Berita Terkini

14 jam yang lalu: Tokoh Wartawan Negara 2014 Datuk Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia awal pagi hari ini - isteri Allahyarham, Datin Noraini Shariff. 3 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 6 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 1 minggu yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 1 minggu yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke

IKUTI KAMI


Amaran Bunga Dan Siti Nordiana

Bersama Bunga dan Siti Nordiana bercerita mengenai kehidupan dan lagu terbaharu mereka yang menjadi ‘trending’ dan mencatat jumlah hampir setengah juta tontonan di YouTube.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 11 Dec 2021 9:01AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Baru beberapa hari muzik video lagu ‘Amaran’ dimuat naik, ia sudah mencapai hampir setengah juta tontonan serta menjadi antara 10 carian teratas di YouTube. 

Ternyata buah tangan terbaharu mereka yang berentak EDM Nusantara ini sangat ‘menangkap’ dan segar. Gabungan Siti Nordiana dan Bunga sebagai peneraju utama ‘Amaran’ juga ternyata pilihan yang bijak.

Pendek kata, magis lagu ini sangat tepat dan mengena. 

Dalam TARA kali ini, kami bawakan khas penyanyi ‘Amaran’ yang lahir dari rahim generasi berbeza namun tumbuh sebagai anak seni yang selalu menawarkan sesuatu kepada industri muzik tanah air.

Dari pejabat Warner Music Malaysia untuk sesi penggambaran TARA kali ini, kami menggeledah lebih dalam suara hati kedua-dua penyanyi ini. 

 

Bunga Muda, Berbakat

Kehadiran Bunga yang waktu itu baru berusia 19 tahun melontarkan baris rap dalam sebuah program rupanya adalah permulaan pintu rezeki yang tidak disangka-sangka. Namanya tiba-tiba meledak dan menjadi perhatian media tempatan mahupun antarabangsa. 

Percaturannya tidak salah, Bunga atau nama sebenarnya Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari tidak menoleh ke belakang lagi sebaliknya sangat serius untuk menempatkan diri di dalam industri seni tanah air. 

Baru setahun jagung, Bunga kini bergelar seorang rapper, penyanyi, pelakon dan juga penulis lirik. 

Lagunya bertajuk ‘Intan Payung’ juga sudah membolosi Separuh Akhir Muzik-Muzik dan selalu disebut-sebut bakal berada di pentas Anugerah Juara Lagu. Tuah manusia siapa yang tahu, bukan?

“Saya tidak merasakan saya cepat atau terlalu lambat. Dalam tempoh dua tahun ini saya berbangga melihat di mana saya berada. 

“Saya mula serius mendalami muzik seperti bagaimana mencari beat, mengenal tempo juga bagaimana menulis lagu,” katanya yang juga merupakan seorang mahasiswa Sarjana Muda Sains Pentadbiran di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Seremban.

Muzik tidak kiralah genre apa pun tidak pernah menghadkan ia hanya boleh dinikmati oleh jantina tertentu sahaja. Walaupun hip hop selalu dikatakan didominasi artis lelaki, namun Bunga keluar daripada stigma itu.

Dia bijak membawa diri sebagai seorang rapper dengan imej berbaju kurung beraksi di pentas bermacam khalayak.

“Cabaran membawa imej bertudung dan berbaju kurung ialah kadangkala semasa membuat persembahan saya tersilap tingkah. Saya tidak boleh terlalu lincah sehingga bertentangan dengan imej saya. Mulalah warganet mengkritik dan berkata-kata. 

“Tapi saya menganggap mungkin itu cara Tuhan menegur saya. Setiap yang berlaku saya jadikan sebagai pengajaran hidup untuk lebih berhati-hati,” tambahnya yang bakal melancarkan lagu berbahasa Cina tidak lama lagi.

 

Peminat Anugerah Terindah Siti Nordiana

Pernah melalui episod suram sebagai insan seni, pemilik nama Siti Nordiana Alias ini tidak pernah mengalah demi kelangsungan hidup.

Ketika ramai rakan-rakan penyanyi yang sezaman dengannya mengundurkan diri dari dunia nyanyian, penyanyi yang popular dengan lagu ‘Hatiku Milikmu’ ini terus bangkit, terbang tinggi.

