KUALA LUMPUR - Pemandu Nissan Almera yang mencetuskan fenomena beberapa hari lalu sedang dicari polis, kerana terbabit dalam satu kes langgar lari seorang penunggang motosikal.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Superintendan Zulkafli Che Lah berkata, kejadian yang berlaku Rabu lalu itu menyebabkan suspek dikejar beberapa penunggang motosikal.
Rakaman adegan 'Fast n Furious' itu turut tular di media sosial.
Zulkafli seperti dipetik Harian Metro berkata, pemandu berkenaan masih belum membuat sebarang laporan.
"Setakat ini yang tampil membuat laporan polis ialah mangsa kemalangan, manakala pemandu bertanggungjawab masih berdiam diri," katanya.
Susulan insiden jelas beliau, polis sedang giat melancarkan gerakan mengesan suspek.
Kejadian dikenali sebagai 'Fast n Furious Cendol Edition' dalam kalangan netizen itu tular, selepas aksi pemandu berkenaan yang memandu dalam keadaan berbahaya dirakam dan disebar di media sosial.
Info awal menyatakan Nissan Almera itu dipandu remaja yang tidak mahu membayar harga makanan dipesan, terdiri daripada tiga pinggan mi goreng ayam dan empat mangkuk cendol pulut, kesemuanya berharga RM50. - Getaran, 30 September 2023
