Berita Terkini

10 jam yang lalu: HDC Sarawak lulus RM2.3 juta di bawah skim bantuan deposit perumahan 10 jam yang lalu: Kematian 20 kucing bukan diracun, sebaliknya kena jangkitan 'Parvovirus' - JPV Terengganu 10 jam yang lalu: Rotan anak: Bekas suami Ziana Zain didenda, hukuman penjara diketepikan 10 jam yang lalu: Sebuah bas persiaran terbakar 90 peratus dalam kejadian di Kilometer 27.93 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara 10 jam yang lalu: Beberapa kawasan di Bidor dilanda banjir kilat susulan hujan lebat

IKUTI KAMI


Krisis Keyakinan, Perasaan ‘Kerdil’ Punca Bahasa Melayu Diperlekeh

Semasa Dikemaskini 2 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 20 Mar 2022 6:49PM

Abang Sallehuddin Abang Shokeran

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Krisis keyakinan dan merasa diri kerdil berbanding ‘orang luar’ yang dianggap memiliki standard lebih tinggi dalam kalangan segelintir bangsa Melayu di negara ini, menyebabkan bahasa Kebangsaan kurang dihargai serta gagal diperjuangkan sebaik mungkin.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran berkata, perasaan itu membuatkan golongan terbabit ‘tenggelam punca’, sehingga memperlekehkan bahasa Melayu.

Katanya, krisis itu bukan sahaja berlaku dalam aspek bahasa, malah kebudayaan, sehingga ramai Melayu tidak mengakui bangsa mereka, sebaliknya mengatakan mereka ‘berstatus’ antarabangsa.

“Kita (Melayu) sentiasa melihat bahawa orang barat lebih hebat daripada kita dan sebagai satu standard tinggi. Mereka tidak sedar kita ini sebenarnya ada kekuatan tersendiri.

“Selalu saya jadikan contoh paling remeh orang Melayu kita, dia sekarang menamakan anak pun tak berapa berunsur Melayu, mana ada sangat guna nama Fatimah, Aminah walaupun ia nama yang baik. Ini kalau kita lihat bahasa ada kaitan dengan kebanggaan diri, dia sama macam budaya lah, ada orang malu nak berpakaian Melayu, dia rasa jadi Melayu dia tak hebat,” katanya ketika dihubungi Getaran hari ini.

Abang Sallehuddin berkata, konsep bahasa Kebangsaan tidak memiliki apa-apa kekurangan, malah terbukti bangsa Malaysia yang bijak pandai pada masa kini, memperoleh pendidikan di sekolah yang menggunakan bahasa pengantar utamanya adalah bahasa Melayu, sejak Tahun 1.

“Negara ini tak jauh lebih membangun dari negara lain, pakar dan teknokrat kita semua itu belajar dalam bahasa Melayu, Namun, pada masa sama, kita tak menafikan penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa tambahan apapun,” katanya.

Beliau berkata, cuma perkara yang harus diberikan keutamaan adalah menggunakan bahasa Melayu di peringkat asas, tanpa mengetepikan penguasaan dua atau tiga bahasa lain, contohnya bahasa Arab, Inggeris dan Jerman kerana ia adalah kelebihan diri.

“Namun, apabila kita terpesona dengan bahasa lain, janganlah sehingga kita meminggir, membuang dan menghina bahasa Kebangsaan.

“Kalau kita perhati rakan kita dari keturunan lain, apa yang mereka lakukan adalah untuk mempertahankan bahasa mereka. Malah kita dapat lihat semua bangsa di dunia ini mempertahankan bahasa masing-masing, kita sahaja tak nak pertahankan, membuang bahasa kita, jadi ini sesuatu yang malang,” katanya.

Ditanya, kesan jangka panjang dihadapi negara dan nasib bahasa Melayu itu sendiri jika ia terus tidak dihargai serta gagal diperjuangkan, Abang Sallehuddin berkata, kaum itu akan hilang identiti sebagai bangsa Malaysia.

Jelasnya, Malaysia juga akan hilang identiti sebagai negara bangsa dan tidak mampu membangun dengan menggunakan bahasa lain.

Menurut Abang Sallehuddin, terdapat kemungkinan besar masyarakat dan negara akan tersisih dari kemajuan, seperti situasi ketika ini apabila timbul masalah untuk mendidik anak mendengar bahasa lain, sehingga mereka tidak dapat memahami serta mendalami ilmu.

