Berita Terkini

2 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Ramli Sarip Kembali Dengan Album Penuh Jiwa Dan 'Rasa'

Legenda yang masih aktif berkarya ini juga mengakui bahawa 'Rasa' adalah album studio solo terbaik yang pernah dihasilkannya sepanjang menjadi penyanyi dan artis rakaman suara.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 26 Mar 2022 2:33PM

oleh

Ellyna Ali

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Elemen penyatuan jiwa dan alam adalah antara falsafah penting buat ikon rock, Datuk Ramli Sarip dalam menjayakan sesuatu persembahan mahupun menghasilkan album rakaman. 

Penyatuan dua elemen itu menzahirkan rasa yang cukup penting buat penyanyi dan penghibur berpengalaman yang cukup kental dengan identiti suara serak basah ini. 

Menganggap rasa itu sebagai suatu kurniaan Ilahi yang cukup penting, Ramli akhirnya memutuskan untuk menggunakan perkataan itu sebagai tajuk album studio terbaharunya.  

‘Sebetulnya, saya cuba mencari nama lain yang sesuai untuk digunakan sebagai tajuk album ini. Tapi, saya suka guna perkataan ‘rasa’. 

“Bila membuat persembahan, dengar lagu atau makan, mesti kena ada perasaan. Kalau rasa itu hilang, ia akan jadi lain,” Ramli membuka bicara. 

Legenda yang masih aktif berkarya ini telah pun menghasilkan 21 album sepanjang kerjayanya sebagai penyanyi dan artis rakaman suara. 

Namun, Ramli yang sentiasa berpenampilan ranggi mengakui bahawa Rasa adalah album studio solo terbaik yang pernah dihasilkannya. 

Rasa adalah sebuah perjalanan peribadi yang berkait dengan apa yang ada di sekeliling yang menyentuh umat sejagat serta hubungan spiritual dengan Tuhan. 

“Ia juga suatu proses perjalanan muzik dan bagaimana muzik itu berkembang mengikut waktu dan keadaan yang dilalui dari suatu masa ke masa. 

“Ia suatu proses kematangan. Yang kemudiannya disampaikan dengan penyatuan rasa di antara paduan elemen muzik folk dan blues, rock dan pop bernuansakan alam Nusantara Melayu yang menjentik jiwa bersama bait-bait lirik penuh dengan metafora dan makna,” katanya. 

Pembikinan dan penerbitan album Rasa yang memuatkan 10 lagu ini menjadi lebih unik apabila penerbitannya dimulakan di Kuala Lumpur tetapi disiapkan sepenuhnya di Singapura disebabkan pandemik COVID-19 yang mula menyerang dunia pada tahun 2020. 

Bersama para pemuzik pengiringnya Soul Journey, Ramli sempat merakamkan tiga lagu iaitu ‘Srikandi Zaman’, ‘Sentosa di Kubah Hayat’ dan ‘Surat Cinta Kuala Lumpur’. 

Soul Journey terdiri daripada barisan pemuzik berkaliber iaitu Rozario Rasul (pengarah muzik dan keyboardist), Rizal Halim atau Ritz Metalasia (pemain gitar kedua), Din Safari (pemain bass), Tom Annuar (pemain dram) serta Allahyarham Fauzi Samin atau Aji (pemain gitar pertama). 

Manakala tujuh lagi lagu iaitu ‘Kekasihku’, ‘Ayah dan Ibu’, ‘Ronggeng Rakyat’, ‘Cinta Di Sebalik Musim’, ‘Nyanyian Sejagat’, ‘Irama Kasih’ dan ‘Orang Tua Bersidi Sakti’ disiapkan di Singapura menggunakan khidmat pemuzik-pemuzik profesional di sana iaitu Addy Rasidi, Din Safari, Bani Hidir, Riduan Zalani dan Julian Lim. 

“Penghasilan album ini mencetuskan banyak momen dan kenangan yang cukup manis dan bersifat spiritual. Malah, adakalanya saya sendiri mengalirkan air mata sewaktu menjayakan sesi rakaman ini. 

“Entah kenapa, hati ketika itu cukup terusik. Lebih-lebih lagi apabila teringatkan kawan-kawan dan ahli keluarga yang telah pergi disebabkan COVID-19. 

