Berita Terkini

15 jam yang lalu: Tokoh Wartawan Negara 2014 Datuk Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia awal pagi hari ini - isteri Allahyarham, Datin Noraini Shariff. 3 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 6 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 1 minggu yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 1 minggu yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke

IKUTI KAMI


Norsham Mohamad-Garcia, Anak Kampung Nakhoda Miami Modest Fashion Week

Nun jauh di kota Miami, Amerika Syarikat seorang anak Malaysia bernama Norsham Mohamad-Garcia berkongsi perjuangannya merealisasikan Miami Modest Fashion Week.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 11 Sep 2021 9:00AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Di tengah gelegak panas kota Miami, Norsham Mohamad-Garcia mendukung cita-cita besar. Untaian masanya sepanjang bermukim di bumi Amerika telah mendewasakan fikirannya untuk menjadi pandai dalam hal-hal mandiri.

Norsham ingat lagi kisah ‘mengheret’ satu tubuhnya sewaktu berusia 21 tahun, berani candang berhijrah dari Malaysia ke Amerika Syarikat dengan hanya menggenggam 20 dolar di dalam tangan.

“The only thing that I could think of is – ‘the only person that can help me is, myself’,” kata Norsham yang berasal dari sebuah kampung di Negeri Sembilan dan merupakan anak kepada penoreh getah. 

20 dolar yang Norsham bawa itu tidak langsung menundakan harapan yang memekat dalam jiwanya. Di samping percaya pada aturan-Nya dan bertawakal, Norsham bekerja keras. Dia berpegang pada kata kunci 'manifesting' – yakni senantiasa mencorakkan aspirasi dalam pemikiran yang berhaluan ke proses merealisasi. 

Kini, Norsham adalah seorang usahawan yang belajar sendiri di Miami. Selama 33 tahun menetap di Amerika Syarikat (15 tahun tinggal di Miami), dia membina kerjaya dalam industri hiburan sukan dan berjawatan sebagai Pengarah Urusan untuk The Connector Group International, yakni agensi pakar runding strategi perniagaan serta acara-acara istimewa. 

Namun setelah lebih tiga dasawarsa menjadi imigran di Amerika, dia tidak sangka akan menjinakkan diri dalam bidang fesyen yang berteraskan modesty atau kesopanan (atau yang berkonsepkan Islamik). 

Bila disoal bagaimana boleh terjun ke dalam bidang fesyen yang berkiblatkan kesopanan, Norsham menyorot balik kisah mula-mula dia menyertai delegasi Peniagawati dan bertemu dengan perwakilan dari Malaysia.

“Mereka (dari Malaysia) memakai sesuatu yang unik, distingtif dan asli. Saya bercakap dengan seorang demi seorang daripada mereka dan mendapati yang mereka semua memiliki bisnes atau jenama fesyen sendiri,” ujar Norsham. 

Norsham mula mendalami modest fashion atau fesyen kesopanan. Dia sedar bahawa ‘industri halal’ begitu besar impak serta pengaruhnya. Bukan sahaja di Malaysia, bahkan di peringkat global.

“Dan modest fashion is a billion dollar industry. Modest fashion adalah kemahuan dan kehendak dunia masa kini,” jelas Norsham.

Pada tahun 2019, Norsham mengambil langkah untuk menganjurkan Modest Fashion Week yang pertama sekali di Amerika. Secara spesifiknya, berpangkalan di Miami dan menggelarkan ia sebagai Miami Modest Fashion Week – yang dianjurkan oleh syarikatnya, The Connector Group. 

Bermula dari situ, bidang tugas Norsham meluas. Selain berperanan sebagai Pengarah Urusan The Connector Group, sekarang ini dia juga adalah ahli lembaga penasihat fesyen di sebuah universiti di Miami, penasihat fesyen kerajaan untuk salah sebuah negara benua Afrika dan penceramah tamu kehormat untuk acara-acara fesyen kesederhanaan. 

Gambar: Issuewire.com
Gambar: Issuewire.com

Apakah yang memotivasikan anda untuk membina karier di sana (Amerika Syarikat)?

Saya datang daripada latar belakang keluarga yang sederhana. Arwah ayah saya dahulu menunggang basikal sejauh lima batu, ulang alik dari rumah, untuk pergi bekerja kerana mahu menyara keluarga. 

Namun, keluarga kami adalah daripada keturunan unik dan antara yang menyumbang kepada latar sejarah Malaysia. Kami daripada keturunan Bugis Linggi – semua sedia maklum yang keturunan Bugis Linggi berakar berumbi dalam sejarah Malaysia, daripada keluarga diraja Bugis Linggi ke datuk bandar pertama Malaysia.

Saya berhenti belajar di kolej semasa muda dahulu kerana tidak mahu membebankan arwah ayah saya. Kemudiannya, saya bekerja ketika berumur 19 tahun dan mula berhijrah ke Amerika Syarikat pada usia 21 tahun.