Percaturannya menyertai program realiti, Gegar Vaganza musim kedua ternyata berhasil. Satu demi satu kejayaan manis yang diukir oleh penyanyi berusia 37 tahun ini.

Tiba-tiba pesona Siti Nordiana atau panggilan mesranya Nana, meledak. Dia dipuja bukan kepalang oleh peminat tegar. 

Nana adalah contoh selebriti yang  bangkit atas sokongan peminat yang tidak berbelah bagi. Kelab peminatnya, Siti Nordiana FC sanggup bersusah-payah demi memastikan penyanyi kesayangan mereka dijulang tinggi. 

Jangan sesekali menjentik pemenang Artis Versatil Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) yang ke-34 ini, pasti Siti Nordiana FC tampi menjadi perisai.

“Alhamdulillah, apabila mempunyai peminat-peminat yang tubuhkan kelab peminat untuk menyokong karier, Nana rasa cukup berbesar hati dan bersyukur. Mereka ini sangat sporting dan tidak pernah jemu memberi sokongan. 

“Nana anggap kehadiran kelab peminat ini sebagai satu anugerah yang terindah. Rezeki Nana dapat peminat sebegini.

“Maklumlah mana mungkin kita boleh memaksa seseorang untuk meminati dan suka dengan kita. Nana bersyukur kerana peminat sangat menyayangi dan terima kekurangan dan kelebihan Nana,” ulasnya teruja.

Apa yang dikatakan Nana itu ada benarnya kerana tidak semua selebriti mampu memiliki kelab peminat, kerana untuk menggerakkan kelab peminat ini, pengorbanan atau komitmennya bukan sedikit.

Paling penting, semua ahli harus percaya dengan artis yang digilai. Bahkan, sanggup mempertahankan mereka dalam apa juga situasi.  

“Macam Nana, kalau terpalit dengan sebarang isu, peminat tidak terus buat kesimpulan atau meletakkan kesalahan terus  kepada Nana, sebaliknya mereka akan beri ruang untuk Nana buat penjelasan. 

“Bahkan, mereka juga tidak lokek berkongsi pendapat, atau memberi nasihat untuk Nana pertimbangkan. Jadi, Nana sangat senang dan sangat beruntung mempunyai Siti Nordiana FC.

“Mereka sentiasa ada bersama bersama-sama Nana. Sokongan yang diberikan memang tidak berbelah-bagi,” ujar Nana mengakui ada di antara peminatnya yang sanggup ke mana sahaja asalkan dapat menyaksikan Nana membuat persembahan.

 

Pengalaman Ilham Terbesar Bunga

Bunga meletakkan pengalamannya sebagai seorang gadis berusia 21 tahun dalam mengenal kehidupan sebagai perca-perca dalam karyanya.

Menerusi tulisannya, Bunga pernah menceritakan bagaimana dia bertemu dengan pelbagai jenis orang yang kadangkala yang baik di depan namun berselindung kesumat di belakang.

“Dalam persahabatan saya belajar bahawa ada orang yang saya sangkakan baik namun ternyata dia boleh mengkhianati kita. Kadangkala saya tertanya juga kenapa orang buat begini. 

“Pernah saya menangis kepada emak dan berkata apa salah saya sehingga ada orang yang sanggup berbuat jahat kepada saya.

“Tapi emak berpesan bila nama semakin besar, semakin besar cabarannya,” cerita Bunga yang kini lebih selesa untuk berada dalam lingkungan sahabat yang kecil namun selalu mendukung jatuh dan bangunnya. 

 

Terus Belajar Untuk Kekal Relevan

Biarpun sudah boleh menarik nafas lega dengan pencapaiannya kini, Nana mengakui dia sebenarnya tidak mudah selesa.

Ini kerana dia sedar untuk terus kekal relevan dan terus diterima ramai dia perlu sentiasa mempersiapkan diri dengan segala kemungkinan. Dek itulah, dia sentiasa terbuka dengan sesuatu yang baru. 

“Suatu ketika Nana pernah berada di titik paling bawah sebagai anak seni. Tapi itu adalah lumrah kehidupan. Semua orang akan melalui proses turun-naik. Anak seni pun tidak terkecuali.