“Idea merakamkan album Rasa ini sebenarnya dicetuskan oleh Allahyarham Aji. Arwah juga sempat terlibat dalam tiga rakaman lagu di Kuala Lumpur iaitu ‘Srikandi Zaman’, ‘Sentosa di Kubah Hayat’ dan ‘Surat Cinta Kuala Lumpur’,” ceritanya. 

Mengulas tentang lagu-lagu yang dimuatkan di dalam album ini, Ramli berkata, Rasa memiliki pelbagai nuansa muzik dan kisah yang berbagai rasa. 

“‘Srikandi Zaman’ adalah mengenai empat wanita agung yang telah dijamin Allah SWT akan masuk ke syurga. Ia. Antaranya ialah Siti Khadijah RA. Lagu ini seperti satu simbol untuk ibu kita, isteri kita dan ibu-ibu tunggal di luar sana. Memang Allah SWT ciptakan golongan hawa ini bukan untuk suka-suka. 

“Kenapa lagu ‘Ayah dan Ibu’ nyanyian Allahyarham Sudirman Hj. Arshad saya rakamkan semula?  Saya rasa sangatlah penting bagi kita meletakkan ayah dan ibu di tempat yang tinggi bersama Allah dan Rasul. Sebab pengorbanan mereka sangat besar. 

“Untuk lagu ‘Sentosa di Kubah Hayat’, saya menggunakan lirik tulisan Datuk Ariffin Arif. Beliau seorang pencinta seni. Daripada liriknya itu, saya jadikan lagu yang bertemakan perjuangan di Palestin, namun fokusnya kepada elemen kasih sayang dalam perjuangan itu. 

“‘Cinta di Sebalik Musim’ dicipta seorang pelukis muda bernama Tzie dan liriknya dihasilkan oleh S. Amin Shahab. Beliau seperti yang kita tahu adalah seorang pemikir yang dalam. Susah untuk kita mendapat insan seni seperti ini lagi. 

“Tzie mahu saya menyanyikan lagu itu kerana baginya hanya saya sahaja yang mampu mendendangkannya. Namun agak sukar mengalunkan lagu ini sehingga ia benar-benar menjadi sedap. Susah nak sedapkan lenggoknya,” tambahnya.

Ramli juga memberitahu ada beberapa lagu yang dihasilkan dan dinyanyikannya itu mampu diangkat untuk dijadikan tema sebuah persembahan. Antaranya ialah ‘Ronggeng Rakyat’, ‘Nyanyian Sejagat’, ‘Cinta Di Sebalik Musim’ dan ‘Sentosa Di Kubah Hayat’. 

“Menyentuh persembahan pula, sudah tentu saya punya perancangan untuk mengadakan konsert kerana ia juga sebahagian daripada strategi pemasaran untuk menjual album studio baharu saya ini,” katanya. - Getaran, 26 Mac 2022

Gambar: Rasa Karya Sdn Bhd 

Isu Pada

Coach Eddy Berbicara Tentang Kecergasan Dan Menjadi Pilihan Selebriti

26 Mar 2022

Berita Berkaitan

1

Video & Galeri 1 minggu yang lalu

Trend 'Alamak' Dah Merebak Ke Singapura 

2

Luar Negara 3 minggu yang lalu

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

3

Semasa 1 bulan yang lalu

Restoran Nasi Kandar Terbakar, Lelaki Melecur 80 Peratus

4

Luar Negara 1 bulan yang lalu

Singapura Akan Naikkan Usia Persaraan, Bekerja Semula Pada 2026

Sorotan

1

Lelaki Sindrom Down Melecur Disimbah Air Panas Dalam Lif

2

8 Aksi Pramusim Digunakan Untuk Uji Sistem VAR - Stuart

3

Misi Hantar Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza Dengan Kapal Tetap Diteruskan - Ann Wright

4

PRK Kuala Kubu Baharu: Kerajaan Perpaduan Ada Kaedah Pastikan Calon Menang

5

Pemain Badminton Negara Pamer Kekuatan Mental Menjelang Piasa Thomas, Uber

6

Pelajar Sekolah Meninggal Dunia Ketika Acara Larian Rentas Desa

7

Lelaki Israel Miliki Senjata: 10 Individu Ditahan Bawah SOSMA