Berita Terkini

2 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 5 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke 6 hari yang lalu: Tiket tambahan ETS dan perkhidmatan tren khas mula dijual hari ini bermula 5 petang - Loke

IKUTI KAMI


Ramadan : Antara Masa, Kenangan Dan Pahala

Kedatangan Ramadan yang mulia ini sememangnya dinanti-nantikan kerana Ramadan adalah bulan yang dijanjikan Allah SWT sebagai sebaik-baik bulan.

TARA Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 03 Apr 2022 4:52PM

Gambar Hiasan, Abdul Razak Latif

oleh

Rahayu MN

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Alhamdulillah, Ramadan datang lagi tahun ini. Syukur ke hadrat Ilahi kerana masih memberi peluang untuk kita semua bertemu bulan penuh barakah ini. 

Kedatangan Ramadan yang mulia ini sememangnya dinanti-nantikan kerana Ramadan adalah bulan yang dijanjikan Allah SWT sebagai sebaik-baik bulan. 

Bulan untuk mengejar pahala, bulan untuk menggugurkan dosa, bulan untuk menggapai sejahtera. 

Terdapat banyak kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadan. Begitu juga dengan hikmah dan manfaat di dalamnya. 

Gambar Hiasan, Abdul Razak Latif
Gambar Hiasan, Abdul Razak Latif

Di antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadan itu ialah Allah menurunkan kitab suci Al-Quran yang menjadi panduan dan petunjuk bagi manusia. Dek itulah, sebagai hamba-Nya, kita diminta bersahabat baik dengan Al-Quran, terutamanya pada bulan ini.

Penulisan saya kali ini bukanlah untuk membincangkan tentang Ramadan secara ilmiah. Saya bukanlah insan yang arif tentang ilmu agama. 

Saya hanyalah pendosa yang masih diberi peluang oleh Yang Esa untuk terus mencari keredaan-Nya, untuk terus mengejar keampunan-Nya. 

Sama seperti orang lain, saya juga mengharapkan agar Ramadan kali ini saya berpeluang menambah ibadat kerana pada bulan ini Allah SWT menjanjikan ‘bonus’ bukan kepalang buat umatnya yang taat mengikuti perintah. 

Ingat! Setiap amalan yang kita lakukan pada bulan-bulan lain dan diteruskan pada bulan Ramadan akan meraih ganjaran pahala yang berlipat ganda. 

Gambar Hiasan, Abdul Razak Latif
Gambar Hiasan, Abdul Razak Latif

Saya masih ingat lagi kata-kata seorang ustaz yang memberikan tazkirah beberapa tahun lalu, Allah menjanjikan 70 kali ganda pahala untuk mereka yang melakukan ibadat fardu sepanjang bulan Ramadan. 

Contohnya, satu solat fardu yang kita lakukan akan ditingkatkan sebanyak 70 kali ganda. Jadi, bayangkanlah apabila pahala yang digandakan itu dicampur pula dengan pahala puasa dan sunat tarawih. Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah dan Maha Mengasihi hamba-hambanya. 

Namun begitu, dalam gembira menyambut kedatangan Ramadan Al-Mubarak, hati ini sebenar terusik sayu apabila terkenangkan arwah ayah, Mat Nah bin Omar yang telah dipanggil pulang ke ‘negara abadi’ pada 28 Julai 2019 lalu.

Terlalu banyak kenangan yang ayah tinggalkan untuk kami sekeluarga. 

Selalunya seminggu sebelum berpuasa, pasti ayah akan menghubungi anak-anaknya bertanya sama ada kami akan pulang ke kampung menyambut puasa atau tidak. 

Gambar Hiasan, Abdul Razak Latif
Gambar Hiasan, Abdul Razak Latif

Jika tidak, ayah akan bertanya pula, tarikh yang dirancang untuk pulang. Jika masih belum punya tarikh, ayah yang akan memberi cadangan. Dia akan minta kami adik-beradik berkumpul pada hari yang sama. Maklumlah kami pun tidak ramai, hanya tiga beradik.