“Jika dilihat Jepun dan Korea yang selalu dijadikan contoh kan, maksudnya pembinaan sendiri, orang kita sendiri ini menjadikan mereka orang berilmu, mereka dilihat menjadi bangsa pencinta.

“Sekarang ini kita menjadi orang yang bangga mengguna sebab itu kita bergantung kepada bangsa asing sebab kita tak ada nak cipta apa-apa sebab kita pengguna, jadi pengguna kita kena belajar apa yang orang lain hasilkan,” katanya.

Bagi memastikan bahasa Melayu diperkasakan, beliau berkata, perubahan penting mesti dilakukan negara adalah melahirkan bangsa pencipta.

“Ini lagi satu aspek penting yang boleh meningkatkan keyakinan diri kita. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ada sebut kita memajukan bangsa kita, bahasa kita juga akan menjadi maju.

“Tetapi kita nak serentak, bangsa dan bahasa sama-sama maju, tak nak lah kita memajukan bangsa, kita mengabaikan bahasa,” katanya.

Justeru, Abang Sallehuddin menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam bahawa kerajaan akan meminda Akta DBP 1959 sebagai antara usaha memperkasakan dan tidak memperlekehkan bahasa Melayu.

Ujarnya, menerusi pindaan itu, kerajaan memberikan kuasa kepada DBP untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak, terutamanya yang sengaja mengabaikan atau memperlekehkan atau menindakkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa rasmi Malaysia.

Tegasnya, usaha itu sepatutnya dilaksanakan kerana ia adalah kehendak yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Satu usaha dilakukan dalam memperkasakan bahasa Melayu dan tak memperlekehkannya. Maknanya kerajaan akan mencadangkan pindaan akta ini bagi memberi kuasa kepada DBP untuk mengatasi, memantau dan memastikan bahasa Melayu itu dilaksanakan atau kehendak Perkara 152 Perlembagaan, kita perkukuhkan,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) berkata, sudah tiba masa rakyat perlu berbangga menggunakan bahasa Melayu, termasuk di pentas antarabangsa kerana Bahasa Jiwa Bangsa’.

Kerajaan, katanya, akan meminda Akta DBP 1959 supaya mana-mana pelanggaran bahasa Melayu, termasuk di peringkat daerah akan diambil tindakan oleh badan berkenaan.

Dr. Awang Sariyan
Dr. Awang Sariyan

Sementara itu, Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Seri Prof Dr Awang Sariyan, berkata semua pemimpin dan rakyat Malaysia perlu mempunyai rasa bangga tentang taraf bahasa Melayu yang selama ratusan tahun digunakan sebagai bahasa Diplomasi dan perdagangan antarabangsa.

Perkara itu, katanya, terbukti dengan adanya surat dan perjanjian dalam bahasa bertulisan Jawi antara kerajaan Melayu dengan kuasa asing.

Awang yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola DBP berkata, kini sampai masanya bahasa Melayu digemilangkan semula.

“Seruan Perdana Menteri agar bahasa Melayu digunakan hingga di peringkat dunia bertepatan dengan keadaan bahasa Melayu dan unsur jati diri yang lain terhakis oleh rempuhan globalisasi.

“Syaratnya Perdana Menteri tidak patut dibiarkan sendirian. Semua pemimpin lain mesti turut serta dalam usaha memenuhi hasrat beliau.

“Pemimpin perkhidmatan awam, institusi pengajian tinggi, korporat dan pertubuhan perlu merancang serta melaksanakan program ke arah pencapaian cita-cita mengangkat maruah negara di mata dunia,” katanya. – Getaran, 20 Mac 2022

Sorotan

1

'Saya Maafkan Awak' Kata Warga Emas Mangsa ‘Samseng Jalan Raya’

2

Wang Dalam Akaun Saya Cukup Bayar Kad Kredit - Zahid

3

Ewe Hock kesal Dengan Senario Badminton Malaysia Yang 'Terkebelakang'

4

Ada Apa Dengan Melayu

Disyorkan untuk anda

Semasa 10 jam yang lalu

Jangan Sorok Hasil Siasatan Kematian Pelajar UUM - Dr Maszlee

oleh Aiman Sadiq

Semasa 10 jam yang lalu

Jurulatih Wushu Terbabit Gangguan Seksual Remaja Didakwa Esok

oleh Aiman Sadiq

Semasa 1 hari yang lalu

Disyaki Tanam 100 Pokok Ganja Di Rumah, Mantan Diplomat Ditahan

oleh Fitri Nizam

Semasa 1 hari yang lalu

Mahkamah Tolak Saman Fitnah Apandi Terhadap Lim Kit Siang