KUALA LUMPUR - Sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan satu dasar menyamai Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi merapatkan jurang pendapatan golongan Bumiputera dengan kaum lain yang semakin melebar.
Penganalisis Ekonomi, Profesor Madya Dr Baharom Abdul Hamid berkata, Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah 2019 oleh Jabatan Perangkaan menunjukkan golongan Bumiputera jauh ketinggalan di belakang kaum Cina dan India dari segi jurang pendapatan.

Menurut beliau, berdasarkan laporan tersebut, pendapatan isi rumah bulanan penengah bagi Cina adalah sebanyak RM7,391, India RM5,981 manakala Bumiputera RM5,420.
“Mengikut pendapatan purata pula, Cina pada nilai RM9,895, India RM8,216 manakala Bumiputera RM7,093. Menerusi data itu, jurang pendapatan memang sangat jauh berbeza.
“Itu baru pendapatan bulanan. Atas sebab itu Malaysia memerlukan satu dasar menyamai DEB bagi merapatkan jurang tersebut,” katanya kepada Getaran.
Jelas beliau lagi, sekiranya jurang perbezaan itu semakin melebar, dikhuatiri ia akan mencetuskan situasi kurang sihat sebagaimana yang berlaku pada tragedi 13 Mei 1969.
Tragedi 13 Mei jelasnya, berlaku disebabkan ekonomi dan sesuatu harus dilakukan bagi mengelakkan ia kembali berulang.
“Kita tak mahu ia berulang kembali. Tapi kalau kita alpa, tak mustahil ia boleh berlaku lagi. Sekarang kita dah ada statistik, jadi kerajaan harus berani mengatakan bahawa kita memerlukan satu dasar yang memberi keutamaan kepada Bumiputera untuk meningkat dan merapatkan jurang pendapatan.
“Bukannya kita kata nak menindas atau menidakkan hak orang lain. Tapi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu hari ini, golongan Bumiputera amat memerlukan bantuan untuk menaikkan taraf kehidupan mereka,” katanya.
Baharom berkata, pola kependudukan Bumiputera di negara ini adalah lebih 60 peratus, diikuti Cina, India dan bangsa lain, justeru apabila berlaku krisis, golongan tersebut antara paling terjejas.
“Sekarang kita menghadapi krisis ekonomi yang dikenali sebagai ‘Agflation’ iaitu inflasi yang didorong kenaikan dalam bahan pertanian, penternakan dan makanan.
“Makanan keperluan paling penting dalam kehidupan seseorang tak kisah bangsa apa sekalipun. Perbelanjaan paling besar adalah untuk makanan. Golongan B40 membelanjakan hampir 40 hingga 60 peratus pendapatan mereka untuk makanan. Jadi apabila berlaku kenaikan maka ia akan meninggalkan kesan memudaratkan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga perlu merangka pelan tindakan komprehensif untuk menstabilkan kembali harga makanan yang semakin tinggi.
“Macam mana nak pastikan pada harga stabil? Kerajaan perlu memastikan penawaran yang mencukupi dan mengurangkan kebergantungan kepada import. Ini gunanya pelan tindakan baik untuk pertanian dan penternakan.
“Kebanyakan urus niaga dilakukan dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (AS). Dahlah penawaran terhad, import pun terhad, mata wang mengecil. Ini seolah-olah perfect storm. Oleh itu kerajaan kena jadikan ini agenda utama negara.
“Bagi golongan T20, mereka mungkin tidak terkesan tapi berbeza untuk B40. Bila ada kenaikan mencecah 100 hingga 150 peratus, jadi bayangkan kesan dialami golongan itu. Dapur nak kena berasap, kelangsungan hidup juga perlu diteruskan,” katanya.
Pada masa sama Baharom berkata, kerajaan perlu mengetepikan sentimen politik dan melihat perkara itu dari sudut negara menuju ke Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.
“WKB 2030 bermaksudnya kemakmuran dikongsi bersama tanpa mengira warna kulit agama dan bangsa. Apa ertinya atas kertas kita cakap macam tu tapi realitinya jurang pendapatan semakin melebar?
“Jadi kita perlu satu lagi dasar menyamai DEB tetapi agak komprehensif yang perlu dilaksanakan segera. Kalau boleh buat semalam. Ia juga kena ada pelaporan berkala, barulah orang boleh nampak kesannya,” katanya.
Sementara itu, Pakar Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat, kerajaan perlu berfikir di luar kotak untuk mencari langkah terbaik bagi menangani krisis ekonomi membabitkan golongan Bumiputera.

Katanya, selain memastikan golongan rentan dan B40 terus menerima bantuan sewajarnya, reformasi sistem monetari juga harus dilakukan dengan segera dalam usaha merapatkan kembali jurang pendapatan dan kekayaan antara kaum.
“Konsep pembiayaan individu dan perniagaan harus diperluaskan lagi melalui pembiayaan tidak melibatkan riba seperti Qardhul Hassan, mudharabah dan musyarakah.
“Ini kerana kita melihat ramai orang Melayu menjadi lebih miskin semasa pandemik COVID-19 disebabkan komitmen hutang yang kekal tinggi,” katanya.
Jelas beliau, berdasarkan kajian Jabatan Perangkaan, dianggarkan bilangan isi rumah miskin meningkat kepada 639,800 pada 2020 berbanding 405,400 isi rumah pada 2019.
“Insiden kemiskinan mutlak turut meningkat daripada 5.6 peratus (2019) kepada 8.4 peratus pada 2020.
“Insiden kemiskinan tegar pula dianggarkan meningkat daripada 0.4 peratus (2019) kepada 1.0 peratus (2020) melibatkan 78,000 isi rumah,” katanya. - Getaran, 21 Jun 2022