pembelajaran, terdapat beberapa lagi aktiviti yang sedang dan akan dijalankan seperti program pembuatan serta pengagihan bubur lambuk, majlis khatam Al-Quran dan banyak lagi.
Penulis juga berpeluang bertemu dengan Puan Siti Hajar Bt Abd Hamid, 43, yang mesra dipanggil Ustazah Hajar dan merupakan guru besar sekolah tersebut sejak 2019.
Beliau yang sudah berkecimpung dalam dunia pendidikan Kelas Al-Quran Dan Fardu Ain (KAFA) lebih daripada 10 tahun berkata, “Antara kelebihan sistem pembelajaran di sini ialah selain daripada melaksanakan sesi tahfiz, mereka juga akan diajar pembelajaran dari sudut akademik dan ilmiah.”
“Jadi kami atur dan himpunkan semua sekali termasuk subjek teras untuk para pelajar menguasainya. Dalam masa yang sama mereka tidak ketinggalan dalam arus pendidikan seperti yang ada di sekolah-sekolah awam lain” tambahnya.
Penulis juga sempat bertanyakan soalan tentang tanggapan bahawa sekolah tahfiz dikatakan sebagai tempat untuk pelajar yang nakal dan mempunyai masalah disiplin.
“Saya tidak menafikan perkara tersebut. Ada dalam kalangan ibu bapa yang mungkin ingin melihat perubahan anak mereka melalui ‘rawatan hati’ dari segi akhlak dan kerohanian. Jadi mereka mengambil langkah menghantar anak-anak mereka ke tempat sebegini,” jelas beliau.
“Tetapi tidak semuanya begitu kerana zaman ini, ramai ibu bapa yang cakna terhadap apa yang anak mereka perlukan dan juga apa yang perlu didahulukan.
“Rata-rata ibu bapa sudah ramai yang memilih untuk meletakkan anak mereka di sekolah tahfiz. Khasnya sekolah-sekolah seperti ini. Perkara ini sebenarnya lebih kepada kehendak ibu bapa itu sendiri”, ujarnya.
Sebagai penutup penulis bertanya apakah harapannya untuk murid-murid di situ pada masa akan datang.
“Sebagai salah seorang tenaga pengajar dan guru besar di sini, harapan saya sangat tinggi untuk melihat para pelajar ini berjaya agar mereka dapat menjadi apa yang dicita-citakan dan melaksanakannya tanpa meninggalkan kewajiban yang diajar Al-Quran dan Sunnah.
“Kita nak lahirkan mereka yang sentiasa mengamalkan kehidupan berlandaskan agama Islam walau di mana jua mereka berada,” katanya menutup bicara.
Secara peribadi penulis sendiri melihat para pelajar di sekolah ini mempunyai kelebihan yang besar berbanding pelajar di sekolah umum yang lain.
Maka, janganlah sesekali kita memandang remeh terhadap pendidikan Islam pada awal usia.
Penulis yakin seperti harapan guru besar mereka, kesemuanya berpotensi untuk menjadi pemimpin yang berjaya suatu hari nanti. Insha-Allah.
DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN
Wajah TARA : Pelajar Sekolah Islam Integrasi Tahfiz As-Syakirin
Editor Gaya Hidup & Hiburan : Shah Shamshiri
Teks & Penyelaras : Izwan Ramlan
Suntingan Teks : Shah Shamshiri dan Ili Farhana
Jurugambar : Mohd Azim Rahman
Juruvideo : Mustaffa Kamal Ramli
Suntingan video : Muharram Kasim
Rekaletak : Abdul Hanif Zahari
Lokasi : Sekolah Islam Integrasi Tahfiz Assyakirin
(Sekalung penghargaan buat Ustazah Siti Hajar Bt Abd Hamid )