KUALA LUMPUR - Sebanyak 9,474 kes tibi atau batuk kering dilaporkan berlaku di negara ini setakat 4 Jun lalu (Minggu Epidemiologi ke-22).
Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, jumlah itu meningkat 13 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
“Jika dibandingkan pada 2019 (sebelum pandemik COVID-19) terdapat penurunan sebanyak 11 peratus bagi tempoh sama.
“Bagaimanapun, jumlah kes tibi yang dilaporkan masih belum mencapai sasaran seperti yang dianggarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebanyak 29,000 hingga 30,000 setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari Tibi Sedunia peringkat kebangsaan 2022 dan pelancaran Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di Langkawi, hari ini.

Dr Noor Azmi berkata, kira-kira 21,727 kes tibi dengan kadar insiden 79 setiap 100,000 penduduk dilaporkan pada tahun lalu, menurun 8.1 peratus berbanding 23,644 kes pada 2020.
Jelasnya lagi, kadar kematian akibat tibi pada 2021 adalah 6.6 setiap 100,000 penduduk, meningkat daripada 7.1 peratus berbanding dua tahun lalu.
Analisa kematian pula katanya, menunjukkan hampir 30 peratus kematian disebabkan secara langsung akibat penyakit tersebut.
Susulan itu, beliau berkata, aktiviti pengesanan kes tibi perlu dipertingkatkan dengan memperkukuhkan saringan golongan berisiko tinggi terutama di kalangan kontak kepada indeks kes tibi.
“Di samping itu, saringan tibi di kalangan kumpulan berisiko tinggi seperti pesakit HIV, diabetes dan penghuni institusi tahanan perlu dipertingkatkan.
“Usaha ini seiring dengan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan sempena dengan Jelajah ANMS dengan tagline ‘Jom Saring!’,” katanya.
Dr Noor Azmi turut menasihatkan orang ramai yang mempunyai simptom penyakit tibi agar menjalani pemeriksaan dan rawatan di klinik kesihatan dan hospital berdekatan dengan segera.
“Tanda-tanda penyakit tibi adalah seperti batuk berpanjangan melebihi dua minggu, demam, berpeluh waktu malam, kurang selera makan, susut berat badan dan batuk berdarah,” katanya.
Untuk rekod, Malaysia hanya mempunyai tempoh berbaki 13 tahun sahaja lagi untuk mencapai sasaran di dalam End TB Strategy yang ditetapkan WHO.
Dalam strategi itu, kadar kes tibi dijangka diturunkan sebanyak 90 peratus dan jumlah kematian akibat penyakit itu juga akan diturunkan sebanyak 95 peratus menjelang 2035.
Namun penyakit tibi masih antara ancaman utama penyakit berjangkit di peringkat global.
Setiap hari lebih 4,100 kematian dan hampir 28,000 jatuh sakit disebabkan penyakit itu. - Getaran, 11 Jun 2022

