KUALA LUMPUR - Mesej tular berkaitan sindiket penculikan remaja dan penjualan organ dalaman mereka oleh ‘Geng Van Putih’ disahkan sebagai palsu dan mula tersebar meluas sejak tahun 2016.
Superintendan Komunikasi Korporat Urus Setia Polis Diraja Malaysia (PDRM), Superintendan Skandaguru Anandan berkata, pihaknya baru-baru ini mengesan sebaran mesej palsu tersebut di media sosial, kononnya memberi amaran kepada rakyat Malaysia berhubung sindiket penculikan yang mensasarkan remaja berusia 15 tahun.
Menurutnya, penculikan itu kononnya dilakukan bagi mendapatkan organ tertentu daripada mangsa untuk dijual dan sindiket didakwa bergerak menggunakan kereta Proton Wira serta sebuah van berwarna putih.
“PDRM mengesahkan tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan kes penculikan dan penjualan organ manusia seperti yang didakwa.
“Semakan mendapati mesej palsu tersebut sudah tular sejak tahun 2016 dan kembali diulang siar di beberapa platform media sosial. Tiada sebarang amaran sedemikian pernah dikeluarkan oleh pihak Bukit Aman,” katanya pagi ini.
Antara lain, mesej tersebut turut menyenaraikan harga bagi organ yang dijual seperti jantung, hati, paru-paru, buah pinggang dan mata.
Mesej tersebut juga mendakwa, amaran itu dikeluarkan daripada pihak ‘Gerakan IPK Bukit Aman’.
Skandaguru berkata, orang ramai dinasihatkan jangan mudah mempercayai berita tidak berasas dan atau gagal ditentukan kesahihannya.
“Tindakan berkongsi atau menyebar berita sedemikian akan menimbulkan kegusaran dan kebimbangan kepada masyarakat,” katanya. – Getaran, 7 Februari 2022

