Nama kumpulan hip hop Urban Xchange sudah lama dikenali di Singapura termasuk di kalangan penggemar muzik bukan Melayu. Mereka pernah berkolaborasi bersama penyanyi solo Camelia, Too Phat dan juga V.E dari Malaysia sebelum ini.
Urban Xchange yang dianggotai oleh lapan anggota itu termasuk seorang vokalis bernama Trisno Ishak.
Malah jejaka bernama Trisno ini juga pernah menubuhkan kumpulan The Trisno Trio dan sempat berkolaborasi bersama Altimet, bintang hip hop Malaysia.
Namun tidak ramai yang tahu bahawa Trisno Ishak berasal dari keluarga seni sebenarnya. Ibu Trisno, Dahlia Ahmad adalah seorang penyanyi tahun 70-an. Begitu juga dengan ibu saudaranya iaitu penyanyi Hamidah Ahmad dan ayah saudaranya Eddie Ahmad.
Eddie dan Hamidah Ahmad pernah mempopularkan lagu duet berjudul ‘Mawarku’ ketika mereka bersama syarikat rakaman EMI pada tahun 70-an. Bahkan lagu Mawarku ini pernah dirakam semula oleh Dato' Seri Siti Nurhaliza dan kumpulan 2 by 2 sekitar hujung 90-an.
Di sebalik kerjaya sebagai seorang artis, Trisno juga adalah seorang usahawan yang mempunyai kedai kasutnya sendiri menggunakan jenama Grey By Ortenhill.

Ketika ditemui di kedainya yang terletak di Jalan Pisang, Singapura Trisno mengatakan, perniagaannya bermula pada tahun 2011 kerana beliau dan teman-teman mempunyai visi yang sama iaitu untuk berkecimpung dalam bidang fesyen terutama sekali dengan kasut.
Mengapa memilih kasut tanya penulis kepadanya?
“Pada 2009 saya perhatikan tidak ada konsep gaya sandal seperti yang saya suka di dalam pasaran jadi saya lebih cenderung memilih untuk mereka kasut dan sandal.”
Grey by Ortenhill terletak di Orchard Gateway and Jalan Pisang, Singapura.
Lokasi Jalan Pisang dipilih kerana ia berdekatan dengan kawasan Arab Street.
“Di sini berdekatan dengan kedai-kedai makan di aras satu, senang. Tak perlu naik lif untuk ke kedai saya, hanya park kereta di depan kedai saya,” jelas Trisno.
Pemilihan nama Grey by Ortenhill itu juga bersebab.
“Warna grey atau kelabu ini bukan hitam dan bukan putih. ‘Grey’ adalah seperti grey area yang agak kabur dan tidak jelas. Ortenhill itu pula adalah singkatan dari ‘ordinary people with tenacity moving up.’ ‘Hill’ adalah bukit. Jadi ia adalah seseorang yang nak capai sesuatu di atas.”
Jelas penyanyi yang pernah muncul dengan lagu berjudul ‘Hello’ bersama Altimet pada tahun 2014 itu, “Sandal saya adalah seasonless dan timeless, boleh dipakai pada bila-bila masa sahaja.”
Katanya, beliau sengaja memilih sandal-sandal beraneka warna juga supaya dapat memberi pilihan yang lebih luas kepada pelanggan.

“Kami ada empat gaya iaitu klasik sandal, cross sandal, comfort sandal dan heels dan wedges. Wedges khas untuk wanita yang tak pakai flat. Sandal flat semuanya unisex.
“Saya tidak mahu adakan sandal yang khas untuk wanita atau lelaki sahaja supaya semua senang memakainya. Isteri dan suami dan anak-anak pun ingin pakai warna sedondon,” tambahnya lagi.
Grey By Ortenhill hanya menggunakan bahan-bahan berkualiti sesuai dengan harga sandal-sandal tersebut.
Setiap sandal diperbuat daripada kulit kerbau, kulit kambing dan kulit lembu. Kulit lembu digunakan di sebelah atas sandal. Strap sandal pula adalah kulit kerbau.
Untuk lining pula mereka gunakan kulit kambing.
“Untuk outer sole getah luarannya, kami gunakan tayar kereta jadi ia tahan lama ketika pijak. Waktu itu, saya adalah pereka sandal pertama yang gunakan tayar kereta kerana ia tidak licin ketika kita memakainya,” katanya lagi.

Ringkas sahaja jawapannya ketika ditanya mengenai kepuasan yang diperolehinya dalam bidang perniagaan itu.
“Ini adalah bidang yang sangat saya minati. Saya bersyukur cuma sekarang memang sangat sukar berniaga disebabkan COVID.”
Trisno masih lagi meneruskan kerjaya nyanyiannya di Singapura meskipun tidak seaktif dahulu.
Besar kemungkinan, Trisno Ishak akan muncul dengan buah tangan terbaharunya pada tahun depan khas untuk peminat-peminatnya memandangkan agak lama juga dia tidak muncul dengan single baharu.
“Sekarang dengan adanya media sosial dan YouTube senang dan cepat jika nak keluar dengan lagu baru tapi sekarang saya fokus kepada perniagaan,” ujarnya menutup bicara. - Getaran, 7 Ogos 2021.
Semua gambar, kecuali tertera: Ihsan Trisno Ishak