Setiap kali kami semua berkumpul berbuka puasa di kampung, ayah tidak pernah lokek berbelanja membeli itu ini untuk dijadikan juadah berbuka puasa. 

Ayah masih melayan kami bagaikan anak-anak yang masih kecil. “Along (panggilan saya dalam kalangan ahli keluarga) nak makan apa? Sheila? (adik perempuan saya), Adik Fazdli (satu-satunya adik lelaki yang ada)?” Satu demi satu ditanyanya. 

Saya seperti biasa ada senarai yang panjang. Ayah tak pernah cakap tidak. “Okey, nanti ayah cari. Kalau tak ada, ayah belilah apa-apa yang ada ya.” Itu jawab ayah. 

Untuk cucu-cucu tersayang, ayam golek jadi pilihan hati ayah. Seronok dia melihat masing-masing berselera di meja makan. 

Selain sibuk ambil ‘tempahan’ anak-anak, ayah juga punya hidangan kegemaran yang tidak pernah dia lupakan setiap kali berkunjung ke bazar Ramadan, iaitu apam balik. 

Gambar Fail
Gambar Fail

Kini selepas hampir 3 tahun ayah tiada, apam balik sudah menjadi hidangan mengubat rindu saya kepada ayah. 

Riang rasanya hati apabila dapat menjamah makanan kesukaan ayah. Jangan tak tahu, untuk berbuka hari ini, inilah menu yang ingin saya cari di bazar Ramadan sebentar lagi. Tiada yang lain.  

Selain kenangan berbuka puasa, saya juga sangat teringat dengan kata-kata nasihat daripada ayah setiap kali Ramadan datang bertamu. 

“Along bulan puasa ini banyakkanlah mengaji, sedekah. Carilah masa untuk solat tarawih. Kalau tak sempat pergi jemaah di masjid, buat sendiri kat rumah. Bukan susah pun, senang saja. Tak payah buat banyak-banyak, lapan rakaat pun cukup,” pesan ayah. 

Ayah tahu jadual kerja saya sebagai seorang wartawan tidak sama seperti orang lain. Walaupun bulan puasa, ada sahaja acara yang perlu dihadiri ketika waktu berbuka puasa.

Gambar Hiasan, Abdul Razak Latif
Gambar Hiasan, Abdul Razak Latif

Sebab itulah dia berpesan supaya cari masa untuk dimanfaatkan. “Dah kerja macam itu, nak buat macam mana. Kenalah pandai bahagikan masa. Kerja kita memang takkan pernah habis,” pesan ayah lagi.

Kata-kata ayah saya itu, walau kedengaran biasa sahaja, tetapi ia meninggalkan kesan yang begitu mendalam. 

Jujur saya akui rutin harian di kota cukup menyesakkan. Saya lebih pemurah dengan hal-hal dunia, tetapi cukup bakhil dengan amalan yang membawa ke syurga. Saya lebih risau jika wang ringgit tidak mencukupi daripada pahala yang tipis. 

Entahlah! Benar kata-kata ayah, kerja tidak akan pernah habis. 

Semoga Ramadan kali ini saya tidak terus terleka dan rebut peluang yang ada untuk bersyukur, bertaubat dan menambahkan lagi ibadat buat bekalan di hari akan datang ketika kita bertemu dengan-Nya. 

Hidup ini hanya sementara, sampai masanya kita akan dipanggil pulang. Tidak sesaat pun terlewat. Tetapi tepat pada masanya. - Getaran, 3 April 2022

Isu Pada

Dunia Seni Zulhairul Ikram

02 Apr 2022

Berita Berkaitan

1

Refleksi 4 hari yang lalu

Bina Iman Untuk Ramadan, Lupakan Sementara Bina Otot - Murad

2

Kisah Kita 1 minggu yang lalu

Sukar Diperoleh, Namun Suami Isteri Pastikan Bekalan Buah Kabung Tersedia Setiap Ramadan

3

Semasa 1 minggu yang lalu

Hayati Semangat Ramadan, Santuni Golongan Kurang Bernasib Baik - PM

4

Semasa 2 minggu yang lalu

1 Ramadan Ditetap 12 Mac - Syed Danial

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok