Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Tiada 'Kesialan' Pandemik Pada Bulan Safar

Antara 'kesialan' yang dikaitkan dengan bulan ini adalah bala dan bencana serta perkara-perkara yang tidak baik yang kononnya bakal diturunkan sepanjang bulan, terutamanya pada hari Rabu terakhir nanti.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 12 Sep 2021 9:15AM

Gambar Hiasan

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Pada bulan Safar ini, wujud kepercayaan dalam kalangan masyarakat Islam tentang kehadiran ‘sial’. Kepercayaan ini kemudiannya membibitkan banyak pantang larang dan hal-hal yang kononnya tidak boleh dilakukan sepanjang bulan ini. 

Antara 'kesialan' yang dikaitkan dengan bulan ini adalah bala dan bencana serta perkara-perkara yang tidak baik yang kononnya bakal diturunkan sepanjang bulan. 

Bahkan dikaitkan bulan ini dengan kecelakaan dan keburukan khususnya pada hari Rabu terakhirnya. 

Kita mesti pernah dengar ‘nasihat’ supaya Mandi Safar bagi menolak bala bulan ini. Nah, ini berkait rapat dengan apa yang dituliskan tadi. 

Atau ada pula larangan dalam kalangan orang tua-tua agar tidak melangsungkan akad perkahwinan dalam bulan Safar kerana boleh menyebabkan perpisahan antara pasangan tersebut pada masa akan datang. 

Apabila menyebut tentang bulan Safar ini, kepercayaan itu bukan sahaja wujud dalam kalangan masyarakat Melayu Islam, tetapi telah ada sejak zaman Jahiliah lagi. 

Buktinya apabila, Nabi SAW ada menyebut tentang perkara ini dalam hadisnya.

Daripada Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Terjemahan: “Tidak ada penyakit yang berjangkit (dengan sendiri), tidak ada tiyarah (kesialan atau kepercayaan bahawa haiwan memberi manfaat dan mudarat), tidak ada kesialan (bala bencana) dalam bulan Safar dan tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu.” (HR al-Bukhari no.hadis: 5770, status: Hadis Sahih).

Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, ketika membincangkan hadis ini, pada ungkapan “tidak ada kesialan pada bulan Safar” itu memberi dua tafsiran.

Yang pertama, tidak menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram dan bulan haram adalah bulan yang tidak dibolehkan untuk berperang. Ini yang telah dilakukan dalam kalangan masyarakat Arab Jahiliyyah berdasarkan kepada pandangan Imam Malik dan Abu ‘Ubaidah. 

Sedangkan tafsiran kedua iaitu merujuk kepada ‘safar’,  binatang yang ada dalam perut seseorang, seperti ulat atau cacing. 

Jadi, orang Arab Jahiliyyah percaya binatang tersebut akan dapat membunuh tuan punya perut dan ia lebih berbisa dan berjangkit berbanding penyakit kulit berdasarkan pandangan al-Mutarrif, Ibn Wahb, Ibn Habib, Abu ‘Ubaid dan sebahagian besar para ulama termasuk pandangan Imam Muslim sendiri. (Imam al-Nawawi, al-Minhaj, 13:379) 

Memandangkan dalam suasana pandemik COVID-19 yang belum berakhir ini, janganlah kita beranggapan bahawa akan berlaku peningkatan jangkitan yang lebih besar dan keadaan akan bertambah teruk apabila hadirnya bulan Safar ini. 

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

Demikian, ada yang mengatakan bahawa sekalipun telah mendapat satu atau dua dos vaksin, namun kadar peningkatan jumlah kes COVID-19 yang positif masih meningkat dan berada pada paras dalam lingkungan 20 ribu setiap hari. 

Perkara ini sesuatu yang menakutkan. 

Tambahan pula, seperti yang disebutkan tadi, pada hari Rabu terakhir bulan Safar ini dikatakan lebih banyak bencana dan keburukan akan berlaku yang mungkin akan meningkatkan lagi jumlah jangkitan tersebut. 

Kepercayaan ini sewajarnya tidak wujud dalam kalangan orang Muslim yang beriman kepada Allah dan beriman dengan qada’ dan qadar yang ditentukan oleh Allah SWT. 

Bahkan, Allah SWT sahaja yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana dalam menentukan kebaikan atau keburukan, ketenangan atau ketegangan, bahagia atau derita, kegembiraan atau kesedihan dan sebagainya lagi. 

Pihak kita sebagai hamba Allah, perlu meletakkan kebergantungan dan tawakal kepada-Nya sahaja selepas berusaha.

Bahkan, amalan-amalan yang bersifat kepercayaan karut, yang tiada asasnya atau yang bertentangan dengan fitrah dalam beragama sewajarnya ditinggalkan. 

Demikian juga, amalan-amalan karut ini tidak perlu diamalkan dan diteruskan lagi walaupun atas nama adat dan budaya. 

