KUALA LUMPUR - Badan kehakiman Thailand mengambil langkah signifikan untuk mengekang penyalahgunaan undang-undang jenayah, apabila memperkenalkan garis panduan baharu bagi menghalang saman digunakan sebagai alat membungkam pengkritik.
Menerusi arahan yang dikeluarkan pada 25 Mei, Presiden Mahkamah Agung Thailand Adisak Tantiwong menggesa para hakim supaya meneliti dengan lebih teliti kes-kes berpotensi dikategorikan sebagai Strategic Lawsuits Against Public Participation (SLAPP), iaitu tindakan undang-undang yang lazimnya difailkan bukan untuk menang berdasarkan merit kes, tetapi bagi menakut-nakutkan, membebankan atau menghalang individu daripada terus bersuara.
Garis panduan itu turut menyeru mahkamah supaya tidak hanya bergantung kepada kandungan permukaan sesuatu aduan jenayah, khususnya dalam kes melibatkan kepentingan awam.
Mahkamah sebaliknya diseru untuk melihat jika proses undang-undang sedang disalahgunakan terhadap wartawan, penyelidik atau pengulas.
Walaupun Thailand telah memperkenalkan peruntukan anti-SLAPP sejak 2019, pelaksanaannya dilihat tidak konsisten.
Langkah terbaharu itu dianggap sebagai usaha badan kehakiman untuk memperkukuh perlindungan sedia ada, selain memberikan hala tuju yang lebih jelas kepada institusi kehakiman.
Perkembangan tersebut turut mendapat perhatian susulan kes melibatkan pengulas Murray Hunter yang pernah ditahan di Thailand berhubung aduan fitnah jenayah dikaitkan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimemedia Malaysia (MCMC).
Kes berkenaan berpunca daripada beberapa artikel yang mengkritik badan pengawal selia itu, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pejuang kebebasan media mengenai penggunaan mekanisme undang-undang rentas sempadan untuk mengambil tindakan terhadap pengkritik.
Penahanan Hunter turut mencetuskan perdebatan tentang bagaimana institusi domestik boleh memanfaatkan sistem perundangan negara lain bagi memulakan tindakan jenayah.
Dalam tulisan yang diterbitkan di platform Substack miliknya, Hunter mendakwa landskap perundangan Thailand kini telah berubah secara ketara.
Menurutnya, dengan pendirian badan kehakiman Thailand yang semakin tegas terhadap SLAPP, MCMC tidak lagi berupaya memfailkan tindakan fitnah jenayah serupa terhadapnya di negara itu.
Kes tersebut kemudiannya diselesaikan di Malaysia menerusi perintah persetujuan yang melibatkan permohonan maaf serta penarikan artikel-artikel yang dipertikaikan.
Namun, implikasi lebih luas daripada kes itu masih menjadi perhatian, khususnya berkaitan precedent yang dilihat telah diwujudkan.
Pemerhati undang-undang berpendapat langkah terbaharu badan kehakiman Thailand itu berpotensi menangani kebimbangan berhubung penyalahgunaan proses undang-undang, walaupun keberkesanannya bergantung kepada sejauh mana garis panduan tersebut dilaksanakan secara konsisten.
Secara keseluruhan, arahan berkenaan mencerminkan pendirian mahkamah Thailand yang semakin tegas terhadap penggunaan proses undang-undang sebagai alat tekanan, dan bukannya untuk menegakkan keadilan. - Getaran, 26 Mei 2026