“Berada di bawah membuatkan Nana menghargai setiap nikmat yang ada hari ini. Nana jadikan pengalaman lalu sebagai pengajaran untuk menghadapi hari-hari mendatang. Nana mensyukuri setiap rezeki yang Allah berikan.

“Segala yang ada sekarang ini adalah milik Allah, jadi Nana tidak boleh terleka.

“Sebenarnya, untuk kekal relevan bukanlah sesuatu yang mudah. Jadi, apa sahaja muzik yang ada ketika ini, Nana perlu lebih terbuka untuk mencuba, walaupun kekuatan Nana pada lagu-lagu balada.

“Kena kaji selera peminat muzik sekarang. Dalam masa yang sama, perbaiki kiri untuk jadi lebih baik,” jelasnya.

 

‘Amaran’ Bunga Dan Nana

Teruja berkolaborasi bersama penyanyi kesayangan ramai iaitu Siti Nordiana, Bunga menganggap kesempatan ini sebagai sebuah rezeki.

Lagu ‘Amaran’ hasil ciptaan bersama Bunga, Mas Dewangga dan Firdaus Rahmat adalah kolaborasi pertama mereka.

Semasa menuliskan lirik lagu ini, Bunga mengambil inspirasi daripada kisah rakan-rakan terdekatnya yang pernah diperdaya dan ditipu oleh kata janji manis lelaki. 

Manakala Nana pula merasakan lagu ini berunsur nasihat sesuai didengari oleh kaum wanita mahupun lelaki.

Nana juga percaya lirik lagu ini mampu meniup semangat kaum wanita untuk terus kuat menghadapi setiap cabaran yang mendatang.

Kedua-dua penyanyi ini berharap agar lagu ‘Amaran’ akan mendapat tempat di hati peminat muzik tanah air. Anda boleh menonton video muzik lagu ini di YouTube dan mendengarkannya di semua platform penstriman tanah air.

Tahniah Nana dan Bunga untuk ole-ole terbaharu mereka ini. TARA mengucapkan selamat maju jaya dan sentiasa menantikan karya yang seterusnya.

 

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN

Wajah TARA : Siti Nordiana & Bunga

Pengarang Urusan : M. Zulkifli Abd Jalil

Penyelaras & Arahan Seni : Shah Shamshiri

Teks : Rahayu MN & Wafa Aula

Suntingan Teks : Ili Farhana

Penata Gaya : Yumi Marina

Solekan : Saidatul Nisa (Siti Nordiana) & Elmanda Zuhairi (Bunga)

Busana : Syomir Izwa Gupta

Aksesori :  Milik penata gaya

Jurugambar : Azim Rahman

Juruvideo : Syeda Imran

Penyunting Video: Muharram Kasim

Rekaletak : Hanif Zahari

Lokasi : Pejabat Warner Music Malaysia, Mutiara Damansara

(Terima Kasih Encik Darren Choy dan Puan Bella Puzi atas Kerjasama)

Isu Pada

Amaran Bunga Dan Siti Nordiana

11 Dec 2021

Berita Berkaitan

1

Selebriti 2 bulan yang lalu

Peminat Dakwa Siti Nordiana Kena Sabotaj

2

Selebriti 3 bulan yang lalu

Siti Nordiana Setuju Selesaikan Kes Saman RM2.5 Juta Secara Baik

3

Semasa 7 bulan yang lalu

Gara-Gara ‘Salah Petik’, Wanita Pertikai Rukun Negara Terima Kecaman 

4

Semasa 7 bulan yang lalu

Kerap Suruh Pelanggan ‘Bergelek’ Punca ‘Zaitoun’ Disita? 

Sorotan

1

Hampir 20,000 Buah Mangga Malaysia Dilupuskan Di Riau

2

Stoking Kalimah Allah: Jangan Ambil Tindakan Sendiri - KPN

3

PM Ziarah Menteri Agama Terima Rawatan Di Hospital Putrajaya

4

Penggunaan Nombor Bil Sebagai Rujukan Bayaran CAPL Bermula 1 April - LHDN

5

PM Ucap Selamat Raikan Good Friday, Easter Sunday Kepada Penganut Kristian

6

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

7

Tular Titah Lama Sultan Nazrin, Dewan Negara Perak Buat Laporan Polis