Sewaktu hendak berhijrah ke Amerika, apa yang terkandung dalam ingatan saya adalah pesanan arwah ayah. Pesannya? “Jangan pernah berhenti berasa bangga dengan warisan keluarga yang sudah erat dalam sanubari dan seandainya pulang ke Malaysia nanti, jangan pulang dengan tangan kosong." 

Sebagai anak bongsu daripada 12 adik beradik, niat untuk mengubah kehidupan saya serta keluarga sudah tersimpan dalam jiwa. Saya tidak dibesarkan dengan barang-barang mainan seperti anak-anak kecil yang lain.

Semasa bersekolah, saya juga tidak mampu membayar tambang bas dan terpaksa membetis sejauh satu batu untuk pulang ke rumah dari sekolah. 

Hence, I want to break the cycle. Saya berazam mahu mencapai atau memperoleh sesuatu yang tidak pernah saya miliki dahulu dan mengongsi ia dengan orang lain yang hidup susah seperti saya dahulu.

Sebagai manusia, saya percaya kita seharusnya berani mencabar diri untuk melakukan sesuatu di luar zon selesa. Kita juga perlu sedar bahawa there’s a bigger world out there to be explored!

Gambar: Issuewire.com
Gambar: Issuewire.com

Berbicara tentang Miami Modest Fashion Week, mengapa anda memilih Miami? Tanggapan umum pula bila menyebut Miami, secara automatik akan mengaitkan ia dengan 'bikini central' dan anda menganjurkan acara fesyen berteraskan kesopanan di lokasi tersebut. Bagaimana timbul idea mewujudkan Miami Modest Fashion Week ini?

Pertama-tama, saya bersyukur dapat bertemu dengan Datuk Azlin Shaharbi, selaku Presiden Peniagawati dan juga Nida Hamid, yakni mantan pemangku Peniagawati.

Mereka berdua adalah insan yang membuka mata saya dan membenamkan minat saya pada modest fashion. Mereka menyembuh semula ingatan saya tentang fesyen-fesyen seperti songket, batik dan lain-lain. 

Idea Miami Modest Fashion Week menjelma pada lima tahun yang lalu. Saya ke New York untuk menghadiri pertunjukan fesyen satelit sewaktu New York Fashion Week yang dianjurkan oleh Peniagawati dan memberi sokongan kepada delegasi pereka fesyen Malaysia.

Menerusi kajian serta pemerhatian, saya menyedari bahawa hampir 80 peratus pembeli atau konsumer modest fashion adalah dari Amerika Syarikat. Kuasa pembelian masyarakat Islam Amerika sahaja mencecah lebih daripada AS$170 bilion dalam masa setahun.

Sebenarnya, Amerika adalah wadah tumpuan untuk industri fesyen kesopanan. Terutama sekali di Miami. Tambahan pula, saya memang menetap di Miami. 

Miami bukan sahaja bertumpu kepada fesyen bikini. Di samping lokasinya yang strategik, Miami sendiri adalah satu penjenamaan.

Miami dikelilingi oleh pulau-pulau Caribbean dan ia terletak di bahagian berdekatan dengan negara-negara Amerika Latin.

Gaya hidupnya berbeza-beza, ia juga antara lokasi yang dikenali dengan industri kapal pelayaran, merupakan hab kepada blok rantai global, tempat berhimpunnya usahawan-usahawan teknologi dan ramai usahawan-usahawan wanita yang tinggal di sini.

Miami juga dilabel sebagai ‘most international city in the USA’ dan acara Art Week terbesar dunia turut diadakan di sini, sehingga menjadi lokasi utama rumah-rumah fesyen untuk melancarkan koleksi pakaian mereka. 

Jadi, kalau sudah sedemikan rupa Miami, mengapa tidak menjadikan ia sebagai hab global Modest Fashion Week, kan? Ini adalah tanggungjawab saya untuk mendidik, bukan sahaja Malaysia, malah sedunia. 

‘Modest Fashion Week’ bukanlah satu konsep yang baharu. Apakah yang membezakan Miami Modest Fashion Week dengan acara Modest Fashion Week yang lain? Apakah yang anda mahu capai menerusi anjuran acara sebegini?

Miami Modest Fashion Week bukan hanya sekadar pertunjukan fesyen atas pentas sahaja. Kami mempunyai konsep-konsep yang inovatif dan unik.

Berbekalkan pengalaman dalam bidang perbankan, sukan dan hiburan serta memiliki perangkaian antara timur dengan barat, saya menggunakan semua itu sebagai inovasi untuk sentiasa memperbaharu acara modest fashion week

Miami Modest Fashion Week adalah satu acara yang tidak lekang DNA-nya dan sentiasa berkembang untuk menyaingi apa yang relevan atau trending

Anda pernah menyebut dalam temu ramah sebelum-sebelum ini yang Amerika Syarikat sukakan pakaian-pakaian atau produk-produk yang ada kualiti asli. Keaslian itu sendiri agak subjektif. Boleh anda memberi komen tentang konsep atau daya cipta asli dalam konteks modest fashion?

