web statsweb stats

Berita Terkini

1 hari yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 1 hari yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


KPDN Tumpas Aktiviti Seleweng Diesel Bersubsidi Bernilai Ratusan Ribu

Semasa Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 13 Dec 2022 8:07PM

Azman Adam - Gambar fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah premis, selepas disyaki menjalankan aktiviti penyelewengan bahan bakar bersubsidi itu di Telok Panglima Garang, semalam.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Azman Adam berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa daripada kementerian itu dari Putrajaya bermula kira-kira jam 1.15 petang.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, tiada individu ditemui dalam premis terbabit, namun terdapat sebuah lori didapati diubahsuai, selain dua tangki (skid tank).

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas lori dan tangki (skid tank) terbabit, pasukan serbuan menemukan minyak diesel dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 23,325 liter, selain pam bermotor, sebuah kereta serta beberapa peralatan yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel.

“Minyak diesel, kenderaan lori dan kereta serta peralatan yang ditemui di lokasi serbuan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM102,000.00,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kertas siasatan sudah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes itu sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

Katanya, siasatan itu adalah bagi mengenalpasti individu dan syarikat yang terlibat dalam aktiviti terbabit serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut, termasuk sumber minyak diesel ini diperolehi dan diedarkan.

Selain itu, Azman berkata, syarikat berkenaan akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613), iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel.

Tegasnya, jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini, pihak terbabit boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun, selain didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu, pada masa ia dilakukan atau RM5 juta dengan yang mana lebih tinggi.

Mengulas lanjut, Azman berkata, KPDN memberi amaran keras terhadap mana-mana individu dan syarikat berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan ditetapkan.

“Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala untuk kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat, sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta, manakala untuk kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, KPDN ingin memberikan amaran keras kepada semua dan menegaskan bahawa kementerian itu, tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket serta aktiviti haram terbabit.

Jelasnya, tindakan tegas akan diambil, termasuk mendakwa mereka di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Masyarakat, katanya, disaran menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama, sekiranya mempunyai sebarang maklumat, terutama berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan serta bersubsidi, bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi yang boleh menyebabkan impak negatif kepada rakyat dan negara.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi, boleh menyalurkan aduan lengkap kepada pihak KPDN melalui WhatsApp 019-279 4317 atau 019-848 8000; portal aduan, e-aduan.kpdnhep.gov.my; call centre, 1-800-886-800; emel, [email protected] serta Ez ADU KPDNHEP,” katanya. – Getaran, 13 Disember 2022

Sorotan

1

Diperdaya Sindiket Kerja Sambilan Dalam Talian, Suri Rumah Rugi Hampir RM100,000

2

Puteri Thailand Mangkat Selepas Komplikasi Kesihatan Berpanjangan

3

Mengapa Ramai Rasa Letih Walaupun Cukup Tidur? Jadual Tidur Mungkin Bukan Jawapan

4

PAS Sahkan Pertemuan Dengan RESET Dan Hamzah, Butiran Lanjut Diumum Esok 

5

PRN Johor 11 Julai, PRN Negeri Sembilan 1 Ogos - SPR

6

Tuanku Muhriz Masih Yamtuan Besar Negeri Sembilan Yang Sah - KJ

Disyorkan untuk anda

Semasa 23 jam yang lalu

Diperdaya Sindiket Kerja Sambilan Dalam Talian, Suri Rumah Rugi Hampir RM100,000

oleh Amirah Abu Bakar

Luar Negara 23 jam yang lalu

Puteri Thailand Mangkat Selepas Komplikasi Kesihatan Berpanjangan

oleh Amirah Abu Bakar

Semasa 1 hari yang lalu

Tunku Zain Al-’Abidin Diisytihar Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 hari yang lalu

Polis Sahkan Tiada Unsur Buli Dalam Kes Pelajar Terjatuh Dari Bangunan Sekolah

oleh Amirah Abu Bakar