KUALA LUMPUR - Setiap majikan wajib bersikap adil kepada pekerja dan memastikan ganjaran, kebajikan serta keselamatan mereka terjamin.
Penegasan itu ditekankan dalam khutbah Jumaat bertajuk ‘Menyantuni Pekerja Dan Memenuhi Amanah Bekerja’ yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sempena sambutan Hari Pekerja 1 Mei ini.
Menurut teks khutbah berkenaan, setiap pekerja di negara ini tertakluk di bawah Akta Pekerja 1955, justeru jika berlaku sebarang pelanggaran hak, mereka perlu diberikan hak untuk bersuara.
Malah katanya, pekerja hendaklah diberikan masa kerja yang munasabah dengan upah setimpal, diberikan waktu rehat cukup, disediakan tempat dan persekitaran kerja yang selamat.
“Islam mewajibkan umatnya berbuat baik dan berlaku adil kepada semua pihak serta dilarang melakukan sebarang penindasan atau kezaliman. Majikan hendaklah menyantuni pekerja selaras dengan semangat terkandung dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari.
“Berdasarkan hadis ini, Baginda SAW memerintahkan supaya diberi layanan baik kepada hamba sahaya. Sedangkan, hamba pun perlu disantuni, apatah lagi layanan yang perlu dilakukan terhadap warga kerja merdeka yang bukan bertaraf hamba,” katanya.

Mengambil iktibar tersebut, teks berkenaan menegaskan adalah haram hukumnya bagi majikan menunda gaji pekerja sedangkan tidak ada kekangan untuk segera menyerahkan bayaran berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, bayaran upah boleh dilaksanakan berpandukan kesepakatan yang terjalin antara pekerja dan majikan, sama ada dibayar mengikut jam, harian, mingguan atau bulanan.
“Majikan juga perlu mewujudkan suasana dan persekitaran kerja selamat, bersih dan harmoni, dilengkapi dengan peralatan yang diperlukan untuk memudahkan tugasan dapat disempurnakan sebaik mungkin.
“Pada masa sama, majikan juga perlu memberi perhatian terhadap kebajikan pekerja merangkumi simpanan hari tua, kemudahan rawatan kesihatan dan perubatan, waktu rehat, ruang waktu, tempat beribadah, perumahan, pengangkutan, serta bekalan pakaian seragam berkualiti kepada perkhidmatan berkaitan,” katanya.

Dalam pada itu, teks khutbah itu turut mencadangkan agar majikan mengagihkan tugas bersesuaian dengan pengetahuan kemahiran, jantina, kekuatan fizikal, usia dan tahap kecergasan seseorang petugas.
“Mereka juga perlu mengenal pasti atau memahami bakat dan kelebihan, dimiliki pekerja dengan memberi tajaan latihan yang dapat meningkatkan kemahiran, seterusnya kualiti kerja.
“Selain itu, majikan harus mengamalkan sifat bertimbang rasa, sedia berunding, mendengar serta sentiasa meraikan kepelbagaian pandangan di samping melaksanakan keadilan berdasarkan merit atau pencapaian pekerja ketika menimbangkan penempatan dan urusan naik pangkat,” katanya.
Pada masa sama, teks berkenaan turut menasihati pekerja agar tidak melakukan pekerjaan mereka secara mudah dan sambil lewa kerana tenaga kerja yang banyak menjadi suatu pembaziran jika tidak dilakukan secara tekun dan khusyuk.
Tegasnya, setiap pekerja perlu menghayati falsafah ibadah ketika melaksanakan kerja dan meningkatkan azam menerimanya sebagai amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka.
“Jadikanlah diri kita seorang pekerja yang ikhlas, bersih, jujur dan amanah. Jadikanlah sifat malu sebagai perisai dalam apa juga tindakan agar sumber rezeki untuk nafkah ahli keluarga halal lagi berkat.
“Jadikanlah diri kita seorang pekerja berpengetahuan dan berkemahiran dengan terus menghadiri pelbagai latihan, bengkel dan kursus agar berupaya menguasai ilmu, pengetahuan dan kemahiran baharu.
“Selain itu, jadikanlah pekerjaan sebagai ibadah dengan mencari reda Allah SWT agar kita dilimpahi perlindungan dan petunjuk dariNya jua,” katanya. - Getaran, 29 April 2023