KUALA LUMPUR - Kehadiran mantan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pada pemilihan UMNO kawasan itu, hari ini mengundang sedikit kekecohan.
Difahamkan, ia tercetus selepas mantan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu itu tidak dibenarkan masuk ke Dewan Besar Bandar Baru Felcra Seberang Perak.
Tajuddin yang hadir sekitar jam 9.50 pagi itu dikatakan dihalang di pintu pagar utama oleh petugas keselamatan atas faktor keahliannya sebagai ahli UMNO telah digantung.
Mantan Ahli Parlimen Pasir Salak itu kemudiannya akur dan memilih untuk menunggu dalam kereta di luar kawasan dewan, seperti mana yang dimaklumkan oleh petugas.
"Saya telah setia dengan UMNO sudah mencapai 50 tahun kerana saya memang sayangkan parti ini".
Sementara itu, Tajuddin ketika dihubungi Getaran memaklumkan, beliau kesal kedatangannya yang hanya mahu menyaksikan pemilihan UMNO bahagian itu dihalang oleh barisan kepimpinan parti.
Bagaimanapun, mantan Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) itu menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau telah dihalau dari kawasan tersebut.
Jelasnya, ia adalah tindakan tidak wajar susulan perbuatan itu belum pernah dilakukan oleh UMNO.
"Saya bukannya dihalau, cuma dihalang untuk masuk ke dalam kawasan dewan. Kejadian ini tidak pernah berlaku dan tiada alasan (kukuh) kenapa saya dihalang," katanya ringkas kepada Getaran, hari ini.
Sehubungan itu, Tajuddin menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak menghormati dirinya, sedangkan beliau sendiri adalah mantan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak.
"Itu adalah (perbuatan) sombong, takkan mantan ketua bahagian pun dihalang masuk ke dalam dewan.
"Saya telah setia dengan UMNO sudah mencapai 50 tahun kerana saya memang sayangkan parti ini," katanya.
Pada pemilihan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak hari ini, anak sulung Tajuddin, Dr Faizal bertanding menentang mantan pemangku Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun.

Sebelum ini, anak perempuan Tajuddin, Datin Sri Rahayu dipilih sebagai Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak yang baharu selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin.
Terdahulu, Tajuddin yang merupakan bekas Ahli Parlimen Pasir Salak sepanjang tiga penggal sejak 2008, digantung keahlian selama dua penggal atau enam tahun.
Tajuddin bagaimanapun, mengemukakan rayuan namun ia telah ditolak.
Pada Jun lalu, Tajuddin dipecat daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berikutan sikap beliau yang didapati mengkritik parti menerusi kenyataan, ucapan dan ceramah dalam mesyuarat tertutup yang dihadirinya. - Getaran, 18 Mac 2023.