Ini kerana, jika adat dan budaya itu bercanggah dengan syariat seperti kepercayaan sial tertentu, ada unsur pemujaan kepada kuasa ghaib atau makhluk tertentu, atau kepercayaan kepada roh dan kebangkitan roh daripada kubur dan sebagainya lagi, yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam, maka amat ditegah untuk dipraktikkan. 

Firman Allah SWT menerusi surah al-Tawbah ayat 51:

Maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad), tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang ditetapkan Allah bagi kami, Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan - dengan kepercayaan itu - maka kepada Allah jua hendaknya orang yang beriman bertawakal.''

Dalil tersebut menunjukkan bahawa kita wajib berpegang kepada akidah yang betul dengan tidak menyandarkan sesuatu pada perkara lain atau mengatakan sesuatu bulan itu membawa kesialan kerana sebarang musibah tidak akan mengenai makhluk kecuali dengan izin Allah SWT. 

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

Setiap Muslim mesti yakin dan percaya bahawa setiap sesuatu yang berlaku sama ada dalam bentuk kebaikan atau keburukan mempunyai hikmah tertentu di sisi Allah SWT. 

Tambahan lagi, segala perkara dalam bentuk wabak penyakit, kesakitan, keuzuran tertentu, kematian dan sebagainya bukanlah perkara yang sia-sia. Tetapi ia sebenarnya mempunyai manfaat kepada hamba-Nya yang menghadapi ujian kepayahan tersebut.

Daripada ‘Aisyah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang Muslim ditimpa suatu keletihan dan penyakit (yang terus menimpa), kerisauan dan kesedihan, gangguan dan kesusahan bahkan duri yang melukainya, melainkan Allah akan menghapus dosa-dosanya”. (HR al-Bukhari, no.hadith 5640).

Bahkan, Islam telah meletakkan garis panduan yang jelas dalam menghadapi apa juga musibah dan wabak yang berlaku dengan baik. 

Ada keperluan untuk berusaha menghadapinya dan menanganinya dengan baik. Bukan diserahkan kepada sesuatu kepercayaan sahaja.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Sa’d Ibn Abi Waqqash R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: Apabila kamu mendengar bahawa taun menimpa sesuatu tempat maka janganlah kamu masuk ke dalam kawasan tersebut. Dan apabila kamu berada di dalam kawasan yang terdapat padanya taun, janganlah kamu keluar daripadanya. (HR al-Bukhari, no.hadis 5728)

Oleh yang demikian, bulan Safar bukanlah bulan pembawa sial dan begitu juga penularan wabak pandemik COVID-19 ini bukanlah sebagai bala tetapi ujian daripada Allah SWT kepada semua hamba-Nya.

Ujian ini untuk mendidik manusia berfikir mencari penyelesaianya, bersabar dalam menghadapinya, berkerjasama saling bantu-membantu antara satu sama lagi, meneruskan keteguhan beribadah dalam suasana yang berbeza dan terus sentiasa mengingati serta berdoa kepada Allah SWT memohon pertolongan-Nya.

Anggapan sial dan bala ini semestinya perlu diubah dengan menghayati kisah dan peristiwa agar makna dan ibrahnya dapat diambil dan dijadikan sebagai rujukan serta panduan dalam meneruskan kehidupan. Bukan sekadar meletakkan 'kesialan' sebagai kayu ukur dalam menempa kehidupan.

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

Justeru, marilah kita sama-sama mempasakkan keyakinan yang teguh kepada Allah SWT dan bersangka baik dengan apa yang berlaku pada ketika ini, kerana semua itu berada di bawah pengetahuan Allah SWT.

Senantiasalah kita membaca doa yang diajarkan oleh Nabi SAW kerana Nabi SAW dalam riwayat Abdullah bin ‘Amru RA bersabda: “Sesiapa yang berpaling daripada melakukan sesuatu hajat kerana beranggapan akan bernasib sial maka dia telah melakukan syirik.”

Lalu Nabi SAW meminta agar berdoa dengan doa: 

اللَّهُمَّ لَا خَيْرَ إِلَّا خَيْرُكَ وَلَا طَيْرَ إِلَّا طَيْرُكَ وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tiada kebaikan melainkan kebaikan-Mu dan tiada kesialan kecuali yang telah Engkau takdirkan dan tiada tuhan yang disembah selain Engkau. (HR Ahmad, no.hadith 7242)

- Getaran, 12 September 2021

 

---

Prof. Madya Dr. Khadher Ahmad merupakan Profesor Madya di Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya; manakala Dr. Shafiza Safie adalah Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Cawangan Kelantan. Penulis boleh dihubungi di [email protected]

Isu Pada

Tony Eusoff Dan Zizi Kirana Terus Mara Ke Hadapan

11 Sep 2021

Sorotan

1

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

2

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok

3

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

4

Pemangku Ketua Bahagian BERSATU  Calon PN Untuk PRK KKB

5

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

6

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled

7

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat