KUALA LUMPUR - Kesemua 113 pelarian yang ditempatkan sementara di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur sejak malam Isnin telah dipindahkan ke sebuah lokasi penempatan sementara diuruskan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kumpulan pelarian itu meninggalkan IPK Kuala Lumpur kira-kira jam 4 petang tadi, sebelum dibawa ke destinasi yang telah ditetapkan oleh NGO berkenaan.
“Semua pelarian telah dipindahkan keluar dari IPK Kuala Lumpur ke lokasi yang disediakan oleh NGO.
“Proses pemindahan membabitkan pelarian berusia antara sebulan hingga 60 tahun itu dikendalikan oleh sebuah NGO dari Ampang, Selangor,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.
Sementara itu, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) memaklumkan, pihaknya sedang berusaha mendapatkan penempatan alternatif bagi semua pelarian terlibat.
Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut didedahkan berhubung lokasi penempatan sementara tersebut.
Sebelum ini, Fadil memaklumkan, seramai 113 pelarian dipindahkan ke IPK Kuala Lumpur kira-kira jam 8.50 malam Isnin bagi membolehkan proses dokumentasi dan tindakan lanjut dijalankan dengan kerjasama wakil UNHCR.
Daripada jumlah itu, seramai 110 orang merupakan pelarian Rohingya, manakala tiga lagi terdiri daripada seorang lelaki warga Iraq, seorang wanita warga Somalia dan seorang wanita warga Indonesia yang berkahwin dengan pelarian Rohingya.
Menurut beliau, hasil semakan mendapati semua pelarian Rohingya berkenaan memiliki dokumen UNHCR yang sah.
Kumpulan itu sebelum ini dipindahkan dari kawasan luar pejabat UNHCR di Jalan Bukit Petaling selepas berhimpun di lokasi berkenaan bagi mendapatkan bantuan daripada agensi tersebut. - Getaran, 28 Julai 2026