Kebanyakan pereka fesyen modest fashion atau fesyen kesopanan datang dari berbeza-beza negara yang kaya dengan budaya yang berbeza-beza.

Terserlah rasa besar hati mereka mengintegrasikan budaya masing-masing dalam rekaan atau daya cipta; seperti elemen motif batik, tekstur pada material, warna, teknik jahitan dan sebagainya. 

Contohnya di Malaysia, seperti semua sedia maklum, identiti kita sudah dikaitkan dengan teknik jahitan tangan pada baju kurung serta songket dan batik buatan tangan. Inilah elemen-elemen asli yang saya rujuk bila berbicara tentang konteks industri modest fashion

Vibrant cultures engrave traditions into each person’s soul through generations. 

Adakah anda meramalkan Miami Modest Fashion Week tahun ini mendepani cabaran terbesar, apalagi dengan keadaan pandemik yang tak berkesudahan? Adakah anda merasakan apa yang berlaku sekarang mengancam naratif modest fashion week atau apa-apa acara global yang mengetengahkan Islam kelak?

Modest fashion atau fesyen kesopanan adalah satu estetik serta ekspresi fesyen yang sebenarnya cukup menarik. Kerana ia membenarkan konsep pakaian ‘less skin revealing’. Konsep pemakaian sebegitu memiliki makna distingtif yang berkaitan dengan gaya hidup dan kepercayaan mereka. Ia bukan sahaja tentang pakai baju atau cukup sekadar berfesyen. 

Bagi saya, modest fashion bersifat universal. Tidak ada agama spesifik yang diasosiasikan dengan modest fashion.

Ia bukan dicipta untuk agama tertentu sahaja. Ia merangkumi semua, baik perempuan mahupun lelaki, atau pendek kata, semua manusia tak kira bangsa atau agama, bebas untuk menjadikan modest fashion sebagai gaya hidup mereka.

Tanpa perlu menjejaskan kedudukan identiti dan kepercayaan mereka. 

Modest fashion adalah ethical fashion yang mencerminkan sifat-sifat elegan, keyakinan dan tak lapuk dek zaman. Maka (apa yang dinyatakan) ia bertunjangkan kepositifan. Jadi, apa-apa sahaja yang berbentuk kepositifan pasti ‘tahan lama’. Takkan pupus. Modest fashion adalah konsep unik yang seharusnya dirai, dipelihara dan dikembangsuburkan. 

Miami Modest Fashion Week diwujudkan atas dasar-dasar atau panduan tersebut. Itulah naratif yang kiranya menjadi ‘landskap’ Miami Modest Fashion Week. 

Harapan anda untuk Miami Modest Fashion Week tahun ini?

Kami memusatkan perhatian kepada intellectual fashion atau fesyen intelektual yang menggabungkan pengalaman unik dalam rekaan-rekaan atau daya cipta.

Contohnya, menggabungkan animasi, inovasi, signifikan budaya dan norma kontemporari dalam modest fashion and lifestyle. Dengan harapan ia dapat membantu untuk memelihara dan diperkembangkan, agar dipupuk oleh generasi masa akan datang.

Tahun ini, kami akan mengadakan acara hibrid, yakni berpeluang melumpukkan jumlah audiens yang lebih besar dalam masa nyata.

Akan ada banyak kejutan menarik serta kemunculan selebriti-selebriti global yang turut menyertai Miami Modest Fashion Week. Acara Miami Modest Fashion Week bakal berlangsung pada 22 dan 23 Oktober di The Moore Building yang direka oleh Zaha Hadid. 

Saya mengajak anda semua di Malaysia untuk sama-sama menonton Miami Modest Fashion Week dari rumah masing-masing pada bulan Oktober ini nanti!

Acara global yang diasaskan dan dianjurkan oleh seorang anak kampung, juga seorang anak jati Malaysia. Jika berminat, anda boleh membeli tiket di www.miamimodest.com/event. - Getaran, 11 September 2021  

Semua gambar: Ihsan Norsham Mohamad-Garcia, kecuali tertera                          

Isu Pada

Tony Eusoff Dan Zizi Kirana Terus Mara Ke Hadapan

11 Sep 2021

Sorotan

1

Hampir 20,000 Buah Mangga Malaysia Dilupuskan Di Riau

2

Stoking Kalimah Allah: Jangan Ambil Tindakan Sendiri - KPN

3

PM Ziarah Menteri Agama Terima Rawatan Di Hospital Putrajaya

4

Penggunaan Nombor Bil Sebagai Rujukan Bayaran CAPL Bermula 1 April - LHDN

5

PM Ucap Selamat Raikan Good Friday, Easter Sunday Kepada Penganut Kristian

6

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

7

Tular Titah Lama Sultan Nazrin, Dewan Negara Perak Buat Laporan Polis